Hakikatnya kaum Hawa memang suka dipuji dan juga suka memuji. Tidak kiralah sama ada perkara kecil, remeh atau besar; apa jua yang dirasakannya mampu menggembirakan hati pasti dipuji. Dan berbeza dengan kaum Adam. Mungkin mereka tidak pandai memuji tetapi sebenarnya jauh di sudut hati, ketua rumahtangga ini juga suka apabila diri mereka dipuji.


Kaum wanita pasti handal bab memuji. Terutama apabila mahukan sesuatu atau kehendak yang ingin dipenuhi. “Abang hari ini nampak handsome lebih sikitlah. Ni yang buat tambah sayang” sambil bibir menguntum senyum. Manakala si suami pula sudah mula menghidu sesuatu. “Cakap aje apa awak nak,” tutur suami singkat. Dan kemudian berjedalah huraian si isteri yang mahukan itu dan ini.

Kredit Foto: Google


Lebih Bersemangat Dan Dihargai Apabila Dipuji

Pasti dalam hati suami terdetik rasa tenang, gembira dan suka mendengar pujian isteri. Walaupun dalam masa sama, sudah masak dengan taktik isteri. Sekali gus membuktikan pujian sememangnya mencetuskan satu aura yang positif. Daripada lemau kepada bersemangat, daripada bermasam muka bertukar ceria dan lain-lain lagi.


Tetapi terdapat juga dalam kalangan suami yang sukar memuji isteri. Hatta isteri masak sedap mana sekalipun, mulutnya seakan terkunci untuk mengambil hati isteri dengan memuji. Sebaliknya ditunjukkan dengan perbuatan. Misalnya makan nasi bertambah dua tiga kali. Apabila ditanya sedap atau tidak, ‘okey’ sahaja yang keluar dari mulutnya. Dan isteri perlu faham tindak-tanduk suami. Kerana mungkin suami bukan lahir dari latar keluarga yang gemar memuji dan senang mengambil hati. Mungkin juga memuji bukan menjadi kebiasaan. Justeru, isteri harus ambil peranan untuk cuba menukar paradigma suami jika ini yang terjadi.

Kredit Foto: Google

Dan Kesan Kurang Puji Atau Tak Pandai Memuji


Sukar juga jika usaha isteri untuk cuba menukar paradigma suami tidak menjadi. Hati suami masih keras bagaikan batu. Tidak pernah menghadiahkan sesuatu kepada isteri, jauh sekali memuji. Dan apabila perasaan isteri tidak diluahkan, tersimpan dan terpendam mulalah pelbagai ujian. Mungkin juga pernah terjadi, apabila di tempat kerja rakan sekerja atau orang lain yang beria memuji. Berpakaian cantik, nampak up-to-date, pandai memasak itu dan ini hinggakan tanpa disedari termakan jua dek pujian dari mulut lelaki lain. Kerana tidak mustahil, kerana pujian juga terbit rasa cinta yang sudah beralih arah.
Kredit Foto: Google

Suami Isteri Cuba Perbaiki


Para suami, luangkan masa dan pujilah isteri. Ambil hatinya. Hargai setiap apa yang dilakukannya selama kalian hidup berumahtangga. Nilaikan penat lelahnya menguruskan segala. Wahai isteri, teruskan usaha dan pandai-pandailah ambil hati suami. Pihat hatinya, tawan jiwanya dengan rampaian doa kepada-Nya. Tanpa jemu, berbaktilah padanya selagi tidak tersasar dari landasan agama. Kerana hidup ini saling memerlukan antara suami isteri. Suami perlukan dokongan isteri, isteri juga mahukan perhatian suami. Hiduplah saling melengkapi. Pastikan kalian memuji pasangan masing-masing sebelum orang lain yang memuji. Bimbang nanti berlaku perkara yang tak diingini. Moga dijauhkan hendaknya.

Kredit Foto: Google