Selepas kejayaan podcast Hitam Putih yang dikendalikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Usanita, Datin Seri Adzliana Hasan dan selebriti Datuk Rosyam Nor, Usanita bakal memperkenalkan program bual bicara yang akan dikendalikan bersama pengacara popular Awal Ashaari.

Kata Awal, program bual bicara itu akan ditayangkan sebanyak 15 episod dan akan menampilkan kisah-kisah inspirasi masyarakat termasuk golongan selebriti yang berjaya.

"Antara program terbaharu yang akan ditayangkan adalah sebuah program bual bicara yang berkonsep segar yang mana akan dikendalikan oleh saya dan Adzliana sebagai hos.

"Program yang akan ditayangkan selama 15 episod ini akan menampilkan beberapa selebriti tanah air dan mereka yang berjaya dalam bidang masing-masing untuk berkongsi pengalaman jatuh bangun dalam mencapai kejayaan.

"Saya percaya program baru ini memberi nafas baharu dan pilihan yang sedikit berbeza kepada penonton. Kita mahu sajikan sesuatu yang lebih segar dan bersifat santai kepada penonton selain boleh memberikan inspirasi kepada mereka yang melihatnya," katanya kepada Gempak.

Awal ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Usanita dan pelantikan Awal sebagai wajah Usanita di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Acara itu turut dimeriahkan oleh kehadiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perspektif baharu Usanita

Sementara itu, Adzliana berkata, pihaknya yakin kerjasama bersama Awal akan memberi perspektif baharu kepada Usanita dengan cadangan dan pandangan yang akan diberikan.

"Peranan Awal bukan saja sebagai hos dan wajah Usanita, tetapi Awal akan membantu Usanita dalam memberikan pelbagai tips dan perkongsian mengenai penjenamaan, penjagaan diri sebagai usahawan dan cara untuk tampil berkeyakinan bersama Perintis Usanita secara maya dan juga secara bersemuka pada tahun ini.

"Sejajar dengan matlamat Usanita untuk menawan media sosial pada tahun ini, Usanita bukan sahaja melahirkan program sendiri namun sentiasa bekerjasama dengan pencipta kandungan media sosial yang lain.

"Selain bakal tampil bersama Awal, Usanita akan bekerjasama dengan sebuah rancangan podcast yang sedang meningkat naik iaitu Apa Cerita? yang dikendalikan oleh Asyraf Khalid dan Ishraq Kamarudin yang mana selama 10 episod istimewa ini akan memaparkan sesuatu yang istimewa dengan suntikan penjenamaan Usanita," katanya.

Dalam pada itu, Usanita yang sudah empat tahun dibangunkan sebagai satu entiti pemudah cara bagi golongan usahawan terutama dalam kalangan B40 yang perlu dibantu bakal bekerjasama dengan pihak kerajaan di Indonesia untuk menjalankan program mega iaitu 'Bridge to Brilliance' tahun ini.