Sekilas
- Vivienne Marcheline, anak Brad Pitt dan Angelina Jolie, memohon secara rasmi untuk menukar nama keluarganya daripada Jolie-Pitt kepada Jolie.
- Notis permohonan telah diterbitkan dalam The Los Angeles Daily Journal dan proses bantahan dibuka sehingga 2 November sebelum mahkamah membuat keputusan.
- Permohonan ini mengikuti jejak adik-beradiknya dan dibuat atas alasan peribadi, dengan Jolie mahu anak-anaknya sembuh dan tidak terus bergaduh.
Anak perempuan Brad Pitt dan Angelina Jolie, Vivienne Marcheline, 18, meneruskan usaha untuk menggugurkan nama keluarga bapanya secara rasmi.
Vivienne dilaporkan telah menerbitkan notis permohonan pertukaran nama dalam akhbar The Los Angeles Daily Journal. Usaha tersebut adalah sebahagian daripada prosedur sebelum mahkamah meluluskan permohonan tersebut.
Berdasarkan notis berkenaan, Vivienne mahu menukar nama daripada Vivienne Marcheline Jolie-Pitt kepada Vivienne Marcheline Jolie, lapor TheDailyMail.uk.
Notis itu diterbitkan sekali seminggu selama empat minggu, bermula 24 Julai hingga 14 Ogos.
Mana-mana pihak yang ingin membantah permohonan tersebut diminta mengemukakan bantahan secara bertulis sebelum tarikh pendengaran akhir pada 2 November.
Sekiranya tiada bantahan, seorang hakim boleh memberikan kelulusan untuk pertukaran nama berkenaan, lapor premis itu lagi.
Vivienne sebelum ini dilaporkan memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi Los Angeles County, mengikuti jejak tiga orang adik-beradiknya yang turut mengambil langkah untuk tidak lagi menggunakan nama keluarga Pitt.
Menurut dokumen mahkamah, alasan Vivienne mahu menukar namanya dinyatakan sebagai “peribadi”.
Dalam pada itu, sumber terdekat Jolie mendakwa aktres berkenaan hanya mahu melihat keenam-enam anaknya melalui proses tersebut dengan baik dan akhirnya “sembuh” daripada segala yang berlaku.
“Jika orang ramai mengetahui keseluruhan kebenaran, mereka mungkin lebih bersimpati terhadap anak-anak dan menghormati mereka.
“Fakta mereka tidak bercakap buruk atau mendedahkan perkara secara terbuka hanya menunjukkan kematangan dan budi pekerti mereka,” kata sumber berkenaan.
Sumber itu turut menegaskan Jolie tidak mahu terus bergaduh atau menyimpan kemarahan.
“Jolie tidak bergaduh dan tidak marah. Dia cuma mahu semua orang sembuh,” jelas sumber tersebut.
Permohonan terbaharu itu sebenarnya bukan kali pertama dilakukan Vivienne. Pada Mei 2024, namanya sudah muncul sebagai Vivienne Jolie dalam buku program (Playbill) produksi Broadway The Outsiders.
Ketika itu, Vivienne terlibat sebagai penerbit bersama ibunya, Jolie.
Vivienne dilahirkan pada 2008 bersama adik kembarnya, Knox. Dia merupakan anak bongsu daripada enam cahaya mata Brad Pitt dan Angelina Jolie.
Jika permohonan tersebut diluluskan pada November nanti, nama Vivienne Marcheline Jolie-Pitt secara rasmi akan menjadi Vivienne Marcheline Jolie, sekali gus menamatkan penggunaan nama keluarga Pitt pada dokumen rasminya.