Filem
‘Bromance’ Yang Berjaya! Gandingan Zul Ariffin Dan Ropie Dalam Don Dukun Ketengahkan Filem Komedi Seram Bersifat Keluarga
Penerbit Gayatri Su-lin Pillai menyifatkan filem terbitannya iaitu Don Dukun adalah filem komedi seram yang sesuai untuk ditonton seisi keluarga.
Sesuai Tontonan Seisi Keluarga
Menurut Gayatri, jalan cerita filem yang berkisarkan tentang tiga orang dukun sangat menarik untuk dipaparkan kepada masyarakat Malaysia.
“Sebenarnya idea ini bermula apabila kami mahu buat filem tentang kisah tiga bomoh ini dan ia sesuatu yang unik di Malaysia bila bercakap tentang bomoh atau dukun.
“Apabila pertama kali nampak sisi kelakar Zul Ariffin digandingkan dengan Ropie pula, ia bromance yang berjaya.
“Saya juga terinspirasi daripada pengarah Arwah Mamat Khalid punya cerita,” ujarnya kepada Gempak.
Tambah Gayatri lagi, dia berpendapat industri filem melayu khususnya jarang mengetengahkan filem yang bersifatkan kekeluargaan.
“Bagi saya, saya tak mahu bandingkan filem Hantu Kak Limah dengan Don Dukun, ia karya yanag berbeza.
“Don Dukun adalah genre komedi seram yang bersifat keluarga. Kita perlu hasilkan sesuatu yang sesuai untuk tontonan keluarga terutamanya bagi kanak-kanak.
“Saya rasa dalam pasaran filem tempatan, kita jarang ada filem yang bersifat kekeluargaan,” jelasnya lagi,” katanya.
Don Dukun menampilkan pelakon-pelakon hebat tanah air seperti Zul Ariffin, Ropie Cecupak, Douglas Lim, Datuk Yusof Haslam, Sangeeta, Marsha Milan, Elly Arifin dan ramai lagi.
Jom sama-sama kecut perut, pecah perut dengan menyaksikan filem Don Dukun di pawagam seluruh negara sekarang!