Nampak gayanya ramai dalam kalangan masyarakat kita mula mengadaptasi gaya hidup normal baharu sejak berkuatkuasanya PKP dan PKPB. Tidak dibenarkan untuk rentas negeri pulang beraya, ziarah raya yang terhad untuk raya pertama sahaja dan itupun tidak melebihi 20 orang; rata-rata pematuhan rakyat dalam hal ini semakin menampakkan peningkatan.

Walaupun masih ada yang berdegil dan ingkar, tetapi berbekalkan undang-undang dan penguatkuasaan ketat semakin ramai yang mula cakna dan prihatin dalam soal ini. Dan memandangkan kita kini berada dalam suasana normal baharu, maka segalanya harus diadaptasi dan dijadikan sebagai sebahagian daripada rutin seharian.

Ziarah Raya
Amalan kunjung-mengunjung dan ziarah-menziarahi sememangnya sudah menjadi budaya yang sebati dalam masyarakat kita terutamanya ketika Hari Raya Aidilfitri. Malah dalam Islam sendiri menggalakkan kita untuk memelihara silaturahim sesama kita. Pentingnya silaturahim ini ada disebut dalam firman Allah yang bermaksud


Maka menjadi kewajipan kita untuk saling memelihara dan menjaga tali silaturahim ini. Janganlah pula jadikan alasan PKP atau PKPB ini sebagai helah bijak untuk kita pandang ringan soal ini. Tidak bermakna kalau tidak boleh ziarah raya, lantas hubungan silaturahim itu terputus begitu sahaja. Banyak lagi cara lain yang boleh diamalkan bagi memastikan ikatan dan pertalian ini terus dijaga sebaiknya.
  1. Whats App
Antara faktor utama sesebuah WhatsApp group dicipta adalah untuk mengeratkan silaturahim. Sama ada dalam kalangan rakan sekolah, universiti, kawasan kejiranan, saudara-mara dan lain-lain; platform inilah yang boleh mengeratkan hubungan sesama kita. Cukup sekadar bertanya khabar, bertukar-tukar perkembangan masing-masing misalnya sudah mampu membuatkan kita rasa dihargai dan sentiasa dalam ingatan sesiapa.
  1. Panggilan Video
Sudah menjadi lumrah sejak PKP lagi, kita manfaatkan bantuan teknologi untuk terus berkomunikasi. Dan salah satu kelaziman yang kita lakukan adalah membuat panggilan video. Walaupun ada yang seolah-olah berebut-rebut mahu bercakap, tetapi kemeriahan ketika melakukan panggilan video ini cukup istimewa. Apabila dapat melihat dan mendengar suara insan-insan tersayang yang jauh dimata dan sentiasa dekat dihati sekurang-kurangnya mampu mengurangkan rasa rindu terhadap mereka.
  1. Aplikasi Zoom, Skype Dan Penstriman Secara Langsung
Selain panggilan video menerusi telefon bimbit, aplikasi seperti Zoom, Houseparty antaranya menjadi pengganti diri untuk kekal berhubung. Menawarkan kemudahan berinteraksi dengan lebih ramai ahli pada satu-satu masa, terbukti ia menjadi pilihan terutamanya pada pagi raya lalu. Mungkin ini kelebihan pada zaman sekarang yang membolehkan kita terus berhubung walau di mana jua berada.