Sekilas
- Pelakon Yana Alyahya memulakan langkah berhijab sebagai usaha penghijrahan diri ke arah yang lebih baik selepas memasuki usia 30 tahun.
- Yana mengakui proses berhijab adalah perubahan besar dan berharap orang ramai memberi ruang serta memahami perjalanan hijrahnya.
- Dia menegaskan niatnya ikhlas dan memohon agar tidak dikritik kerana sedang mencuba melakukan perubahan secara berperingkat.
Pelakon, Yana Alyahya mengambil keputusan untuk membuka lembaran baharu dalam kehidupannya apabila mula mencuba untuk berhijab sebagai sebahagian daripada usaha penghijrahan diri ke arah yang lebih baik.
Yana atau nama sebenarnya Sharifah Aryana Syed Zainal Rashid Al-Yahya berkata, niat untuk berubah itu datang dengan ikhlas dan keputusan itu hadir selepas melalui beberapa fasa penting dalam kehidupannya.
“Niat saya adalah betul betul untuk berubah ke arah yang lebih baik. Sebenarnya saya tidak mahu bercakap mengenai perkara ini iaitu tentang keinginan saya untuk cuba memakai tudung.
“Saya gunakan perkataan ‘cuba’ sebab ada yang orang tanya sama ada ini hanya untuk Ramadan atau akan terus kekal. Hakikatnya, saya sendiri pun tidak tahu.
“Saya rasa sejak dahulu lagi saya tahu suatu hari nanti saya akan memakai tudung, cuma saya tidak tahu bila waktunya.
“Tahun lalu saya mencecah usia 30 tahun dan ada beberapa perkara yang berlaku dalam hidup saya yang membawa saya ke tahap ini,” katanya.
Yana berkongsi perkara itu menerusi video pendek yang dimuat baik di akaun Instagramnya pada Isnin.
Jelas Yana lagi, selepas usianya memasuki 30 tahun, dia seolah-olah merasakan ada sayu ketenangan yang memberi isyarat buat dirinya untuk mencuba melakukan perubahan itu.
“Saya rasa apabila usia sudah masuk 30 tahun, saya merasakan ada satu ketenangan yang sangat kuat, seolah-olah diri saya berkata, ‘tak mengapa, cuba sahaja tahun ini’, kita lihat sahaja bagaimana perjalanannya nanti’.
“Selepas melahirkan Amin dan melalui banyak perkara dalam hidup, saya benar-benar mahu mencuba untuk menjadi lebih baik,” ujarnya.
Dalam masa sama, Yana yang juga merupakan adik kepada aktres Sharifah Amani ini turut mengakui proses berhijab adalah satu perubahan besar buat dirinya dan berharap orang ramai dapat memberi ruang serta memahami perjalanan hijrah yang sedang dilaluinya.
“Saya kenal diri saya dan saya tahu ini adalah satu penyesuaian yang besar. Jadi saya tidak mahu memberi tekanan kepada diri sendiri sebab jika saya mahu melakukannya, saya mahu lakukan dengan baik dan berkekalan.
“Saya tidak mahu terlebih berjanji dan akhirnya tidak dapat menunaikannya. Jadi saya mohon semua bersabar dengan saya dan kalau boleh jangan marah atau mengecam saya.
“Saya hanya manusia biasa yang sedang mencuba sebaik mungkin. Tidak kira apa yang pernah berlaku pada masa lalu kita, atau bagaimana diri kita sebelum ini, jika kita rasa ada nak berubah, cubalah,” jelasnya.
Sumber: Instagram @yana.alyahya