Seorang rakan Raden, Siti bertanyakan apakah Raden mengikut trend fesyen kebelakangan ini atau tidak. Dan jawab Raden mudah sahaja, jika terlalu terikut dengan trend bimbang nanti menjadi hamba fesyen pula. Malah fesyen itu sendiri terikat dengan perubahan dan masa. Jika mahu diikut satu persatu bimbang nanti tidak terkejar pula untuk melengkapkan segala. Secara peribadi Raden andaikan fesyen itu sendiri mahal harganya dan tidak dapat terbayang jika perlu keluarkan RM300 hingga RM400 untuk sepasang dress yang mungkin hanya akan dipakai sekali dua sahaja. Raden lebih praktikal dan fleksibel dalam soal pemilihan pakaian. Cukup sekadar ia selesa. Soal mengikut atau tidak itu perkara entah ke berapa.


Tidak seperti kenalan Raden, Alia yang terlalu taasub dengan fesyen. Segala apa yang terbaru pasti dia yang terawal mahu memilikinya. Sebutlah apa sahaja, dari sepasang baju, kasut, beg tangan, aksesori dan segala macam yang berkisarkan fesyen pasti menjadi kegilaannya. Namun seperkara yang Raden puji mengenai Alia, dia tidak pernah meminta-minta kepada suaminya untuk membeli apa jua yang diidamkannya. Sebaliknya wang untuk membeli keperluan itu dikumpul berdikit-dikit. Bahkan hingga mengikat perut. Bekerja sebagai eksekutif kewangan, dia juga bijak ‘memberanakkan’ duit.


Kredit Foto: Google

Tips dan trick yang Alia kongsikan kepada Raden, adalah ketepikan sejumlah wang daripada duit gaji. Jelasnya lagi kala satu pertemuan dahulu, “Kau buat macam benci sangat tengok ada duit banyak. Macam aku, setiap bulan aku ikat perur simpan RM500 semata-mata nak beli beg tangan Prada. Lama woi aku kumpul, dekat dua tahun. Dan nikmatnya lepas membeli, Tuhan saja yang tahu” hurainya lanjut. Menurutnya lagi, jika sudah bosan dia akan menjual untuk mendapatkan wang tambahan membeli beg tangan jenama lain pula. Macam-macam yang dilakukannya demi memenuhi keinginan dan cita rasa peribadi. Biarlah Alia dengan segala macam tips dan tricknya, asalkan dia bahagia.


Dan berbicara mengenai fesyen, sejujurnya Raden bukanlah ahli yang arif. Apa yang Raden praktikkan adalah biarlah ia longgar, menutup aurat, tidak sendat dan ketat. Namun tidak salah jika mahu berfesyen andai ia menepati syariat. Teringat pertemuan Raden dengan rakan-rakan gosip beberapa minggu lalu. Kali ini Raden ditemani Nisha, Ayu, Zura, Yani dan Ina keluar lebih awal untuk bersarapan bersama di restoran Chawan, Bangsar. Sesambil makan, mulalah sesi bertanya dan kemas kini perkembangan masing-masing. “Aku balik kampung baru-baru ni. Terserempak dengan Intan. Ingat lagi tak?” soal Nisha pada kami semua seraya kami menggangguk kepala. Sempat menghirup kopi, Nisha kembali menyambung, “Dia dah lain tau. Berpurdah!” tuturnya seraya membelikkan mata. Ina pula terkejut hingga hampir tersembur keluar nasi lemak yang baru dikunyah. Raden juga turut sama terkejut. Masakan tidak, dialah satu-satunya pelajar yang terkenal dengan berpakaian menjolok mata. Kebetulan Intan dan Raden melanjutkan pelajaran di UM, dia masih mengekalkan imej seksi.


Kredit Foto: Google

“Baguslah kalau begitu. Senang banyak tu. Tak payah susah-susah nak fikir hari ini pakai baju apa, nak padankan dengan tudung apa, baju ini dah pakai minggu lepas, takkan nak ulang pakai lagi dan eh, jimat duit banyaklah dia ya?” hurai Zura pula persis makcik bawang. Kami serentak tertawa. “Rupa-rupanya dia dah berkahwin dengan ustaz. Itu yang berjubah, bertudung-litup cuma nampak mata sahaja. Agaknya dia sudah puas seksi kot?” soal Nisha kembali menarik perhatian kami. Sambil mengunyah karipap, Nisha kembali bersuara, “Aku bukanlah nak menyibuk soal rumahtangga orang. Tapi, walau sudah berkahwin dengan ustaz sekalipun bukan bermakna tidak boleh bergaya langsung. Tengok aje ustazah-ustazah dalam televisyen tu. Cantik aje pakai. Ini tidak, balik-balik jubah hitam, tudung labuh hitam, purdah hitam. Dah macam seragam hitam pula bila tengok” ngomel Nisha lagi.


“Alah, biar ajelah dia nak pakai apapun. Asalkan tak mengganggu kita sudah. Siapa tahu kalau dia duduk rumah pakai leggings, spaghetti strap bagai, seksi-seksi untuk suami dia? Dia yang dapat pahala, tak pasal-pasal kita yang menyibuk ni dapat dosa,” hurai Ayu seraya terdiam semua. Ada kebenaran pada kata-kata Ayu. Cuma mungkin daripada pandangan Nisha, walaupun berjubah masih ada ruang untuk seseorang itu terlihat lebih bergaya. Walaupun tidak fashionable tetapi masih menjaga batas aurat dan memenuhi syariat, itu sudah memadai. “Ya, aku faham. Tapi walaupun longgar, masih lagi boleh bergaya macam mak-mak kita. Mak aku pun pakai sarung kaki, ke mana aje dia pergi tetaplah dengan baju kurung. Cuma lain corak dan warna aje. Tapi tetaplah berbaju kurung. Tapi macam si Intan tu sayang pula rasanya. Yalah, dia masih muda. Janganlah menuakan diri selagi belum sampai masa dan usia,” ujar Nisha lagi mahu menegakkan hujah dan pendapatnya.

Kredit Foto: Google

“Pada aku tak salah kalau dia nak pakai apapun. Malah lebih baik lagi dia dah tunjukkan contoh dan cara berpakaian yang betul-betul mengikut syariat. Kau cakap selagi belum sampai masa dan usia Nisha? Kita semua pun dalam ruang lingkup yang sama. Kita tidak tahu ajal dan maut yang akan datang menjemput kita. Jadi kalau sudah lakukan persiapan awal, bertaubat dan sebagainya baguslah buat bekalan. Sebabnya kita tidak tahu bila sebenarnya deadline kita. Baru-baru ini akau ada tengok satu video di Instagram. Seorang lelaki yang sedang membaca Al-Quran tiba-tiba rebah. Masya Allah mulianya cara kematian dan saat sakaratul maut menjemputnya. Dan satu lagi video, seorang Imam sedang berdiri menyampaikan khutbah. Secara tiba-tiba dia terlepas kayu mimbar yang dipegangnya lalu terjatuh. Ya Allah, cukup menginsafkan bila aku tengok,” hurai Eliani pula dengan nada suara yang lembut tetapi setiap patah katanya bisa membuatkan kami ‘hadam’ satu persatu. Dan kami semua terdiam seketika. Raden pula bersandar ke belakang. Ayu dan Ina saling berpandangan. Nisha langsung terdiam mungkin terpukul dek kata-kata Eliani. Manakala Zura pula melepaskan pandangan jauh ke luar, termenung jauh memikirkan kebenaran kata-kata Eliani tadi.


“Eh, relakslah kauorang. Aku main cakap aje. Takkan terasa pula? Kalau terasa aku minta maaf ya” ujar Eliani dirundung rasa bersalah dan bereya-eya memohon maaf kepada kami. Raden yang duduk di sebelahnya sekadar mengusap bahagian belakang tubuhnya. “Aku okey aje. Tapi memang betulpun apa yang kau cakapkan tadi. Yalah sebagai peringatan buat kita juga. Takkan sampai bila-bila mahu berseronok, menyibuk hal orang pula. Sekali-sekala tersentak macam ni, bagus juga” ujar Raden mahu mengembalikan mood ceria dalam kalangan kami. “Yalah Yani, aku pun setuju apa yang Raden cakapkan tadi. Jangan risaulah, aku tak ambil hati pun” hurai Nisha pula.


Kredit Foto: Google

Itulah sifat manusia. Dan pada Raden semuanya bermula dengan sibuk. Sibuk untuk memperbetulkan kesilapan orang lain, sedangkan kesalahan sendiri seboleh mungkin mahu disembunyi. Sibuk mahu menayang pada semua bahawa dialah saja yang bijak bergaya, punya cita rasa dalam berfesyen, dialah yang tahu segala duduk benar sesuatu isu dan macam-macam perihal lagi. Sehingga tidak menyedari bahawa tindak-tanduk diri sendiri bisa mengguriskan hati sesiapa jua. Dan daripada perkongsian cerita mengenai video yang Eliani tonton itu membuatkan Raden terfikir. Apakah agaknya pakaian akhir kita jika malaikat maut mencabut nyawa. Apa yang kita lakukan kala itu, di mana, dengan siapa, cara kematian yang bagaimana dan segalanya. Namun semua itu tersimpan rapi dalam kerahsiaan Allah SWT yang Maha Mengetahui segala sesuatu.


Raden pernah terbaca bait ayat ini. Tetapi tidak ingat pula bila dan di mana. Namun apabila menaakul setiap susunan ayatnya membuatkan Raden bersandar ke belakang dan termenung seketika. Dan renungan itu membuatkan Raden terfikir. Ada kebenaran di sebalik tafsirannya. ‘Berehatlah dengan Allah dalam sujud dan tadahan doa. Kepenatan itu bagus untuk menyedarkan kita bahawasanya perjuangan kita masih belum tamat. Ini masih dunia, belum syurga kawan.’ Justeru rebutlah peluang memperbanyakkan amal selagi hayat masih ada, memperbetulkan segala ruang yang masih lopong dan memperbaiki serta menyedari kekhilafan diri kerana kita tidak tahu bila titik penghujungnya.