Hiburan
Banglo Dirobohkan Jadi Tumpuan, Dari Juara Tilawah Al-Quran Allahyarham Sharifah Aini Jadi Permata Seni Negara
Saat ini antara berita berkaitan hiburan yang menjadi perhatian adalah kediaman yang pernah menjadi milik Allahyarham Biduanita Sharifah Aini dirobohkan pihak pemaju selepas banglo tersebut dijual oleh anaknya, Aliff Omar Ali, 42.
Banglo dua tingkat itu diratakan oleh pemilik baharu yang merancang untuk membangunkan projek komersial di tapak yang terletak di Petaling Jaya, Selangor.
BERITA TRENDING: Sembilan Bilik Tidur, Perpustakaan & Dewan Acara Kini Tinggal Kenangan, Ini Keadaan Terbaharu Rumah Agam Sharifah Aini Selepas Dirobohkan
Laporan terdahulu juga memetik seorang kakitangan keselamatan yang diupah oleh pemilik baharu awal tahun ini mengatakan proses merobohkan banglo seluas 20,000 kaki persegi (1,858 meter persegi) itu bermula sejak Mei lalu.BERITA TRENDING: “Sedih Jual Rumah, Tapi Keputusan Yang Betul Untuk Dilakukan” - Anak Allahyarham Sharifah Aini
BERITA TRENDING: "Reka Bentuk & Kayu Mahal, Memang Sangat Cantik" - Syarikat Pemaju Terkejut, Tak Tahu Rupanya Rumah Dirobohkan Milik Sharifah Aini
Kenapa kisah banglo milik Sharifah Aini yang dirobohkan dan kini penuh dengan timbunan batu menarik begitu banyak minat dalam kalangan peminat?BERITA TRENDING: "Terlalu Besar Untuk Dihuni" - Anak Sharifah Aini Jual Rumah Ibunya Bernilai RM8 Juta
Ini mungkin antara fakta yang perlu generasi masa kini tahu dan menjadi ‘ulang kaji’ penggemar sedia ada mengenai jasa, populariti dan aset yang pernah ditinggalkan dalam industri seni serta negara yang patut dikenang.Siapa Sharifah Aini?
Allahyarham Sharifah Aini atau nama sebenarnya, Syarifah Aini binti Syed Jaafar dilahirkan di Johor Bahru. Jika masih hidup, Sharifah Aini genap berusia 71 tahun selepas meraikan ulang tahun pada 2 Julai 2024.
Kerjaya awal Sharifah Aini bermula sewaktu beliau menyertai Bintang Radio Television Singapura 1968 atau Talent Time 68' dengan mendendangkan lagu Tiga Malam.
Ironi, selain mampu menyanyi dengan baik Sharifah Aini pernah menjuarai tilawah Al-Quran beberapa kali pada usia mudanya. Beliau juga menerima pendidikan di sebuah sekolah Arab sewaktu dipelihara neneknya di Kampung Majidee.
Sharifah Aini adalah anak seni kedua yang menerima gelaran Biduanita selepas Allahyarham Tan Sri Saloma. Selepas 10 tahun beliau berpulang ke negeri abadi, belum ada artis baharu yang diberi gelaran Biduanita secara rasmi.
Penyanyi yang menerima pelbagai gelaran kerana bakat luar biasanya. Sharifah Aini menjadi satu-satunya penyanyi dengan gelaran Superstar sewaktu era kegemilangannya pada tahun 70-an.
Beliau digelar penyanyi dengan suara Buluh Perindu kerana lunak vokal tanpa tandingan. Selain gelar Biduanita, Sharifa Aini juga menerima gelaran Permata Negara.
Beliau juga terkenal dengan gelaran Biduanita Pujaan Ramai, The Golden Voice dan Queen of Songs.
104 buah album
Sebagai penyanyi, Sharifah Aini mencetak sejarah peribadi apabila memiliki 104 album pada sepanjang kariernya bermula dari tahun 1968 sehingga 2006. Menurut Wikipedia, album terakhir yang dikeluarkan syarikat rakamannya, EMI iaitu Timeless (Datuk Sharifah Aini - Album Kompilasi).
Sharifah Aini juga pernah bercita-cita melanjutkan pelajaran dalam bidang kedoktoran namun memilih meneruskan perjuangan di bidang seni kerana mahu menolong kehidupan datuk dan neneknya yang susah.
Menjadi penyanyi dengan album lagu-lagu pop, balada sehingga lagu raya menjadi hit dan evergreen. Antara lagu popular Sharifah Aini adalah Seri Dewi Malam, Mawar Putih Untuk Mama, Terbang Helang, Hapuslah Air Matamu, Yayadan dan Suasana Hari Raya.
Beliau juga merupakan seorang pelakon yang hebat. Antara lakonannya yang paling menonjol adalah dalam filem Hapuslah Air Matamu bersama Allahyarham Latif Ibrahim serta bintang tersohor Indonesia, mendiang Broery Marantika pada tahun 1976.
Sepanjang hayatnya, Sharifah Aini pernah menerbitkan sebuah novel yang berjudul 55 Reason Why Sharifah Aini Was Not Lying. Diterbitkan pada 2005, ia mengisahkan tentang segala dugaan dan onak duri cabaran serta keperitan hidup beliau selama bergelar anak seni.
Sharifah Aini menghembuskan nafas terakhir pada usia 61 tahun, pukul 1.26 pagi pada 5 Julai 2014, di Pusat Perubatan Pakar Damansara, dari komplikasi fibrosis paru paru (pulmonary fibrosis).
Jika ada generasi Alpha yang bertanya siapa dan di mana Sharifah Aini? Sharifah Aini adalah permata negara yang tiada galang ganti.
Dan kini pada saat peminat heboh dengan berita banglo miliknya dirobohkan dan hanya tinggal timbunan batu, Allahyarham telah bersemadi dengan aman di Tanah Perkuburan Bukit Kiara.
Al Fatihah buat Syarifah Aini binti Syed Jaafar.