Sekilas
- Wayne Rooney meluahkan rasa kecewa terhadap persembahan separuh masa pertama final Piala Dunia 2026 yang menampilkan BTS, Shakira, Madonna dan Justin Bieber, menganggapnya sebagai 'mengarut'.
- Persembahan itu mendapat reaksi bercampur dari peminat, ada yang memuji gabungan artis pelbagai genre muzik, namun ada juga yang merasakan ia tidak perlu dalam perlawanan bola sepak paling berprestij dunia.
- Tempoh rehat yang panjang hampir 30 minit turut dikritik kerana dianggap mengganggu rentak permainan, walaupun persembahan hanya berlangsung sekitar 11 minit.
Pada saat ramai peminat masih berbicara mengenai persembahan separuh masa pertama dalam sejarah final Piala Dunia 2026 yang dibarisi BTS, Shakira, Madonna dan Justin Bieber sebagai sesuatu yang menyegarkan, lain pula perspektif yang dilontarkan salah seorang legenda bola sepak ini.
Wayne Rooney yang cukup terkenal sebagai bintang Manchester United itu tanpa berselindung meluahkan rasa kecewa terhadap persembahan yang disifatkan sebagai mengarut.
Bekas kapten England itu memberikan reaksi spontan ketika menjadi panel jemputan siaran BBC selepas menyaksikan persembahan yang menampilkan deretan bintang antarabangsa yang turut disertai konduktor terkenal, Gustavo Dudamel.

Sewaktu diminta mengulas mengenai persembahan tersebut, Rooney hanya memberikan jawapan ringkas tetapi cukup pedas.
"Saya suka ramai artis yang terlibat. Saya suka Shakira, BTS, Justin Bieber dan Madonna tetapi persembahan itu memang mengarut,” katanya seperti dilaporkan Yahoo!
Kenyataan Rooney pantas menjadi perhatian peminat di media sosial, malah ramai menyifatkan komen tersebut sebagai antara reaksi paling jujur terhadap eksperimen baharu FIFA itu.
Persembahan separuh masa yang diinspirasikan daripada konsep Super Bowl itu menjadi yang pertama diperkenalkan dalam sejarah final Piala Dunia.
Ada yang memuji skala produksi serta gabungan artis dari pelbagai genre muzik dunia, namun tidak kurang juga yang beranggapan ia tidak perlu diadakan dalam perlawanan bola sepak paling berprestij di dunia.
Ramai berasakan aksi final sudah cukup istimewa tanpa perlu diselitkan persembahan hiburan yang panjang.
Rooney turut mengulas segmen tarian Macarena yang menampilkan bekas pemain NFL, Rob Gronkowski, bersama model Camille Kostek.
Menurutnya, persembahan itu langsung tidak memberi sebarang keterujaan kepadanya, sekali gus mengundang gelak tawa panel lain termasuk Gabby Logan, Joe Hart dan Micah Richards.
Selain kualiti persembahan, tempoh rehat yang terlalu panjang turut mengundang kritikan.
Walaupun persembahan hanya berlangsung kira-kira 11 minit, keseluruhan tempoh rehat dilaporkan mencecah hampir 30 minit, jauh lebih lama berbanding rehat biasa dalam bola sepak yang hanya sekitar 15 minit.
Ramai pemerhati berpendapat situasi itu boleh mengganggu rentak permainan kerana pemain terpaksa menunggu terlalu lama sebelum kembali beraksi.
Malah, ada yang mempersoalkan sama ada final Piala Dunia benar-benar sesuai mengikut konsep hiburan ala acara sukan Amerika.
Bagaimanapun tidak semua memberikan reaksi negatif. Sebahagian penonton menyifatkan gabungan artis dari pelbagai latar belakang muzik seperti pop, K-pop, Latin, Afrobeats dan muzik klasik berjaya mencerminkan identiti global Piala Dunia.
Ada juga yang memuji keberanian FIFA mencuba sesuatu yang baharu sempena edisi pertama Piala Dunia yang disertai 48 negara dan dianjurkan bersama oleh Amerika Syarikat, Kanada serta Mexico.
Selain hiburan, persembahan tersebut turut membawa mesej kebajikan menerusi kerjasama dengan FIFA Global Citizen Education Fund yang bertujuan meningkatkan akses pendidikan dan sukan kepada kanak-kanak di komuniti yang memerlukan.