Highlights
Kisah ANXIETY– Fikiran Melayang, Menangis, Gigil. Alhamdulillah, PKP Ajar Cicie Lebih Sabar dan Jaga Solat.
Secara luaran, Kasih Cicie yang saya kenali seorang yang sangat ceria, baik budi bahasanya dan peramah. Namun, siapa sangka rupanya dia mengalami masalah anxiety atau kebimbangan yang menyerang tanpa mengira masa dan ketikanya. Ia bertambah buruk pada awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung. Kongsi Cicie, rutin kehidupan yang berubah 360 darjah memburukkan lagi keadaannya.
Syukurlah, pada ketika PKP ini berlangsung, dia berada bersama keluarga. Sekurang-kurangnya ada orang yang menengokkannya ketika situasi kebimbangan itu melanda. Dan, tidaklah bersendirian menempuh hari-hari yang sukar ini. Nah, bersyukurlah kita yang mampu menikmati hari-hari PKP dengan aman dan tenang kerana kita tidak tahu ada insan lain yang terpaksa melaluinya dengan perjuangan getir.
Kredit Foto: Kasih Cicie
Sudah lamakah berdepan masalah kebimbangan ini?
Ya, dari dulu lagi. Ia menjadi teruk apabila saya mula meninggalkan dunia parti saya. Begitulah cabaran hidup ini. Bukan mudah untuk kita berubah menjadi diri yang lebih baik Saya anggap inilah perjuangan untuk saya menang kepada diri saya sendiri. Ia akan lebih mencabar apabila ada masalah datang. Teruk sampai orang ingat kita main-main, ia menjadikan saya negatif semula.
Adakah ia jadi lebih teruk ketika PKP?
Saya tak nafikan PKP ini membuatkan hari saya lebih rumit. Ya lah, semua jadual kerja terpaksa dibatalkan. Dulu, kalau stres bolehlah juga ke mana-mana lepaskan tekanan. Sekarang, dalam apa situasi pun tetap kena duduk di rumah. Selesaikanlah dengan apa cara sekali pun tapi tetap di rumah. Mujurlah saya ada dengan keluarga ni. Adalah orang boleh tengok-tengokkan. Kalau duduk sorang-sorang tu, anak buah akan datang tegur. Alhamdulillah, keluarga pun dah faham sekarang.
Kredit Foto: Kasih Cicie
Bagaimana kebimbangan itu muncul? Dalam keadaan yang bagaimana?
Ia akan datang apabila kita duduk seorang diri. Ketika itu, mulalah otak ni fikir macam-macam. Daripada masalah kecil pun boleh jadi besar. Lebih berat lagi kalau ia datang ketika nak tidur, memang tak boleh tidurlah jawabnya.
Apa yang selalu menganggu fikiran Cicie?
Paling difikirkan adalah kehidupan, tekanan, kerjaya, kadang-kadang rasa macam nak mati pun ada. Bimbang yang bukan-bukan. Paling dirisaukan apabila ada masalah datang dan berhadapan dengan perkara baru. Cicie tak boleh nak buat keputusan. Sampai darah tinggi dibuatnya. Ada kalanya, Cicie akan menggigil, menangis, fikiran melayang-layang, berdebar-debar, termenung dan susah nak tidur.
Kredit Foto: Kasih Cicie
Apa kata kawan-kawan?
Kawan-kawan terdekat ada yang tahu keadaan Cicie. Cicie selalu throwback kisah lalu sehingga jiwa kacau. Mula-mula dulu tak tahu, ingatkan benda normal. Lama-kelamaan, apabila kongsi dengan kawan-kawan yang mengalami simptom yang sama, barulaah Cicie tahu ini bukan normal, inilah yang dipanggil anxiety. Cicie tak nafikan antara faktornya ialah mungkin kisah silam.
Apa yang selalunya Cicie buat apabila tiba-tiba kebimbangan itu datang?
Sebolehnya jangan duduk bersendirian, mesti ada teman. Tapi, jangan tak tahu, anxiety ini boleh datang ketika kita dalam keadaan beramai-ramai juga. Tengah-tengah berborak ramai-ramai, tiba-tiba kita akan terdiam, tapak tangan berpeluh dan fikiran melayang. Kita bagaikan tiada di situ. Ada satu masa, akan menangis tiba-tiba dan rasa takut. Hati alami rasa serba tak kena. Rasa tak cukup gula dalam badan. Kalau ia berlaku, Cicie akan makan coklat atau minum minuman manis. Cicie elakkan kafein.
Kredit Foto: Kasih Cicie
Pernah merujuk kepada pakar?
Pernah juga jumpa dengan pakar di klinik swasta tapi beberapa kali sahaja. Tahulah kosnya, kan? Kalau berjumpa doktor di klinik kerajaan, alahai dia punya temu janji, kena fikir 10 kali untuk menunggu. Insya Allah, mungkin selepas PKP ini boleh susun semula jadual. Saya pernah juga bertanya doktor tentang masalah saya ini. Doktor ada nasihatkan untuk saya lebih positif dan selalu hubungi insan-insan yang rapat.
Bagaimana dengan sokongan keluarga dan orang berhampiran?
Alhamdullilah, keluarga semakin memahami dan selalu juga bertanyakan perkembangan Cicie. Masa PKP ini jugalah, nampaknya Cicie dan keluarga bertambah rapat dan mereka nampak sendiri keadaan Cicie bagaimana? Kata-kata semangat keluarga dan kawan-kawan sangat penting untuk menjadikan orang seperti kami ini kuat.
Apa pendapat Cicie jika ada yang tidak percaya dengan masalah ini?
Siapa yang tidak percaya terpulanglah. Memang ada segelintir masyarakat yang menganggap ia hanya drama dan sengaja dibuat-buat. Kami tiada daya untuk membuat orang percaya, selagi mereka sendiri tidak mengalaminya. Apa yang penting kekuatan hati kami sendiri. Jangan ambil peduli apa orang nak cakap. Ia sesungguhnya penyakit yang berat untuk yang pernah mengalaminya.
Harapan Cicie pada masa yang mendatang?
Untuk orang seperti saya, tiada apa yang lebih bermakna selain daripada mendapat ketenangan hidup. Memang hati kena kuat dan sentiasa berfikiran positif. Jangan terlalu banyak berfikir sehingga buat sesak nafas. Paling penting, jangan ambil benda-benda terlarang sebagai penyelesaian. Ia akan memburukkan lagi keadaan. Kalau ada apa-apa tersekat di hati, kena luahkan. Paling penting, minta tolong dan doa kepada Allah.
Kredit Foto: Kasih Cicie
Bagaimana keadaan Cicie setelah hampir sebulan melalui PKP ini?
Walaupun pada awal PKP, memang sangat mencabar namun semakin lama ia semakin terurus. Alhamdulillah, hidup makin baik dengan solat pun main terjaga. Sentiasa ingat mati dan cuba untuk mempersiapkan diri sebaik mungkin. Dalam waktu terluang ini juga,s empat belajar mengaji dengan keluarga. Syukur dikelilingi orang-orang yang baik dan menyokong Cicie. Doakanlah Cicie dan semua yang sedang berdepan masalah ini mampu menewaskannya. Kami juga ingin menang...
Kredit Foto: Kasih Cicie
Must-Watch Video