Sekilas
- Zizan Razak berpendapat bayaran artis tidak seharusnya hanya berdasarkan jumlah pengikut media sosial, tetapi juga mengambil kira kemampuan dan impak karya mereka.
- Beliau menegaskan pentingnya perbincangan jujur antara artis dan produksi untuk menetapkan harga yang adil dan sesuai dengan bajet serta kualiti lakonan.
- Zizan berkongsi pengalamannya menghadapi situasi bayaran tidak menentu dan menegaskan artis tidak patut meletakkan harga tinggi semata-mata kerana populariti di media sosial.
Pelakon dan pelawak, Zizan Razak berpandangan penetapan bayaran seseorang artis tidak seharusnya hanya bergantung kepada jumlah pengikut di media sosial, sebaliknya perlu mengambil kira kemampuan serta impak yang mampu diberikan menerusi sesebuah karya.
Menurut Zizan, jumlah pengikut sememangnya boleh menjadi salah satu faktor dalam menentukan nilai seseorang artis, namun perkara itu bukan ukuran mutlak kerana masih ada pihak produksi dan penyiaran yang tidak bersetuju dengan pendekatan tersebut.
“Itu bergantung kepada kemampuan, kerja dia bukan sekadar followers. Kalau nak cakap pasal followers, ada sahaja pihak penyiaran dan producer tidak setuju. Dan artis juga ada yang tak setuju sebab ada lagi talent-talent lain yang lagi bagus. Bagi saya, itu adalah satu pemberat.
“Cuma kalau sekadar ada pemberat di situ tetapi tiada bakat lakonan, takkan nak demand tinggi-tinggi. Tapi bila kau tak ada pengikut, tetapi bila berlakon view tinggi, ada impak dan orang suka, tiada masalah. Cuma letaklah bajet itu bergantung pada situasi. Kalau berlakon drama letak sampai RM100,000, tak kenalah,” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Zizan mengakui sebagai seorang artis, dia menyokong sekiranya seseorang pelakon meletakkan harga yang dirasakan setimpal dengan kerja serta kemampuan mereka.
Namun, perkara tersebut katanya perlu diputuskan menerusi perbincangan dan persetujuan antara pihak artis dengan produksi supaya kedua-dua pihak mendapat manfaat secara adil.
“Tapi saya sebagai artis pun saya percaya dan menyokong kalau artis itu letak harga yang berbaloi dengan kerja dia sebab benda ini give and take. Perkara ini kena main peranan antara produksi dengan artis.
“Kadang-kadang ada produksi yang tidak jujur dengan artis. Kata tiada bajet, jadi artis tetap buat kerana mereka mahukan, namun pada hujungnya mereka yang nampak mewah, itu pun tidak bagus. Jadi, tidak bagus untuk kita tekankan kepada artis. Jika ada bajet besar, cakap ada bajet besar. Kalau tiada, terus terang sahaja,” katanya.
Zizan turut menjelaskan bahawa dia tidak menyokong tindakan artis meletakkan harga terlalu tinggi semata-mata kerana mempunyai jumlah pengikut yang ramai.
Sebaliknya, bayaran yang diterima perlu selari dengan kualiti lakonan dan kemampuan seseorang dalam menjayakan watak.
“Saya setuju pada kiri dan kanan, biar adil. Tapi tak semestinya saya artis, saya setuju untuk kita letak harga tinggi. Kalau awak berlakon kayu, tak bagus juga.
“Berlakon bagus, dapat bayaran yang setimpal. Ada bajet, bayar mengikut bajet yang berpatutan. Tapi benda itu perlu deal secara ikhlas dan jujur, jangan ambil kesempatan,” katanya.
Mengulas pengalamannya sendiri, Zizan mengakui pernah melalui situasi tidak menerima bayaran, selain berdepan produksi yang pada awalnya mendakwa tidak mempunyai bajet tetapi akhirnya memberikan bayaran yang tidak seperti dijangka.
“Saya pernah laluinya. Yang tak bayar ada, yang deal kata tak ada bajet pun ada, yang deal begitu sahaja, tahu-tahu dapat seribu.
“Dan ada juga produksi yang betul-betul tiada bajet tetapi nak sangat saya. Kalau betul dia nak kerja, saya tak tahu betul ke tidak kalau dia tipu, tetapi sebab saya yang nak dengan watak itu, benda itu jadi tanggungjawab saya,” tambahnya.