Skip to main content

Kpop

Umpama Misi 007, Perkahwinan Kim Jong Kook Dilabel Paling Privasi Di Korea

Perkahwinan Kim Jong Kook paling privasi di Korea

Penyanyi dan anggota Running Man, Kim Jong Kook  selamat melangsungkan perkahwinannya di Seoul pada Jumaat.

Majlis yang berlangsung secara privasi di sebuah hotel di Gangnam, Korea hanya dihadiri oleh keluarga terdekat dan rakan rapat.

Advertisement

Malah pengacara majlis juga adalah sahabat rapatnya yang juga merupakan anggota Running Man iaitu Yoo Jae Suk.

Menurut beberapa sumber dalaman industri hiburan Korea, Jong Kook tidak mendedahkan sebarang maklumat berkaitan perkahwinannya kepada umum, termasuk lokasi majlis yang hanya dimaklumkan kepada para jemputan sehari sebelum upacara berlangsung.

Difahamkan, Jong Kook juga telah memberi pesanan kepada rakan-rakan selebriti ternama yang dijemput untuk tidak memberitahu sesiapa, termasuklah pengurus peribadi masing-masing, dan hadir secara bersendirian.

“Tolong jangan beritahu pengurus anda, sila datang seorang diri,” pesannya.

Disebabkan tahap kerahsiaan yang tinggi ini, netizen Korea menggelarkan majlis perkahwinan tersebut umpama misi rahsia ‘007’ merujuk kepada filem perisik terkenal.

Tindakan ini dipercayai diambil bagi menghormati dan melindungi privasi isterinya yang bukan berasal daripada kalangan selebriti.

Walaupun ramai yang meluahkan rasa ingin tahu mengenai identiti isteri Jong Kook, namun pihaknya dan agensinya, Turbo JJK Company, terus mengambil pendekatan berdiam diri sepenuhnya tanpa sebarang kenyataan rasmi.

Tindakan Kim Jong Kook untuk tidak mengeksploitasi kehidupan peribadinya menerima pujian peminat yang menghormati keputusannya untuk melindungi insan tersayang daripada perhatian media dan tekanan tidak wajar.

Terdahulu, Jong Kook mengejutkan peminat dengan mengumumkan bakal menamatkan zaman bujangnya pada 18 Ogos lalu.

Perkara tersebut dikongsikan menerusi sepucuk surat yang ditulis buat peminat sempena ulang tahun ke-30 penglibatannya dalam dunia seni.

Dia juga meminta peminat terus memberi sokongan dalam menempuh fasa baharu dalam kehidupan selepas ini.

Must-Watch Video