Ramai yang menyokong kenyataan, “Kita bukan tak cantik, cuma kita tak ada duit”. Ia satu tanggapan yang kurang tepat kerana untuk cantik tidak semestinya bergantung kepada wang ringgit semata. Berapa ramai pula mereka di luar sana yang punya duit ‘berkepuk’ tapi masih mengabaikan kecantikan dan kesihatan diri?
Kenapa tidak digunakan wang itu untuk mencantikkan diri? Jawapannya malas. Sedangkan, dengan wang itu boleh sahaja dibeli set penjagaan kulit yang bagus kualitinya. Tetapi, apabila sudah dibeli, malas pula mahu digunakan setiap hari. Dengan wang yang banyak juga boleh saja mendaftar ke gimnasium tapi boleh ke berdisiplin untuk hadir setiap sesi? Jawapannya, malas!
Bukanlah tidak benar, untuk cantik perlukan duit tetapi ia bukan fakta tepat. Ada saja orang yang duit tidak banyak mana tapi tetap kelihatan cantik kerana bijak mengguna pakai apa saja bahan yang murah, Cuma lagi, perlu ada sedikit kerajinan untuk mengusahakannya. Untuk mencipta mask sendiri misalnya, berapa ringgit saja bahan yang diperlukan. Tetapi, remehlah!
Begitu juga untuk menjaga kelangsingan tubuh. Tidak perlu sebenarnya berhabis untuk produk menguruskan badan beribu ringgit, jika kamu konsisten dan rajin untuk turun bersenam setiap minggu. Pergi jogging ke taman atau berjalan-jalan di halaman rumah, bukan perlukan wang. Namun, persoalannya rajinkah?
Kredit Foto: Google
Sikap Malas Yang Perlu Diubah Untuk Cantik
- Jangan malas bangun di pagi hari kerana perempuan yang bangun lewat tengah hari akan kurang seri wajahnya dan muka kelihatan sembap.
- Apabila sudah membeli set penjagaan kulit, jangan hanya ditayang di atas meja solek sahaja. Pastikan dipakai sebagai rutin tetap. Perempuan Malaysia paling malas untuk menyapukan tabir suria sebelum keluar rumah, sedangkan inilah senjata penting melindungi kulit daripada sinar UV.
- Jika tidak mampu untuk membeli produk penjagaan kulit di pasaran, jenguklah ke dapur. Lihat mana-mana bahan-bahan yang boleh dijadikan ramuan kulit seperti air basuhan beras untuk cucian wajah, timun sebagai pupur mata, tomato sebagai masker muka dan sebagainya.
- Jaga kecantikan gigi dengan memberusnya minimum dua kali sehari atau sebaik selesai menjamu selesa. Jangan main-main dengan penjagaan gigi, sekali ia rosak, seumur hidup merana.
- Mandi jangan tak mandi – dua kali sehari. Sambil mandi sental daki-daki kulit. Jangan hanya dijirus air tak keruan! Sebaiknya mandi dengan air biasa, bukan air hangat.
- Jangan malas untuk bersolek! Setidak-tidaknya sapukan bedak muka dan gincu tipis agar tidak kelihatan pucat dan lesu. Hatta di rumah, untuk tatapan suami berhiaslah serba sedikit agar terlihat molek untuk jamuan mata suami.
- Jaga pemakanan! Jangan semua benda mahu ‘disebat’. Jangan malas untuk mengamalkan diet yang sihat. Sesekali bolehlah dilayan tekak tapi bukan setiap masa!
- Jangan malas bersenam! Tolonglah wahai orang perempuan, jagalah tubuh badanmu kerana ia aset sepanjang hayat. Memiliki tubuh badan ideal bukan hanya untuk kelihatan cantik tetapi juga demi kesihatan diri. Badan mahu dipakai lama ya.
- Jangan malas menghadiri sesi spa atau apa saja rawatan kecantikan atau kesihatan yang sudah dipersetujui (untuk yang berduit).
- Jangan ada sikap bertangguh untuk cantik. Elakkan perkataan ‘Esoklah mula...” Ia pasti akan berlanjutan berbulan akhirnya bertahun. Apabila sudah terdetik, terus saja diubah gaya hidupmu itu.
Kredit Foto: Google