Hiburan
Aktor Impi Trofi Oscar, Kak Ogy Nasihat Perbaiki Lakonan - "Impian Itu Percuma, Tapi Kenalah Belajar Jangan Main Asal Boleh Saja"
Pelakon veteran terkenal, Fauziah Ahmad Daud menasihati mana-mana pelakon yang bercita-cita tinggi untuk memenangi trofi Anugerah Akademi Hollywood atau lebih dikenali sebagai Oscar agar terlebih dahulu belajar menjiwai watak dalam sesebuah karya.
Menurut Fauziah yang lebih mesra dikenali sebagai Kak Ogy, seseorang pelakon perlu memperbaiki seni lakonan sebelum memasang cita-cita tinggi.
"Sebenarnya tidak salah jika kita berfikiran jauh secara global tetapi saya pernah menonton lakonan pelakon ini. Sebagai seorang kakak dan seniwati, pelakon itu perlu memperbaiki seni lakonannya dan dia harus mempelajari lebih mendalam tentang dunia lakonan.
"Apa yang saya lihat hanyalah acuan lakonan, apabila anda melafazkan dialog dan bagaimana anda masuk ke dalam watak yang diberikan untuk melontarkan dialog.
"Kalau saya cakap lebih-lebih macam ini pun, pelakon itu mungkin tak faham. Tapi ramai pelakon baru yang hanya melontarkan dialog tetapi tidak mampu memasuki ke dalam watak tersebut," katanya kepada Gempak.
Ogy berkata demikian ketika ditemui di sidang media pementasan Teater Di Sebalik Topeng yang diadakan di Store Dewan Bahasa Pustaka, Kuala Lumpur pada petang Rabu.
Perlu Menjiwai Watak
Pada masa yang sama, Kak Ogy turut menyarankan pelakon tersebut untuk mencari jiwa dalam lakonannya bagi memantapkan lagi kemahiran dan ilmu dalam dunia lakonan memandangkan dirinya merupakan seorang anak seni.
"Banyak lagi pelakon itu kena belajar, selongkar lagi diri kerana bila mahu masuk ke dalam satu watak itu bukan hanya melihat pada ciri karakter tetapi secara keseluruhannya.
"Minda perlu berfikir, jiwa harus ada rasa, pernafasan, pergerakan, rasa tubuhnya semuanya perlu diambil kira. Jadi banyak perkara yang perlu diperbaiki bukan hanya berlakon semata-mata," ujarnya.
Walau bagaimanapun, pemenang Pelakon Wanita Terbaik FFM itu menegaskan bahawa dia sama sekali tidak memandang rendah terhadap impian pelakon tersebut untuk memenangi anugerah berprestij itu.
BERITA TRENDING: Noki K-Clique Tidak Mahu Lakukan Adengan Bersentuhan Dengan Pelakon Bukan Muhrim - "Berlapik Boleh Tapi Ikutkan Hati Saya..."
BERITA TRENDING: “Rindu Lah Zaman Kecil-Kecil” - Netizen Terkejut Tengok Budi ‘Tentang Bulan’ Dah Ada Anak & Isteri
Malah, dia turut menyokong usaha pelakon berkenaan serta mendorongnya untuk terus berusaha dalam merealisasikan impian tersebut.
"Jika itu adalah impiannya kerana impian itu percuma tetapi sekiranya anugerah itu yang adik inginkan, berusaha keras untuk dapatkannya.
"Buktikan kepada netizen yang awak boleh menang anugerah Oscar, insya-Allah tapi kena belajarlah jangan main asal boleh sahaja.
"Jangan rambut sahaja nak kena cantik, pakai kanta lekap (penampilan diri)... Tidak, lakonan bukan hanya itu (jaga penampilan) sahaja adik. All the best adik," jelasnya.
Melanjutkan bicara, Kak Ogy juga menyatakan bahawa usaha dalam meraih kejayaan itu memerlukan pengalaman yang sudah berpuluh tahun untuk diangkat sebagai pelakon terbaik di dunia.
"Awak (pelakon) juga perlu ingat Leonardo mengambil masa berpuluh tahun untuk merangkul anugerah Oscar pertamanya. Begitu juga Brad Pitt, Al Pacino dan pelakon negara kita, Michelle Yeoh.
"Mempunyai impian itu adalah bagus saya mengalu-alukan. Jadi jika awak menyimpan impian tersebut, awak perlu buat sesuatu jangan hanya berkata-kata.
"Mulakan cari ilmu di dalam bidang lakonan, barulah awak akan menghargai seni ini," katanya.