Sekilas
- Penyanyi dan guru vokal Adzrin Adzhar meninggalkan komen sindiran di Threads mengenai nafkah RM3,000 sebulan yang diberikan oleh Aidil Zafuan kepada anaknya.
- Adzrin mempertikaikan tanggungjawab Aidil sebagai bapa yang hanya memberi wang tanpa melibatkan diri secara emosi dan sosial bersama keluarga baharu.
- Kes mahkamah nafkah anak dan tuntutan mutaah antara Aidil dan bekas isteri, Rita Rudaini, telah diputuskan pada 2017 dengan Aidil diarahkan membayar nafkah RM3,000 sebulan.
Penyanyi dan guru vokal, Adzrin Adzhar mencuri perhatian selepas tampil meninggalkan komen pada satu hantaran seorang pengguna di Threads berkaitan pemain bola sepak negara, Aidil Zafuan.
Dalam hantaran tersebut, individu berkenaan menitipkan kata-kata semangat buat Aidil agar terus bersabar berdepan kecaman dan fitnah yang dilemparkan terhadapnya.
Kurang senang dengan perkongsian itu, Adzrin berseloroh bahawa sekiranya hanya memberi RM3,000 sebulan sudah memadai untuk dianggap menjalankan tanggungjawab sebagai seorang bapa, dia juga mampu berbuat demikian.
"Oh sebab duit RM3,000 sebulan kena jadi anak yang kenang budi? Jadi, hidup sebagai bapa cukup bagi duit sahaja?
"Oh, jadi anak yang makan duit bapak RM3,000 itu kena tengok bapa dia dengan bini baharu dan anak baharu jalan-jalan dan buat content bersama. Kemudian, kena rasa bersyukur sebab dah makan duit bapa RM3,000?
"Ada jawatan kosong tak untuk jadi jantan? Sebab saya rasa pun ada RM3,000 sebulan nak bagi," tulisnya.
Perkongsian yang dipercayai mempunyai kaitan dengan bekas isteri, Rita Rudaini itu turut meraih perhatian ramai dengan rata-rata menyokong kenyataan Adzrin sambil bersetuju bahawa wang yang diberikan itu tidak mencukupi.
Untuk rekod, semua kes mahkamah membabitkan tuntutan nafkah anak, mutaah dan iddah Rita terhadap Aidil telah diputuskan pada tahun 2017.
Mahkamah sebelum ini memerintahkan Aidil membayar nafkah anak sebanyak RM3,000 sebulan bermula Januari 2015, manakala bagi tuntutan mutaah pula, dia diperintahkan membayar RM30,000 pada Oktober 2015.
Rita dan Aidil berkahwin pada tahun 2008 sebelum sah bercerai pada 2013. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Airit Rayyan Rizqin, 16, dan Airit Qaqa Arjuna, 14 tahun.