Sekilas
- Uyaina Arshad meluahkan rasa hairan kerana masih ditanya tentang kesediaannya membuka tudung untuk mengendalikan acara walaupun sudah tahun 2026.
- Dia mempersoalkan mengapa penganjur masih membuat permintaan tersebut sedangkan ramai pengacara wanita hebat yang tidak bertudung di Malaysia.
- Netizen juga berkongsi rasa yang sama dan menyokong pandangan Uyaina dalam ruangan komen.
Pelakon dan pengacara, Uyaina Arshad meluahkan rasa hairan apabila masih menerima pertanyaan mengenai kesediaannya untuk membuka tudung bagi mengendalikan sesebuah acara.
Menerusi perkongsian di platform Threads, Uyaina berkata dia masih menerima pertanyaan sedemikian biarpun kini sudah memasuki tahun 2026.
“2026 and I still get inquiries macam ni.
“Uyaina boleh take off her hijab to host this event?” kongsinya.

Dalam hantaran yang sama, Uyaina juga turut mempersoalkan mengapa pihak penganjur masih mengemukakan permintaan tersebut sedangkan terdapat ramai pengacara wanita hebat lain yang tidak bertudung di Malaysia.
“I mean.. If you nak host yang tak bertudung, punya lah ramai Malaysian hosts tak bertudung yang power power. Why la such question eh…” coretnya.
Sementara itu, di ruangan komen, rata-rata netizen juga turut berasakan hal yang sama seperti Uyaina.