Sekilas
- Yamani Abdillah menegaskan hubungannya dengan adiknya, Zaki Yamani, berada dalam keadaan baik selepas salah faham mengenai nasihat membina kerjaya sendiri.
- Yamani menerima teguran ikhlas daripada Zaki sebagai dorongan untuk lebih berjaya dalam bidang seni.
- Zaki menjelaskan salah faham itu telah diselesaikan selepas perbualan peribadi antara mereka berdua.
Penyanyi, Yamani Abdillah menegaskan hubungannya dengan adiknya yang juga penyanhi, Zaki Yamani berada dalam keadaan baik susulan kenyataan adiknya itu mengenai usaha membina kerjaya sendiri sebelum ini mencetuskan salah faham.
Menerusi Threads, Yamani atau nama sebenarnya Osama Yamani Abdillah menyifatkan nasihat yang diberikan Zaki sebagai satu teguran ikhlas daripada seorang adik yang mahu melihat abangnya berjaya.
“Niat adik saya baik. Dia mendoakan dan ingin saya berjaya. Bukankah itu niat yang murni seorang adik untuk abang,” tulisnya.
Tambah bekas peserta Big Stage ini, sebagai seorang abang dia menerima nasihat tersebut dengan hati yang terbuka.
“Sebagai abang saya terima segala nasihat untuk lebih berjaya,” tambahnya.
Terdahulu, Zaki menjelaskan bahawa hubungannya dengan Yamani dalam keadaan yang baik dan salah faham tersebjt telah diselesaikan selepas abangnya menghubunginya secara peribadi.
Salah faham tersebut mula timbul selepas Zaki berharap Osama lebih rajin memanfaatkan peluang dengan menghasilkan lebih banyak kandungan digital bagi mengukuhkan nama dalam bidang seni.
Dia bahkan sering menitipkan pesanan kepada Osama supaya tidak melepaskan peluang sekiranya berkesempatan menghasilkan kandungan bersama Jamal.
Perkara itu bagaimanapun dipercayai mencetuskan salah faham apabila Osama memuat naik hantaran Threads yang menegaskan mahu membina nama sendiri dan enggan dibayangi atau dikenali disebabkan bapa mereka.
Sumber: Threads