Melihat apa yang dimuat naik di media sosial setiap hari ada kalanya membuatkan kita tertanya-tanya. Bagaikan ada yang berlumba-lumba nak upload itu ini. Bercuti, shopping beg tangan, makan di kafe hipster, ootd dan macam-macam lagi. Nak dilihat setara atau sama dengan orang lain. Nak ikut trend, ikut kawan dan sebagainya.

Sedangkan itu semua tak perlu. Lalu kenapa masih ada yang muat naik dengan konten sedemikian? Untuk puaskan nafsu agar tak dilabel sendu? Walau terpaksa berhutang demi nak cantikkan konten di media sosial? Allahu…

Kredit Foto: Google


Sepuas manalah rasa kalau itu semua dilakukan sedangkan hati sendiri tak tenteram, tak tenang. Runsing memikirkan hutang keliling pinggang? Kepada siapa mahu ditayangkan segala apa yang anda miliki? Adakah semata-mata untuk kepuasan sendiri atau bersifat nak balas dendam dengan sesiapa yang mungkin dirasakan menggugat hidup anda?

Dan apabila dijaja semua muat naik itu, apakah perasaan yang tersisa untuk diri anda sendiri? Fikirkan sejenak. Renung ke dalam. Hadam satu persatu hukum alam. Cukuplah hidup sekadar ada, semampunya. Tak perlu nak impress bekas isteri, bekas suami, musuh dalam selimut, gunting dalam lipatan atau sesiapa sekalipun.

Bersederhana kan lebih baik? Kerana disitu ada kunci kebahagiaan yang mungkin selama ini anda tercari-cari. Jika dari segi material yang bersifat sementara itu mahu dilampiaskan segala, ketahuilah takkan ke mana kepuasan yang mungkin anda rasa. Selebihnya akan diselubungi kekesalan dan kekosongan di kemudian hari.


Kredit Foto: Google


Ikhlaskan diri, luangkan masa untuk dalami ilmu tingkatkan motivasi dan perkasakan kerohanian diri. Kerana di penghujungnya nanti anda akan temui kepuasan sebenar yang dicari-cari. Usah dicari, jangan diharap pujian melangit daripada makhluk. Kita tak tahu sejauh mana kejujuran dan keikhlasan seseorang kerana masing-masing empunya diri yang lebih tahu menilai dan menghargainya.

Lebih baik cari jalan dan ikhtiar untuk impress kan Maha Pencipta. Penuhkan buku amalan kita. Semarakkan kebaikan, kasih sayang, sifat mengambil berat sesama insan. Spread love, not hate. Waktu yang ada terlalu singkat untuk dibazirkan dengan perlumbaan bersifat duniawi. Sebaiknya berlumba-lumbalah kita beramal, tambahkan amalan dan kumpul sebanyak mungkin kebaikan juga kejarlah apa jua amalan yang mengganjarkan pahala. Itu jauh lebih baik dan dianjurkan agama.