Berapa banyak hubungan hancur dek salah tafsir kata-kata yang dihantar menerusi WhatsApp. Berapa ramai yang sudah tidak bertegur-sapa kerana terasa hati dek kiriman teks yang disalah anggap. Kiriman tulisan alam maya tidak dapat dituturkan secara jelas. Ada yang teks itu ditulis dengan ayat yang tegas tetap cara penuturannya sebenarnya adalah sebaliknya. Namun, tidak ramai yang mampu memahaminya dengan positif.



Isteri Merajuk Ingat Suami Dingin

Ada suami dan isteri yang berada dalam jarak jauh hanya menggunakan WhatsApp sebagai penghubung berkongsi khabar dan cerita. Walau sudah lama berkahwin namun ia bukan jaminan suami dan isteri mampu memahami pasangan walau dalam alam maya. Ada ketika soalan isteri tidak dapat dijawab suami kerana dalam keadaan sibuk. Ada pula isteri terlebih gurau membuatkan suami terasa hati. Begitulah yang terjadi apabila lebih banyak berhubungan dengan WhatsApp.

Ada isteri yang apabila mahu berbual dengan suami terus tawar hati apabila suami menaipkan ayat yang baginya kedengaran kasar walaupun bukan itu maksud hati suami. Mungkin suami menaip kata-kata itu pada ketika sedang bertugas. Jadi, fikirannya tidak 100 peratus pada apa yang sedang ditaipnya. Maka, berlakulah keretakan dalam rumah tangga apabila isteri menganggap suami sudah berubah dek kiriman WhatsApp yang tidak lagi mesra.



Kredit Foto: Google


Kawan Mula Membenci

Ada juga dalam kalangan kawan-kawan apabila bergurau tidak kena pada tempatnya. Walaupun pada awal niat hanya mahu usik-mengusik, akhirnya membawa kepada pertelingkahan. Daripada pertelingkahan menjadi pemusuhan dan kebencian. Semuanya bermula daripada hanya kiriman WhatsApp. Seorang kawan ada bercerita dia sudah terputus hubungan dengan kawan lamanya sejak setahun yang lalu gara-gara salah faham daripada WhatsApp yang dihantar.


Kata teman ini, dia hanya mengusik suami sahabatnya itu yang kelihatan pendiam dan tidak banyak cakap. Katanya dia tidak langsung menghina atau merendah-rendahkan suaminya, sebaliknya mahu memuji bahawa dia bertuah punya suami baik. Tidak ramai lelaki sekarang punya karekter seperti itu. Namun, tidak sampai beberapa minit ayat itu dibaca, kawannya itu terus membalas dengan kata-kata, “Jangan suka menyindir orang! Nasib kamu tak tahu lagi. Mulai hari ini kita putus kawan!”


Allahuakbar. Teman ini terkedu kerana tidak sangka sejauh itu tanggapan negatifnya terhadap kata-kata yang disampaikan itu. Belum sempat mendengar penjelasannya, nombor dia sudah pun diblok. Sehingga kini temannya itu tidak dapat menghubungi kawannya itu. Di media sosial pun tidak boleh dikenal pasti akaunnya. Teman ini sedih kerana persahabatan mereka terputus begitu sahaja dengan hanya kiriman WhatsApp yang disalahertikan.



Kredit Foto: Google


Adik-Beradik Terputus Hubungan

Begitu juga dalam hubungan adik-beradik, pasti ada grup WhatsApp keluarga, kan? Kisahnya juga lebih kurang sama apabila ada antara adik-beradik yang cepat sentap dan terlalu sensitif. Maka, kita akan lihat dalam masa beberapa ketika ada yang ‘left group’ sebagai tanda protes dan tidak berminat lagi meneruskan hubungan kekeluargaan di situ. Lepas seorang, seorang membawa diri gara-gara tidak suka dengan apa yang diutuskan dalam WhatsApp group itu.

Ada sesetengah ahli keluarga yang suka berkongsi video atau apa-apa kata-kata nasihat yang dihantar secara rambang. Namun, rupanya ada yang mengambil serius perkara itu hingga berasakan perkongsian itu ditujukan kepadanya. Maka, mulalah si polan ini berasa dirinya ‘ditembak’ secara terang-terangan di hadapan semua ahli keluarga yang lain. Baginya, ia menjatuhkan air mukanya, walaupun si penghantara berniat baik sekadar mahu berkongsi ilmu



Kredit Foto: Google


Maka, Berhati-Hati dan Diam Saja Yang Lebih Baik

Susah untuk ditelah hati dan perasaan semua orang. Lain orang, lain cara pemikirannya. Jadi, janganlah kita cepat melatah. Sabar dan kekal tenang dalam berhubungan secara alam maya ini. Jika mahu berkongsi sesuatu yang dirasakan baik, maka mulakanlah dengan mukadimah yang indah-indah dahulu supaya setiap orang menerimanya tidak akan berasa hati.

Dan, jika dirasakan kiriman tersebut mungkin boleh membawa fitnah dan mengundang bencana, maka lebih baik disimpan sahaja. Diam itu ada kalanya lebih baik daripada berkata-kata. Kekal tenang di rumah dan banyakkanlah berhubungan dengan sang pencipta daripada orang yang jauh. Tunggu habis PKP ini, berjumpa terus lebih sesuai.



Kredit Foto: Google