Read
Kenapa Orang Kita Suka Terbang ke VALENCIA? — Ini Tips Kembara Sweet Qismina, Anda Kena Baca
Oleh: Norhaizan Ahmad
Kredit foto: Sweet Qismina
Sebut sahaja sepanyol, siapa yang bisa menolak jika diajak kembara ke negara yang satu ini? sejarah serta keindahan seni binanya memang terkenal di seluruh pelusuk dunia. Justeru, sepanyol memang ada dalam ‘bucket list’ saya sebagai destinasi yang mesti saya kunjungi suatu hari nanti.
Alhamdulillah, rezeki akhirnya datang menyapa apabila pihak Kiehl’s malaysia mengutuskan undangan untuk menyertainya ke acara pelancaran produk terbarunya di Valencia, Sepanyol. dek kerana teruja, saya menjerit kegembiraan apabila menerima undangan tersebut,” ujar Sweet Qismina dalam nada gembira kala dihubungi InTrend.
“Tatkala pesawat mendarat di Barcelona-El Prat airport, saya tidak sabar-sabar mahu menjejakkan kaki di bumi sepanyol. malah penerbangan yang memakan masa berbelas jam terasa singkat,” jelas pelakon berwajah keanak-anakan ini.
Kredit foto: Sweet Qismina
“Memandangkan kali ini kembara saya atas urusan kerja maka saya perlu membuat persediaan agar tidak canggung di majlis orang. yang pertama saya ambil berat adalah mengenai cara pemakaian tatkala berada di sana.
Saya ‘Google’ cara pemakaian orang Sepanyol agar tidak dilihat melebih-lebih dalam bab bergaya. Apa yang saya buat hanya kerana mahu kelihatan presentable kala berada di majlis itu nanti.”
Kredit foto: Sweet Qismina
“Apa yang menyeronokkan di Valencia? Saya rasa happy kerana dapat menatap keindahan seni bina bangunan lama yang menghiasi setiap penjuru kota. Valencia adalah kota di mana elemen sains dan seni digabungkan menjadi satu. Kota campuran seni bina lama dan moden yang akhirnya menjadi antara kota unik yang harus dilawati.”
“Satu lagi yang istimewa adalah buah oren Valencia yang enak dan manis! Buah oren merupakan produk terkenal dari Valencia, dan pemandangan pokok-pokoknya berjajaran sepanjang laluan ke Barcelona.
Dapatlah kami merasa keenakan jus oren tatkala dibawa ke Masia de Xamandreu. Sampaikan saya bawa balik beberapa biji buah oren ke Malaysia sebagai kenang-kenangan, hahaha...”
Kredit foto: Sweet Qismina
“Kebiruan Laut Mediterranean pula membangkitkan ketenangan yang tidak dibuat-buat dalam mengkagumi keindahan alam semula jadi ciptaan-Nya. Keindahan semula jadi pantainya dapat dilihat sepanjang kami berada di Marina Beach Club Valencia.”
“Sepanjang seminggu berada di sini, tidak ketinggalan mengunjungi Mercat Central de Valencia iaitu antara pasar basah yang terkenal dan menjadi tumpuan penduduk tempatan juga pelancong luar.”
Kredit foto: Sweet Qismina
“Sebelum pulang, kami berpeluang mencumbui Barcelona yang kaya dengan warisan sejarah dan penting sebagai pusat kebudayaan Sepanyol. Kami berkesempatan mengunjungi Parc Guell iaitu sebuah kompleks taman hasil sentuhan luar biasa arkitek Antoni Gaudi.
Terkesima melihat betapa hebatnya Sagradia Familia iaitu gereja terbesar di sana yang masih belum siap pembinaannya sejak beratus tahun dahulu. Kenangan manis di Sepanyol bakal disemat indah dalam sanubari saya.”
3 Tips sweeT Qismina Kongsi JiKa Kembara Ke Valencia:
• Ketika berjalan-jalan, pastikan beg diletakkan di bahagian depan badan anda bagi mengelak daripada diragut.
• Bagi yang suka berswafoto, jangan lupa bawa power bank ya! Kerana orang sekarang merakam gambar menggunakan telefon pintar.
• Anda dinasihatkan bawa kudapan ketika bersiar-siar, maklum di sini sukar mendapatkan makanan halal.
Must-Watch Video