Pengarah Kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Michael Ryan memberitahu bahawa Covid-19 mungkin menjadi satu lagi virus endemik dalam komuniti. Ia tidak mungkin dapat dilenyapkan. Sama seperti HIV, walaupun penularannya berjaya diatasi, namun tidak mungkin hilang secara total.


Malah, Ketua WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus juga menegaskan masih terdapat kemungkinan untuk mengawal virus tersebut. Katanya, “Usaha untuk membendungnya terletak kepada diri masing-masing. Semua pihak perlu memainkan peranan untuk menghentikan pandemik ini jika mahu membendungnya daripada terus merebak.”


Walaupun vaksin kemungkinan ditemui selewat-lewatnya tahun hadapan, namun ia tidak dapat menjamin wabak ini akan terus lenyap. Apatah lagi dalam situasi yang masih tidak dapat dipastikan sama ada vaksin tersebut perlu atau tidak dipatenkan? Presiden Afrika, Cyril Ramaphosa dan Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan antara lebih 140 pemimpin dunia telah menandatangani dokumen menyatakan sebarang vaksin tidak wajar dipatenkan malah ia perlu dikongsi antara negara.


Kredit Foto: Google


Belajarlah Hidup Dengan Covid-19


Suka atau tidak, kita tiada pilihan. Ternyata virus ini tidak mungkin pergi meninggalkan muka bumi ini dengan begitu mudah. Ia bukan boleh dihilangkan dalam msa berbulan atau bertahun. Tiada siapa mampu meramalkan bila ia bakal berakhir. Yang pasti, ramai menjangkakan ia tetap akan bersama penduduk dunia untuk jangka masa panjang atau mungkin selama-lamanya.


Apa yang penting sekarang adalah peranan setiap manusia di dunia ini untuk patuh pada norma baru kehidupan. Tidak boleh lagi meneruskan rutin harian seperti sedia kala. Inilah pengorbanan terbesar yang perlu kita akur dan taat jika mahu bebas daripada wabak Covid-19. Ia umpama hidup dengan seseorang yang kamu tidak sukai. Cuba elak selagi boleh.


Teruskan dengan penjagaan diri yang ketat, pakai topeng muka, kerap mencuci tangan, sentiasa menjaga jarak dengan orang sekeliling, cepat-cepat rujuk ke klinik atau hospital jika terdapat gejala seperti demam dan batuk, tidak menghadiri sebarang perjumpaan atau menganjurkan perhimpunan dan elakkan keluar rumah jika tiada urusan penting. Kita jaga kita.



Kredit Foto: Google