Sekilas
- Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menasihatkan pasangan suami isteri Islam mendapatkan nasihat perkahwinan daripada pihak berkuasa yang sah dan bukannya 'coach cerai' yang berisiko memberi panduan salah.
- Kerajaan melalui JAKIM memandang serius isu 'coach cerai' yang boleh mengelirukan masyarakat dan merosakkan institusi kekeluargaan jika tidak dikawal.
- Isu ini timbul selepas tindakan pelakon Uqasha Senrose menggunakan perkhidmatan 'coach cerai' dalam menyelesaikan masalah perkahwinannya mendapat kritikan ramai pihak.
Pasangan suami isteri beragama Islam disaran mendapatkan nasihat perkahwinan melalui pihak berkuasa yang sah dan bukan 'coach cerai’ yang berisiko memberikan panduan tersasar.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli, berkata nasihat yang tidak bersandarkan syariat bukan sahaja boleh mengelirukan malah berpotensi merosakkan rumah tangga.
"Isu 'coach cerai' memberi pengajaran bahawa sebarang nasihat berkaitan perkahwinan dan perceraian perlu melalui pendekatan ilmu, kefahaman, bimbingan dan pihak berkuasa yang jelas.
"Rundingan yang adil perlu diambil sebelum sebarang tindakan diteruskan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Zulkifli Ismail (PN-Jasin) mengenai tindakan tegas kerajaan khususnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) terhadap kewujudan perkhidmatan 'coach cerai' yang akan menormalisasikan penceraian, sekali gus meruntuhkan institusi kekeluargaan.
Marhamah berkata, penggunaan istilah dan pendekatan berkaitan kekeluargaan Islam yang mengelirukan seperti 'Coach Cerai' perlu dikawal bagi memastikan kefahaman masyarakat tidak tersasar.
"Ia penting bagi mengelak kegusaran awam khususnya dalam menyalurkan ilmu, kefahaman dan bimbingan yang sah.
"Kerajaan MADANI melalui JAKIM memandang serius isu 'coach cerai' yang tular baru-baru ini susulan perceraian pasangan selebriti yang menyentuh urusan pentadbiran hal Islam.
"Ia sepatutnya dirujuk dan ditangani oleh pihak berautoriti mengikut peruntukan undang-undang dan hukum syarak," katanya.
Sebelum ini, tindakan pelakon, Uqasha Senrose menggunakan perkhidmatan 'coach cerai' dalam menyelesaikan kemelut perkahwinannya bersama Kamal Adli dipertikaikan ramai pihak.
Ketika itu, Kamal Adli menuntut Uqasha tampil bersemuka bagi menyelesaikan segala perselisihan, berbanding menyebarkan perkara peribadi mereka di media sosial dan kenalan luar.
Kamal turut menuntut individu dikenali sebagai 'coach cerai' supaya berlaku adil dengan mendengar penjelasan kedua-dua pihak dan bukan hanya sebelah pihak.
Bagaimanapun, individu yang bergelar 'coach cerai' itu mendakwa hanya memberi bimbingan selepas perceraian berdasarkan keperluan semasa.
Sumber: Berita Harian