Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
gaya hidup

HOSPITAL Tempat Terbaik Muhasabah dan Insafi Diri, Buat Kita Hargai Kesihatan dan Nikmat Tuhan.

Afiza Kamarulzaman 23/02/2021 | 14:50 MYT
Satu hari seorang kawan ditimpa ujian sakit. Dia mempunyai insurans yang membolehkannya ke hospital swasta, namun apabila dirujuk kes beliau, hospital swasta terpaksa menolaknya ke hospital kerajaan. Ditakdirkan pula, dia terpaksa ditempatkan di wad biasa yang kita maklum lebih terbuka dan bersama dengan pesakit yang ramai.
Ini pertama kali dia ditahan di dalam wad. Sebelum ini hanya sakit biasa sahaja. Seminggu berada di wad terbuka begitu buat dia benar-benar insaf dan mensyukuri atas segala nikmat yang Allah berikan kepadanya selama ini. Nikmat kesihatan, nikmat selera makan, nikmat mampu bergerak, nikmat tidur yang nyenyak dan bermacam lagi nikmat Allah yang tak terhitung mahalnya.
Kiri Kanan Depan Belakang Meratapi Nasib
Ceritanya setiap hari berada di situ bagaikan mimpi ngeri. Saban masa menghitung detik bila agaknya dapat keluar dari sini? Dia mungkin tidak pernah merasai pengalaman duduk di penjara, tetapi duduk di hospital juga tidak kurang hebatnya gerhana yang melanda jiwa. Resah gelisah sepanjang masa.
Walaupun hanya berbaring di katil dan dilayan makan dan minum setiap hari, namun nikmatnya langsung tidak terasa. Hilang segala deria yang diberikan Allah selama ini. Tiada senyuman yang mampu diukir, tiada ketawa yang mampu dilontarkan. Walaupun juru rawatnya baik, ada tetamu datang melawat namun gundah di hati tidak mampu dilenyapkan.
Katanya lagi, lihat di katil kanan, ada pakcik mengerang kesakitan, lihat di kiri, remaja berselirat wayar dan tiub. Toleh ke depan, katil sudah kosong, lelaki berkumis yang dah dua hari tak sedarkan diri telah pun diusung ke bilik mayat. “Allahu, citra warna apakah yang ingin Engkau pamerkan kepadaku?” Bentak hati kecilnya.
Kredit Foto: Google
Setiap Hari Mohon Untuk Peluang Kedua
Kawan saya ini tidaklah cetek agamanya, cuma tidaklah juga sealim mana. Solat ada didirikan cuma selalunya tidak cukup lima waktu. Mengajinya juga jarang sekali. Maksudnya, hanya sekali ketika khatam pada usia 12 tahun dulu. Sedekah dan amal jariah hanya setahun sekali, yakni fidyah ketika bulan Ramadan semata.
Namun, Tuhan tetap sayang katanya. Rezekinya tidak pernah putus, sentiasa mengalir bak air laut. Apa sahaja pekerjaan yang dilakukan sentiasa mendatangkan kejayaan dan hasil membanggakan. Anak isteri juga mententeramkan jiwa. Kesihatannya tidak pernah diuji, maka dia sendiri terleka walau usia baru menjengah 38 tahun.
Siapa sangka, akhrirnya dia rebah juga menyembah bumi Tuhan pemilik semester alam. Apabila diberika kesakitan, hilang selera makan, tidur yang terganggu, barulah dia tersentak dari lamunan dunia yang panjang selama ini. Baru dia sedar semua yang dimiliki selama ini hanyalah pinjaman daripada Allah SWT. Tiada satu pun hak milik mutlaknya hatta sehelai rambut.
Apatah lagi, apabila terpaksa duduk di wad sebegitu, membuatkan dia menangis sesal setiap malam. Berpaling ke kiri air matanya menitik, berpaling ke kanan, esakannya semakin kuat, memandang ke depan, kepalanya menggeleng penuh hiba dan keinsafan. Setiap hari dia menadah tangan memohon Allah berinya peluang ke dua.
Kredit Foto: Google
Peluang Ke Dua Adalah Peluang Keemasan dan Kecemasan
Saat diberitahu oleh doktor yang dia sudah boleh keluar wad pagi itu, kawan ini terus memeluk doktor itu dan turun dari katil sujud syukur. Dia menangis teresak-esak seperti anak kecil. Ternyata Tuhan masih sayangkannya dengan memberi peluang ke dua yang jarang dapat dimiliki oleh semua orang yang senasib dengannya.
Inilah peluang keemasan dan kecemasan katanya. Keemasan kerana ia sangat berharga untuk dinikmati semula setiap pemberian Allah dengan penuh kesyukuran dan kecukupan. Dan katanya lagi, dia panggil juga ini sebagai peluang kecemasan kerana hanya inilah waktu dia ada untuk menebus semula kesilapan lama dengan diisi sebanyak mungkin bekal sebagai amalan di sana nanti.
Gaya hidupnya ternyata berubah 360 darjah. Dia mula hargai kesihatannya dengan bersenam dan menjaga pemakanan. Dia mula mensyukuri nikmat yang Allaha berikan dengan pengisian agama dan amal yang memberinya ketenangan dan sebagai bekalnya jika tiada lagi peluang seterusnya. Matlamatnya kini hanyalah akhirat untuk dibawa sama seisi keluarganya nanti. Insya Allah.
#Sakit #hospital #Insaf
;