Sekilas
- Seorang guru didakwa berkongsi senarai nama pelajar yang gagal UPSA dalam kumpulan WhatsApp ibu bapa, mencetuskan kontroversi di kalangan pengguna Threads.
- Pelakon Rita Rudaini menegur tindakan tersebut kerana boleh menjejaskan maruah pelajar dan membuka ruang kepada gosip dalam kalangan ibu bapa.
- Rita menasihatkan agar keputusan seperti ini disampaikan secara peribadi antara guru dan ibu bapa untuk menjaga perasaan dan kesihatan mental pelajar.
Seorang pengguna di Threads mencuri perhatian ramai selepas mempersoalkan tindakan seorang guru yang didakwa berkongsi senarai nama pelajar yang gagal dalam Ujian Pertengahan Sesi Akademik (UPSA) di dalam kumpulan WhatsApp ibu bapa.
Perkongsian tersebut turut mendapat perhatian pelakon, Rita Rudaini yang menyifatkan tindakan itu tidak membawa sebarang kebaikan, malah boleh membuka ruang kepada perkara yang tidak sepatutnya berlaku.
Menurut Rita, kumpulan WhatsApp ibu bapa terdiri daripada pelbagai jenis individu dan perkara seperti itu boleh menyebabkan pelajar menjadi bahan perbualan.
“Tak perlu nak masukkan dalam group kelas. Mana kebaikannya? Dalam WhatsApp group itu macam-macam jenis orang ada. Nanti mulalah bergosip, ‘kau tengok tak nama anak dia dalam list, rupanya tak pandai’.
“Selepas itu, mak pula cerita kepada anak-anak. Kemudian, anak-anak pergi bercerita dengan kawan-kawan di sekolah dan macam-macam lagi,” tulisnya.
Dalam masa sama, Rita berpendapat perkara tersebut sepatutnya dikendalikan secara peribadi antara guru dan ibu bapa bagi menjaga maruah serta perasaan pelajar.
“Guru yang buat ini tak fikir panjang ke? Boleh sahaja PM dan beritahu sendiri kepada ibu bapa. Perkara ini bukan sahaja menjatuhkan maruah ibu bapa tetapi pelajar juga.
“Tak reti ke nak jaga air muka orang? Tiada sedikit pun kebaikan. Jaga sikit mental health budak,” ujarnya.
Ibu tunggal kepada dua cahaya mata itu turut menasihati agar setiap pihak cuba melihat sesuatu perkara daripada sudut pandang orang lain sebelum membuat keputusan.
“Kadang-kadang benda yang tak kena pada anak sendiri, macam-macam kita boleh cakap. Bila kena pada diri sendiri nanti mulalah melompat. Penting juga untuk cuba duduk dalam kasut orang lain,” jelasnya.