Sekilas
- Nurain Shuhada, pelajar Tahun Pertama UMK dari Kelantan, terus kuat menuntut ilmu walaupun kehilangan bapanya dan menghadapi cabaran kewangan keluarga.
- Kakak Nurain mengambil alih tanggungjawab keluarga manakala ibunya hanya mampu menyumbang RM100 sebulan untuk perbelanjaan pelajarannya.
- Bantuan komputer riba daripada McDonald’s Malaysia melalui Program Santun Pelajar Mekdi membantu meringankan beban dan memberi semangat untuk Nurain terus mengejar cita-cita.
Bagi pelajar Tahun Pertama Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Nurain Shuhada Mohamad Rosle perjalanan menuntut ilmu bukan sesuatu yang mudah selepas kehilangan bapa tercinta.
Namun, pesanan arwah bapanya supaya terus belajar dan mencapai cita-cita menjadi pegangan buat Nurain untuk terus kuat melangkah meskipun berdepan pelbagai cabaran.
Nurain yang berasal dari Kelantan kini sedang mengikuti pengajian di Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan, UMK.
Anak kelima daripada tujuh beradik itu dibesarkan oleh ibu yang merupakan seorang suri rumah dan tidak bekerja.
Selepas pemergian bapanya, kakak Nurain turut membantu menanggung keperluan adik-beradik, manakala ibunya hanya mampu memberikan sekitar RM100 sebulan untuk perbelanjaannya sebagai pelajar.
“Ibu saya seorang suri rumah yang tidak bekerja. Ayah saya baru saja meninggal. Kakak saya yang menguruskan keluarga. Keadaan saya dekat sini agak struggle, macam mana nak survive diri sendiri.
“Umi saya transfer duit pun RM100 untuk sebulan. Saya menginspirasikan kakak saya sebab dia mengambil tanggungjawab itu, gantikan ayah saya yang sudah meninggal dunia. Saya tahu tanggungjawab itu agak berat, untuk tanggung adik beradik,” katanya.
Keadaan tersebut membuatkan Nurain perlu berjimat dan berusaha untuk menguruskan keperluan diri sepanjang meneruskan pengajian di universiti.
Bagaimanapun, kata-kata arwah bapanya terus menjadi sumber kekuatan buat dirinya.
“Abah pernah pesan supaya saya terus belajar dan capai cita-cita,” katanya.
Pesanan ringkas itu menjadi pegangan Nurain untuk tidak mudah berputus asa dan terus berusaha mencapai impian yang diinginkan.
Dalam perjalanan tersebut, Nurain turut menerima komputer riba menerusi bantuan zakat daripada McDonald’s Malaysia di bawah Program Santun Pelajar Mekdi.
Buat Nurain, bantuan tersebut hadir pada waktu yang bermakna kerana komputer riba merupakan antara kemudahan penting yang diperlukan untuk mengikuti pembelajaran di universiti.
“Bantuan untuk pelajar dapat meringankan beban pelajar. Saya sambung belajar sebab nak bantu keluarga,” ujarnya.

Sokongan berkenaan sedikit sebanyak membantu meringankan cabaran yang dilalui Nurain sebagai pelajar, sekali gus memberi ruang untuknya memberi tumpuan kepada pengajian.
Lebih daripada sekadar sebuah komputer riba, bantuan itu menjadi satu bentuk sokongan buat Nurain untuk terus mengejar cita-cita dan membina masa depan yang lebih baik.
Kisah Nurain juga memperlihatkan bagaimana sokongan yang diberikan kepada seorang pelajar mampu memberi makna besar dalam perjalanan pendidikannya.