Berita

Jawab Dakwaan Karut, Neelofa Tak Jelaskan Status 'Pertunangannya' Dengan PU Riz

Maliah Surip
27/12/2020
22:45 MYT
Sponsor Banner
Jawab Dakwaan Karut, Neelofa Tak Jelaskan Status 'Pertunangannya' Dengan PU Riz
Sehari selepas mengejutkan industri hiburan tanah air dengan beberapa dakwaan yang tersebar melalui aplikasi WhatsApp, hos dan usahawan, Neelofa akhirnya tampil memecahkan spekulasi mengenai status diri dan hubungannya dengan tunangan, PU Riz atau Hariz.
Neelofa melalui siaran IGTV di akaun Instagramnya, @neelofa menjelaskan semua pertuduhan yang dilemparkan kepadanya dan menjadi viral sejak kelmarin adalah tidak berasas serta mengarut.
Selain menafikan telah bernikah dengan PU Riz, Neelofa menyangkal dakwaan dirinya telah terkena minyak pengasih dan memberi sebanyak RM100, 000 kepada lelaki tersebut.
"Pertama kali saya mohon maaf kerana ambil masa untuk bersuara berkaitan apa yang tular di media sosial sejak semalam yang berkaitan diri saya, keluarga saya, Haris dan keluarga dia.
"Sepanjang kerjaya saya dalam bidang sini, saya ambil pendekatan untuk mendiamkan diri, tetapi perkara ini turut melibatkan kedua belah keluarga dan pihak lain.
"Jadi apa yang saya mahu perjelaskan dalam video ini, tentang beberapa perkara yang diperkatakan, saya sendiri terkejut apabila saya baca dan lihat andaian-andaian yang keluar. Sememangnya tak betul dan tak berasas.
"Tuduhan mengatakan saya kena minyak pengasih, memindahkan wang kepada Haris, apa lagi tuduhan mengatakan saya telah kahwin dinikahkan oleh bapa saya di Kelantan, ia sangat tidak berasas dan karut," jelas Neelofa panjang lebar.
Neelofa juga mengatakan mengambil keputusan untuk bersuara kerana isu yang ditimbulkan telah melibatkan maruah keluarga mereka.
Justeru, dia menyeru agar semua pihak menghentikan andaian yang telah berlegar sejak semalam untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan.
"Ini melibatkan maruah keluarga kami, saya minta anda semua untuk hentikan andaian ini, jangan terus bercakap tentang ini kerana ia akan mengeruhkan keadaan, saya minta semuanya doakan yang terbaik untuk saya," katanya.
Dia bagaimanapun tidak menjelaskan status terkini mengenai dirinya dan PU Riz, sama ada masih bertunangan atau hubungan yang terjalin sudah terlerai.
Sebaliknya, secara berkias, dia hanya mengatakan hubungannya dengan PU Riz yang dipanggil Haris mempunyai cerita tersendiri dan tidak mahu membelakangkan keluarga kedua belah pihak.
"Apa yang saya boleh cakap adalah berikan kami masa, doakan kami untuk mencari titik penyelesaian terbaik untuk kedua belah keluarga.
"Saya rasa ia adil untuk minta perkara itu daripada anda menokok tambah dengan perkara asas dan mengeruhkan keadaan.
"Saya juga mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf kepada keluarga saya dan keluarga Haris, saya pasti tiada siapa pun yang mahu lalui apa yang saya lalui sekarang kerana ia melibatkan maruah keluarga.
"Jadi, saya harap sangat anda boleh hentikan menyebarkan tuduhan yang tidak berasas," kata Neelofa lagi.
Dia juga mengucapkan terima kasih atas semua doa dan sokongan yang diberikan kepadanya sejak isu tersebut menjadi bualan hangat di Malaysia.
"Terima kasih untuk sokongan anda, saya ada banyak menerima sokongan daripada rakan-rakan dan juga yang tidak dikenali, itu sahaja saya mahu katakan untuk isu ini, saya harap ia dapat menjelaskan tentang keadaan ini, Assalamualaikum," akhirinya.
Terdahulu Neelofa juga memberikan kenyataan rasmi kepada pihak media berhubung isu sensasi tersebut.
Instagram: @neelofa
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar