Baru beberapa bulan menetap di luar negara atas urusan kerja, Prof. Madya Dr. Noorul Shaiful Fitri Abdul Rahman dari International Maritime College Oman (IMCO) Sohar, Oman sudi berkongsi pengalamannya mengharungi ujian penularan virus Covid-19 di sana yang kini sudahpun melibatkan 201 negara seluruh negara.


Kredit Foto: Dr. Noorul Shaiful Fitri


Setakat ini, bagaimana kalian menjalani kehidupan sebagai rakyat Malaysian di Oman?
Bagi rakyat Malaysia yang menetap dan bekerja di Oman, kami juga menggunapakai pekeliling kerajaan Oman bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua penduduk di Oman. Keprihatinan dan disiplin yang tinggi penduduk disini juga banyak membantu dan Oman tergolong antara negara GCC yang mempunyai catatan kes COVID-19 yang paling rendah iaitu sebanyak 103 kes. Alhamdulillah, syukur buat masa ini kerana tidak terlalu serius berbanding negara-negara lain.

Tindakan pantas kerajaan Oman bagi membenteras virus ini juga amat dikagumi kerana bermula 15 Mac lepas, semua rakyat diarahkan perintah berkurung di rumah bagi mengelakkan penularan wabak berkenaan. Kedai-kedai hampir semuanya ditutup, kecuali pasaraya dan kedai yang menjual barangan asas dan keperluan makanan, farmasi, klinik dan hospital.


Kredit Foto: Dr. Noorul Shaiful Fitri


Terdapat beberapa pasaraya di Oman yang mengenakan sekatan dengan hanya membenarkan beberapa orang pelanggan sahaja berada di pasaraya tersebut dalam tempoh yang singkat dan ditetapkan. Ini juga merupakan langkah keselamatan yang dilaksanakan oleh parasaya bagi menyokong and menyahut seruan Kerajaan Oman.

Penggunaan topeng muka dan sarung tangan getah pula menjadi keutamaan para pelanggan beserta hand sanitizer yang disediakan di semua pasaraya. Saya sendiri juga menggunakan kelengkapan tersebut semasa ke pasaraya bagi tujuan membeli barangan asas dan makanan. Bagi kategori pekerjaan yang tidak kritikal, pendekatan bekerja dari rumah juga menjadi sebahagian langkah keprihatinan pihak majikan di Oman dalam usaha menyokong seruan kerajaan untuk membasmi penyebaran virus ini untuk tempoh tertentu sehingga dimaklumkan kelak. Secara keseluruhan, lima pendekatan asas ditelah dilaksanakan oleh kerajaan Oman ialah:

1. Memberhentikan kemasukan ‘Non-Omani’ ke Oman melalui laluan darat, laut dan udara kecuali rakyat GCC.
2. Kuarantin kepada semua penduduk termasuk Omani.
3. Penutupan semua taman-taman awam dan taman rekreasi.
4. Memberhentikan solat Jumaat sehingga tempoh tertentu.
5. Semua aktiviti sosial seperti majlis perkahwinan disekat sama sekali.

Rakyat Malaysia di Oman juga digalakkan untuk mendaftarkan diri dan keluarga di Kedutaan Malaysia di Muscat bagi tujuan pemantauan dan keselamatan rakyat Malaysia.


Kredit Foto: Dr. Noorul Shaiful Fitri


Bagaimana keadaan di sana pada peringkat awalnya? Ada pembelian panik, sekolah, pejabat dan sebagainya beroperasi seperti biasa ataupun ditutup?
Padan peringkat awal, ada juga berlaku panic buying untuk keperluan asas keluarga, tapi ia hanya berlaku dalam sehari dua sahaja. Selepas itu suasana kembali reda seperti biasa disebabkan kerajaan mengumumkan pasaraya dan kedai menjual bahan mentah dibenarkan beroperasi tetapi dengan syarat tertentu. Akhirnya, kehidupan kembali seperti normal. Tapi sekarang ini, jika ke pasaraya suasana memang hampir kosong dan tidak ramai pembeli yang datang. Mungkin atas kesedaran yang tinggi terhadap Covid-19 ini.


Takut atau tidak nak hadapi penularan Covid-19 sementelahan berjauhan dari keluarga? Atau mungkin risau keluarga di sini?
Semestinya perasaan takut itu ada kerana keselamatan saya seisi keluarga menjadi keutamaan. Kami hanya duduk dirumah dan menjalani pelbagai aktiviti keluarga bersama. Anak-anak dipenuhi dengan aktiviti pembelajaran, menonton filem, bermain, mengaji dan juga membuat kerja-kerja di rumah.
Kesan positif yang dapat dilihat ialah masa bersama ahli keluarga lebih banyak dan kebersihan menjadi keutamaan kami. Isteri saya sering memasak pelbagai juadah enak termasuk kuih-kuih Malaysia.

Walaupun jauh di Oman, kami tetap menghubungi ahli keluarga di Malaysia bertanyakan khabar berita dan keadaan di Malaysia. Syukur keluarga di Malaysia sihat semuanya. Dan semestinya kami risau apabila melihat keadaan masyarakat kita yang bertindak sambil lewa atas arahan yang dikuatkuasakan kerajaan. Ini sebenarnya mencerminkan sikap negatif segelintir rakyat Malaysia terhadap Covid-19 ini dan akhirnya memberi kesan menyeluruh kepada Malaysia.


Kredit Foto: Dr. Noorul Shaiful Fitri


Beza budaya masyarakat Oman dengan rakyat Malaysia kerana kita sedia maklum masih ada lagi yang berdegil, masih keluar rumah dan ingkar dengan arahan kerajaan. Komen?
Keprihatinan dan disiplin yang tinggi masyarakat di Oman menjadi kunci utama untuk membasmi penularan virus ini. Ketaatan pada perintah berkurung yang dikeluarkan oleh kerajaan memperlihatkan hanya segelintir penduduk sahaja yang keluar bagi membeli keperluan asas dan makanan. Terdapat juga Perkhidmatan personal shopper yang disediakan oleh pasaraya di Oman ini yang menghantar sampai ke depan pintu rumah. Ini sekali gus menggalakkan penduduk untuk kekal berada di rumah.


Kredit Foto: Dr. Noorul Shaiful Fitri


Antara tanda sokongan pihak pasaraya dalam usaha membantu pembelian barangan asas dan makanan, terdapat banyak pasaraya mengurangkan harga barangan dengan memberi diskaun harga barangan tertentu. Promosi berterusan ini membolehkan penduduk di Oman mengimbangi kehidupan mereka akibat daripada terjejasnya pendapatan bagi sesetengah golongan.

Apa langkah-langkah penjagaan yang kalian ambil sebagai ibu bapa khususnya untuk mencegah penularan virus Covid-19 terhadap anak-anak?
1) Memastikan anak-anak hanya bermain dalam rumah dan persekitaran rumah sahaja.
2) Jaga kebersihan diri dan keluarga dengan kerap membasuh tangan dengan sabun dan menggunakan hand sanitizer.
3) Anak-anak tidak di bawa keluar ke pasaraya atau taman permainan.
4) Paling penting mengajak anak-anak sama berdoa kepada Allah, memohon perlindungan dan selamatkan kami semua dari jangkitan virus Covid-19 ini.


Kredit Foto: Dr. Noorul Shaiful Fitri


Pesanan atau mungkin ada sebarang peringatan kepada seluruh rakyat Malaysia supaya bersatu dalam mendepani musibah ini?
Kami seisi keluarga dan rakyat Malaysia di Oman mendoakan kesejahteraan dan keselamatan seluruh ahli keluarga kami semua di Malaysia termasuk warga Malaysia. Kerajaan Malaysia telah memberikan yang terbaik untuk memastikan wabak Covid-19 ini dapat ditangani segera. Cuma, rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa, keturunan dan fahaman politik perlu mainkan peranan penting dalam mematuhi perintah kerajaan berkenaan perkara ini. Contoh yang paling mudah, China berjaya membebaskan negaranya dari virus Covid -19 ini dalam tempoh satu bulan sahaja. Jika negara China yang mempunyai kapasiti penduduk yang ramai berbanding Malaysia boleh melakukannya, kenapa tidak rakyat Malaysia? TIADA SESIAPA YANG DAPAT MENGUBAH DIRI KITA, MELAINKAN DIRI KITA SENDIRI. Sama-sama lah kita tingkatkan keprihatinan, displin dan kesedaran diri dan keluarga bagi menangani penularan wabak ini.