Sekilas
- Datin Seri Zizie Izzete mengalami detik cemas apabila anaknya, Aaleph, hilang seketika di KLCC ketika keluar bersama lima anak tanpa pembantu rumah.
- Berjaya menemui Aaleph selepas lima minit, berkat anak-anak diajar menghafal nombor telefon ibu untuk kecemasan.
- Zizie mengakui kesilapan sendiri berjalan terlalu laju dan berjanji akan lebih berhati-hati serta sentiasa mengira jumlah anak ketika keluar bersama.
Pelakon, Datin Seri Zizie Izzete berdepan detik mencemaskan apabila anaknya, Aaleph, didapati hilang ketika mereka berada di KLCC, pada Selasa.
Menerusi perkongsian di platform Threads, Zizie berkata kejadian itu berlaku ketika dia membawa kelima-lima anaknya keluar tanpa ditemani pembantu rumah kerana mahu meluangkan masa bersama mereka.
“Ya Allah, saya kehilangan anak saya di KLCC. Hari ini (semalam) saya buat keputusan untuk tidak membawa pembantu sebab kononnya mahu meluangkan masa bersama, hanya mama dan anak-anak.
“Sekali sampai bank, tengah dekat kaunter, Aadam datang panik, ‘Mummy, Aaleph hilang!’” katanya.
Sebaik sahaja mendengar perkara itu, Zizie terus meninggalkan kad pengenalan dan buku bank kepada pegawai bertugas sebelum bergegas keluar mencari Aaleph.
Bagaimanapun, kira-kira lima minit kemudian, pihak khidmat pelanggan KLCC menghubunginya dan memaklumkan terdapat seorang kanak-kanak bersama mereka.
“Terus tinggal IC dan buku bank dekat officer and berlari keluar cari Aaleph. Lebih kurang lima minit kemudian, pihak khidmat pelanggan KLCC telefon saya dan berkata, ‘Ada seorang budak lelaki di sini…’
“Alhamdulillah, rupanya Aaleph. Nasib baik saya memang selalu ajar anak-anak menghafal nombor telefon saya untuk kegunaan ketika kecemasan. Hari ini, perkara itu benar-benar membantu,” jelasnya.
Dalam pada itu, Zizie juga tidak menyalahkan mana-mana pihak atas kejadian tersebut, sebaliknya mengakui dirinya turut cuai kerana berjalan terlalu laju.
Tegas Zizie lagi, kejadian tersebut juga memberikan pengajaran kepada dirinya sebagai seorang ibu untuk lebih berhati-hati ketika keluar bersama anak-anak.
“Saya tidak menyalahkan sesiapa. Saya rasa saya juga cuai. Jalan laju sangat sampai tak pandang belakang.
“Pengajaran untuk saya, kalau keluar dengan lima orang anak, jangan anggap semuanya sedang ikut. Kira jumlah anak. Sentiasa. Satu, dua, tiga, empat, lima. Ulang setiap lima minit.
“Mama nak masa untuk bonding, mama dapat cardio dan serangan panik pula,” katanya.