Trend isteri zaman kini suka cerita masalah rumahtangga di media sosial, adakah ia satu trend yang lebih banyak mudarat daripada manfaat? Atau mungkin kerana dengan pendekatan sebeginilah menjadi jalan mudah bagi isteri untuk tahu siapakah yang punya angkara, komen Ustazah?

Berbalik kepada fitrah kita sebabnya kita nak meluahkan perasaan seperti rancangan kita hari ini. Jadi dalam keadaan emosi kita yang tidak stabil, dibelenggu rasa marah, geram, sedih dan kecewa di mana lagi yang lebih senang untuk luahkan perasaan?


Jawapannya mungkin di media sosial. Tetapi kalau ditanya, saya kurang setuju dengan pendekatan ini iaitu menceritakan semua masalah rumahtangga di media sosial. Tetapi kalau dalam konteks meraikan perasaan yang mahu bercerita itu, mungkin kita boleh meluahkannya atau diceritakan dalam bentuk umum.


Maksudnya disini adalah menjaga batas-batas seperti menjaga aib, menjaga maruah yang tidak terlalu diperincikan hinggakan keluar segala gambar atau video misalnya.


Atau hingga membawa kepada kekecohan dalam kalangan netizen, netizen berpihak kepada isteri atau suami dan sebagainya. Bukanlah bermakna tak boleh meluahkan langsung tetapi biarlah secara umum.


Kredit foto: Google



Mungkin Ustazah boleh kongsikan berdasarkan pengalaman Ustazah mengadakan kuilah, ceramah dan sebagainya; mungkin ada yang datang berjumpa sekali gus meluahkan rasa hati mereka berkaitan isu Hijack Hak Orang ini?

Sememangnya ramai sangat yang datang mengadu cerita, meluahkan itu dan ini. Malah ada yang datang berjumpa adalah pihak ketiga itu sendiri.


Dan di pihak saya perlu berlaku adil kerana jangan sampai kita terus menjatuhkan hukum atau meletakkan kesalahan bulat-bulat atau membuat tuduhan di tempat yang salah. Hal ini kerana semuanya ada latar belakang, cerita dan sebab yang tersendiri.


Apabila mendengar cerita dan luahan mereka, Masya Allah sangat kasihan dan sedaya upaya saya mahu tolong mereka.


Jadikan kisah ini sebagai pengajaran untuk kita teladani bersama. Ada isteri datang berjumpa saya menceritakan kecurangan berlaku di pihak suami dan orang ketiga.


Suaminya merayu-rayu mahu diberi peluang kali entah ke berapa tapi bukan senang bagi isteri untuk menerima semula suami apatah lagi kalau sudah lihat gambar-gambar, video dan sebagainya.


Maka dengan itu, si isteri perlukan bantuan dan sokongan misalnya sesi terapi, bantuan psikologi untuk menempuh fasa itu. Kerana hati isteri sudah terlalu kecewa, remuk redam dan seumpama dengannya apatah lagi ia terkait dengan soal kepercayaan yang diberi kepada suami sebelum ini.


Kredit foto: Google


Pada hemat Ustazah, mengapa perkara ini terjadi? Adakah kerana suami tidak pernah puas hanya dengan seorang isteri atau bagaimana? Atau adakah mungkin kita sebagai wanita perlu cuba elakkan daripada perkara ini berlaku, contohnya cuba perbaiki penampilan supaya dapat tambat hati suami?

Saya suka melihat apa yang dikatakan orang dahulu. Bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Jadi, perkara ini melibatkan peranan setiap pihak. Baik suami, isteri mahupun orang ketiga semuanya harus faham fungsi diri dan jaga dengan sehabis baik supaya kita dapat hidup dalam keadaan yang harmoni.


Sejujurnya, berdasarkan kajian yang dilakukan sememangnya kita tidak dapat menolak fakta dan sifat semula jadi seorang lelaki itu. Walau macam mana kuatnya dia, bertubuh sasa, gagah dan sebagainya dia tetap perlukan seorang pendengar yang baik.


Dan sebenarnya maaf cakap ya, kadang-kadang kaum lelaki ini tak pandai sangat nak meluahkan apa yang dia rasa, apa masalahnya. Malah cara seorang lelaki meluahkan pun pelbagai dan sebagai isteri kita perlu peka dan faham tentang ini secara psikologinya.


Seterusnya peranan isteri itu sendiri. Sudah menjadi sifat semula jadi dan hakikat seorang lelaki bernama suami; dia mahukan belaian, mahu bermanja, nak lihat isteri bersiap cantik untuk dirinya dan lain-lain.


Tetapi berbalik pula kepada peranan dan tanggungjawab suami. Suami perlu faham dan meraikan isteri. Kerana isteri tak sama seperti orang ketiga atau wanita lain yang melayan di luar rumah. Kenapa tak sama?


Sebab mutlaknya adalah orang ketiga tidak memegang tanggungjawab sebagai ibu yang perlu melayan anak-anak, perlu uruskan rumahtangga, memasak, membersih, melayan kedua-dua belah keluarga dan banyak lagi tuntutan tanggungjawab lain.


Justeru itu, perlu seimbangkan tanggungjawab dan sifat lahiriah antara suami dan isteri. Tidak kiralah berapa lama usia perkahwinan kita, raikan pasangan, layanilah dia, bermanjalah dengan pasangan kita dan warnailah hubungan sesama kalian.


Kredit foto: Google



Bagi Ustazah sendiri, bagaimana caranya Ustazah perbaharui, semarakkan kembali warna cinta dalam melayari hidup sebagai suami isteri?

Pasti, mesti dan perlu buat. Pertamanya saya berpegang kepada konsep kasihanilah suami kita kerana (mungkin) kita adalah satu-satunya isteri yang halal untuknya.


Jadi pada fikiran saya, kasihan dalam pada keadaan kita seorang saja yang halal disisi agama baginya; tiba-tiba dia nak tengok kita apabila bangun tidur rambut bagaikan terkena renjatan elektrik.


Ataupun apabila nak duduk dekat dengan kita, bau segala macam masam, belacan dan sebagainya.


Lebih-lebih lagi hidup dalam zaman serba berteknologi hari ini. Semuanya di hujung jari. Keluar saja rumah, pelbagai ragam, godaan akan sentiasa melingkari dirinya.

Apa yang dia dengar, apa yang dia tengok semuanya memainkan peranan dan mendorong diri dia. Adakah mendorong ke jalan yang lurus atau terdorong ke jalan yang memudaratkan rumahtangga. Kerana Nabi Muhammad SAW berpesan agar kita menjaga pandangan mata suami.


Kredit foto: Google



Kalau kita lihat daripada statistik jumlah penduduk negara; wanita lebih ramai daripada lelaki. Jadi, bolehkah dijadikan sebagai hujah wanita perlu lebih terbuka bagi menerima pihak ketiga agar seimbang atau mungkin untuk mengharmonikan keadaan?

Pertama, kita perlu lihat pihak ketiga ini nak dikategorikan sebagai siapa? Sama ada baik atau buruk ia bergantung kepada tiga perkara iaitu pertama niatnya. Kalau niatnya baik untuk mencari pasangan hidup misalnya adakah dia benar-benar ikhlas dan sebagainya.


Kedua lihat bagaimana dan apa caranya. Mungkin niatnya baik tetapi caranya sangat menyakitkan hati, tidak beradab dan lain-lain. Manakala ketiga pula bagaimana dia meraikan keseluruhan pihak yang terlibat dalam kehadiran dia dengan hubungan orang lain.


Hal ini kerana dia tidak boleh fikirkan dirinya sahaja, dia tidak boleh pentingkan diri.


Dan apabila ketiga-tiga perkara ini diambil kira, maka hendaknya kita luaskan dimensi pemikiran dan buat pertimbangan yang waras sebelum bertindak dan memutuskan sesuatu.


Kredit foto: Google


Ada atau tidak pengalaman Ustazah berhadapan dengan situasi sebenarnya pihak ketiga inipun tak mahu terjebak dalam keadaan itu tetapi menjadi mangsa keadaan. Atau si suami pun tidak mahu perkara itu terjadi tetapi ia tetap berlaku kerana ujian. Komen Ustazah?

Ada tetapi tidak boleh dan tidak adil jika menyandarkan ia sebagai takdir semata-mata. Misalnya, “Sebenarnya saya tak nak pun tetapi ini takdir”. Dan perlu diingat, sebenarnya ada banyak sebab mengapa lelaki berlaku curang.


Ada yang mencari kepuasan, cari kecantikan, cari duit. Dan mungkin dengan tittle sebagai suami atas nama keegoan seorang lelaki dia tidak dapat daripada isteri dia.


Mungkin isterinya seorang yang bijak pandai, dominan dalam perhubungan lantas dia bertindak mencari yang lain. Yang karakter orang ketiga itu lebih mendengar kata mungkin dan sebagainya. Rentetan itulah saya katakan, setiap kes orang ketiga itu berbeza latar belakang dan penceritaannya.


Kredit foto: Google



Rumusan ringkas daripada Ustazah bagi kes Hijack Hak Orang ini?

Waima apa yang berlaku, suami perlu bertanggungjawab. Baik pihak kedua atau ketiga, kedua-duanya boleh menjadi mangsa gara-gara suami yang tidak bertanggungjawab kepada Allah.

Hal ini kerana apabila diawal perkahwinan dahulu, diambilnya tanggungjawab itu kerana Allah. Pegang amanah. Jadi jagalah ia dengan sebaiknya.


Kerana ramai isteri di luar sana yang menangisi perkahwinan mereka, yang membuatkan mereka tertekan seterusnya terjerumus dalam masalah depresi, tekanan melampau disebabkan oleh terkait dengan masalah suami yang tidak berkesudahan.