Teks: Nor Hatina Shuib

Penulis antara wanita yang mempunyai persepsi bahawa pil perancang boleh menyebabkan kegemukan. Pernah mengambil pil perancang selepas kelahiran anak pertama, berat badan bertambah daripada 48 kilogram (kg) kepada 54 kg.


Nafsu makan pula semakin membuak-buak. Situasi itu membuatkan penulis panik dan terus berhenti mengambil pil perancang.


Apabila bertanya situasi ini kepada rakan-rakan, mereka turut mempunyai persepsi sama. Pil perancang adalah punca kepada masalah kegemukan selepas bersalin.


Ketika itu, tidaklah penulis bertanya kepada pakar atau doktor berkenaan perkara itu dan banyak mencari maklumat di laman sosial dengan mendengar pengalaman lain.


Realitinya, terlalu banyak andaian dan mitos membelenggu golongan wanita berkaitan penggunaan perancang keluarga.


Selain kenaikan berat badan, ia turut dikaitkan dengan gangguan kesuburan atau kesukaran untuk hamil pada masa depan. Adakah benar apa yang diperkatakan berkenaan pil perancang ini?


Bagaimana kaedah perancangan keluarga terbaik yang boleh diambil wanita? Risiko-risiko yang ditakuti wanita itu adakah benar-benar berlaku atau andaian buruk semata-mata?


Kredit foto: Google

Berhenti Salahkan Pil Perancang, Amal Gaya Hidup Sihat

Persoalan–persoalan ini mendapat perhatian Doktor Perubatan Am, U.n.i Klinik Seri Pristana, Dr Nur Amalina Abdul Moktar yang sudi memperbetul beberapa persepsi dan mitos salah berkenaan pengambilan pil perancang terutama menjadi punca kegemukan.


Beliau berkata, jangan menyalahkan pil perancang kalau anda sendiri mengamalkan gaya hidup tidak aktif dan mengambil pemakanan tidak seimbang dan berkalori tinggi seperti roti canai, nasi lemak dan teh tarik.


“Sebelum saya sentuh berkenaan isu pil perancang dan kegemukan, kita perlu tahu bahawa bukan semua pil hormon ini mempunyai kandungan yang sama.


Terdapat dua jenis pil perancang yang selalu digunakan wanita iaitu pil gabungan dan pil progestin. Pil gabungan mengandungi gabungan hormon estrogen dan progesteron. Pelbagai jenis pil gabungan yang berbeza jenis dan tahap hormone ini ada dijual di pasaran.


“Manakala pil progestin pula mengandungi hormon progesteron sahaja. Ia juga dipanggil 'mini pill'. Pil jenis ini paling sesuai untuk wanita yang tidak boleh mengambil hormon estrogen atas faktor kesihatan atau lain-lain,” terangnya lagi.
Doktor Perubatan Am, U.n.i Klinik Seri Pristana, Dr Nur Amalina Abdul Moktar

Pilih Perancang Sesuai dengan Anda

Beliau berkata, berbalik pada hubungan pengambilan pil perancangan dengan pertambahan berat badan, banyak kajian menunjukkan pil perancang tidak menyebabkan kegemukan.


Namun begitu, tidak dinafikan ada pendapat menyatakan memang ada perkaitan antara pil perancang dan peningkatan berat badan bagi sesetengah wanita.


Ini kerana kandungan hormon estrogen yang ada dalam pil perancang boleh menyebabkan pembendungan bendalir (water retention).


Namun, kesan sampingan ini biasanya bersifat sementara dan bergantung kepada individu. Bagaimanapun, ramai tidak tahu, ada juga pil perancang yang boleh menyebabkan penurunan berat badan kerana mempunyai kesan diuresis (pembuangan air) seperti pil yang mengandungi Drospirenone dan Ethinyl Estradiol.


Selain itu, pil perancang yang mengandungi hormon progesteron boleh membuatkan sesetengah wanita nampak buncit kerana ia boleh menyebabkan perut kembung.


Perkaitan pil perancang dan kegemukan mungkin timbul atas faktor-faktor ini. Manakala kaitan pil perancang yang menyebabkan sesetengah wanita mungkin mengalami pertambahan selera makan kerana mereka mengambil pil perancang yang tinggi kandungan hormon estrogennya.
Kredit foto: Google
Anda boleh memilih pelbagai jenis pil yang rendah tahap estrogen terdapat di pasaran sekarang. Bagaimanapun, beliau berpendapat hanya segelintir sahaja wanita yang mungkin mengalami masalah berat badan.


Kebanyakannya gemuk kerana tabiat pemakanan mereka sendiri pilih. Justeru, pilih pil yang bersesuaian dengan anda. Dapatkan rundingan doktor jika ada sebarang kemusykilan.


Kata Dr Nur Amalina, pengambilan pil perancang juga perlu perlu diambil dengan teratur dan konsisten bagi memastikan keberkesanan yang tinggi tercapai.


Jika tidak disiplin, bukan kegemukan yang kita dapat, tetapi kandungan yang tidak dirancang.


Pil perancang di pasaran dijual adalah dalam bentuk pek. Saranan beliau, wanita perlu mengambil pil perancang selama 21 hari setiap hari.


Sesetengah pek disertakan pil gula untuk hari ke-22 hingga 28. Dalam minggu ke-4 anda akan dapat haid, mula pek baru selepas hari ke-28.


Beliau turut berkata, dinasihatkan wanita mula ambil pil pada hari ke-5 haid. Jika anda ambil di tengah-tengah kitaran pastikan guna bersama kaedah perancangan lain seperti kondom semasa tujuh hari pertama anda mengambil pil perancang.


“ Pil perancang yang mengandungi estrogen tidak boleh diambil jika anda mempunyai penyakit jantung, darah tinggi, penyakit hati, hempedu atau buah pinggang, kanser payudara, masalah darah beku, migrain teruk serta pendarahan vagina yang belum mendapat diagnosis.”


“Wanita hamil juga tidak boleh mengambil sebarang jenis pil perancang.


Jika anda ambil ubat lain seperti anti-depressant, anti-TB, ubat sawan, ubat HIV dan sebagainya, keberkesanan pil perancang akan terganggu.


Bincang dengan doktor sebelum mula mengambil pil perancang. Sesetengah supplemen juga boleh menyebabkan keberkesanannya berkurang,” katanya.


Tambah beliau, jika anda ambil pil perancang dengan teratur, keberkesanan 99 peratus akan tercapai. Penurunan keberkesanan akan berlaku jika anda terlupa mengambil pil.


Jelas beliau lagi, setiap wanita memberi tindakbalas berbeza pada hormon. Kebanyakan wanita mungkin mengalami kesan sampingan biasa seperti mual atau loya, perubahan mood, sakit kepala, bengkak payu dara dan sebagainya.


Antara risiko serius dengan pengambilan pil perancang seperti pembekuan darah boleh berlaku tetapi rendah jika anda tiada risiko seperti obesiti, tekanan darah tinggi dan terlantar di atas katil dalam tempoh yang lama.


Jumpa doktor segera jika mengalami gejala yang lebih serius seperti sakit dada, perut, sesak nafas, penglihatan kabur serta bengkak dan sakit betis.


Nasihat akhir beliau, tiada kaedah perancangan keluarga paling bagus dalam dunia tetapi ada kaedah perancangan yang mungkin paling sesuai dengan anda.


Jangan malu untuk berbincang dengan doktor kerana perancangan keluarga penting dalam membantu meningkatkan kualiti hidup, taraf kesihatan serta kesejahteraan wanita, pasangan dan anak-anak.
Kredit foto: Google


Jika alami masalah kegemukan, apa anda perlu lakukan?

1. Jumpa doktor anda. Pemeriksaan perlu dibuat bagi memastikan kegemukan bukan disebabkan oleh faktor dan penyakit lain.

2. Doktor mungkin akan mencadangkan jenis pil atau kaedah perancang kehamilan yang bersesuaian dengan anda.



Kaedah perancangan keluarga lain?

Pemilihan kaedah perancangan keluarga bergantung kepada setiap individu. Tiada perancang yang mempunyai keberkesanan 100 peratus dan sesuai untuk semua orang dan keadaan.

Banyak faktor perlu diambil kira seperti taraf kesihatan, sosio-ekonomi, menyusu badan dan sebagainya.



Antara kaedah perancangan keluarga selain pil perancang:

a. Suntikan DEPO
• Hormon sintetik disuntik bagi mencegah ovulasi. Lendir serviks lebih pekat dan menyukarkan pergerakan sperma serta dinding rahim menjadi nipis hingga tidak sesuai untuk pelekatan janin.
• Berkesan selama tiga bulan. Suntikan susulan harus diberikan setiap tiga bulan untuk memastikan ia tetap berkesan.


b. Alat Kontraseptif Intrauterine (IUCD)
• IUCD diperbuat daripada bahan khas yang mempunyai benang. Ia dimasukkan ke dalam rahim melalui faraj dan dikeluarkan selepas 3-5 tahun bergantung kepada jenis samada berhormon atau jenis ‘copper'.
• Ia menghalang sperma daripada memasuki rahim dan mencegah pelekatan janin pada dinding rahim.


c. Implan
• Sejenis rod plastik seperti batang mancis yang terdiri dari hormon progestin sintetik yang dimasukkan bawah kulit bahagian lengan.
• Hormon yang dikeluarkan akan bertindak menghalang kesuburan lalu ovulasi tidak berlaku.


d. Pengikatan tiub fallopian
• Kaedah kekal untuk menghalang proses berlakunya persenyawaan antara benih telur dan sperma. Doktor akan menggunakan benang atau klip untuk mengikat dan menyekat tiub fallopian seterusnya menghalang proses persenyawaan.

Kaedah pencegahan fizikal seperti kondom & vaginal cap serta kaedah kalendar mempunyai keberkesanan yang lebih rendah berbanding cara di atas.


Kredit foto: Google


9 Mitos Pil Perancang

1. Gemuk
- Kebanyakan wanita tidak mengalami masalah ini. Paling utama tukar kepada gaya hidup dan tabiat pemakanan yang lebih sihat.


2. Emosi tidak stabil
- Hanya segelintir wanita sahaja mengalami masalah emosi tidak stabil dan selalunya akan hilang selepas 3 hingga 6 bulan.


3. Kanser
- Pil perancang bukanlah penyebab kanser tetapi mungkin menjadi faktor sampingan yang menaikkan risiko bagi kanser payudara dan kanser serviks.

- Tetapi ramai yang tidak tahu, pil perancang menurunkan risiko 3 jenis kanser iaitu kanser rahim (endometrium), kanser ovari dan kanser usus besar


4. Boleh berhenti ketika usia 40 tahun
- Walaupun tahap kesuburan berkurang selepas anda melepasi usia 40 tahun, wanita masih boleh mengandung.

Selain terdapat peningkatan komplikasi semasa mengandung, wanita mengandung yang lebih berusia mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk melahirkan janin yang tidak normal.
Kredit foto: Google


5. Menyebabkan jerawat tumbuh
- Masalah jerawat mungkin berlaku jika anda ambil pil yang mempunyai paras progestron rendah dalam nisbah kepada estrogen.
- Terdapat beberapa jenis pil perancang seperti pil yang mengandungi Drospirenone + Ethinyl Estradiol digunakan dalam rawatan jerawat kerana ia mampu menstabilkan hormon. Sila dapatkan khidmat nasihat doktor sebelum memulakan rawatan ini.


6. Tidak perlu patuhi arahan doktor untuk pengambilan pil pada waktu sama, boleh saja ambil bila- bila masa anda suka
- Pil perancang diambil sebaik-baiknya pada masa yang sama untuk mengekalkan tahap hormon yang dihendaki di dalam badan dan mengurangkan risiko terlupa mengambil pil. Jika anda terlupa, ia akan mengurangkan kesan pil dan risiko untuk kehamilan berlaku akan meningkat.


7. Pil perancang menganggu kesuburan wanita
- Kesan pil perancang ke atas keupayaan anda untuk mengandung semula dikembalikan sepenuhnya. Ini bermakna pengambilannya tidak akan menjejaskan peluang anda untuk mengandung apabila anda berhenti mengambil pil.


8. Pil perancang berkesan melindungi dari virus HIV
- Pil perancang tidak boleh melindungi anda dari HIV. Hanya abstinen atau kondom sahaja boleh digunakan untuk melindungi diri anda dari penyakit ini.


9. Pil perancang boleh menyebabkan kecacatan janin di masa akan datang
- Mengikut kajian, pil perancang tidak akan menyebabkan kecacatan janin.