Sekilas
- Viu lancar Viu Shorts, segmen mikro-drama vertikal berdurasi 1-3 minit yang boleh ditonton melalui aplikasi mudah alih mereka.
- Kandungan Viu Shorts merangkumi pelbagai bahasa dan genre dengan sari kata tempatan, serta menggunakan model freemium untuk akses pengguna.
- Segmen ini direka khas untuk tontonan mudah alih dengan navigasi baru, melengkapkan tawaran siri dan filem premium Viu.
Platform penstriman video Viu mengumumkan peluasan penawaran kandungannya menerusi pelancaran Viu Shorts, satu segmen baharu yang memfokuskan kepada mikro-drama vertikal berdurasi pendek dan boleh diakses menerusi aplikasi mudah alih Viu.
Segmen Viu Shorts yang dikemas kini setiap bulan ini menampilkan episod berdurasi antara satu hingga tiga minit, sekali gus melengkapkan barisan kandungan sedia ada Viu yang merangkumi siri dan filem premium berdurasi panjang. Inisiatif ini bertujuan menawarkan pengalaman tontonan yang lebih fleksibel, selari dengan tabiat penonton masa kini yang cenderung kepada kandungan pantas dan mudah diakses.
Ketua Pegawai Eksekutif Viu dan Pengarah Urusan Kumpulan PCCW Media, Janice Lee berkata, pelancaran Viu Shorts membawa dimensi baharu kepada platform berkenaan dengan pendekatan penceritaan yang lebih ringkas namun berimpak.
“Ciri baharu ini membawakan penceritaan pantas dalam format episod berdurasi satu hingga tiga minit, sekali gus melengkapkan penawaran meluas Viu yang merangkumi siri dan filem premium berdurasi panjang. Dengan kehadiran drama pendek ini sebagai sebahagian daripada kandungan kami, kami juga berhasrat untuk berinteraksi dengan penonton mengikut keutamaan kandungan mereka serta menyediakan pengalaman tontonan yang menghiburkan pada setiap masa,” katanya.
Viu Shorts menampilkan perpustakaan mikro-drama pelbagai bahasa termasuk Cina, Korea, Thai dan Indonesia, merangkumi genre popular seperti percintaan, thriller, fantasi dan variasi. Kesemua kandungan disertakan sari kata dalam bahasa tempatan bagi memastikan akses lebih meluas kepada penonton serantau.
Direka khas untuk tontonan vertikal, segmen ini dioptimumkan sepenuhnya untuk peranti mudah alih dengan navigasi baharu di bahagian bawah aplikasi, membolehkan pengguna beralih dengan lancar antara kandungan pendek dan siri berdurasi panjang.
Dari segi akses, Viu Shorts menggunakan model freemium. Pengguna percuma boleh menikmati sebahagian kandungan terpilih, manakala pelanggan berbayar diberikan akses tanpa had ke keseluruhan perpustakaan mikro-drama dengan paparan iklan yang minimum.
Bagi memastikan aliran kandungan berkualiti tinggi, Viu turut bekerjasama dengan pelbagai pengedar dan penerbit mikro-drama antarabangsa termasuk Rising Joy, KT Studiogenie, China Huace, 1001 Frames dan Youhug Media.
Pelancaran Viu Shorts mengukuhkan lagi strategi mobile-first Viu dalam memenuhi permintaan terhadap hiburan berdurasi pendek yang boleh dinikmati pada bila-bila masa, tanpa menjejaskan kualiti penceritaan premium yang sinonim dengan jenama tersebut.
Antara judul pilihan yang ditawarkan semasa pelancaran termasuk Pear Perfect, The Most Painful Kiss in the World, My Husband Murdered Me dan Becoming the Wife of a Dark Cult Overlord.
Aplikasi Viu dengan segmen baharu ini kini boleh dimuat turun secara percuma menerusi Apple App Store dan Google Play Store.