Hiburan
Neera Azizi Berdebar Hitung Hari Bahagia, Tak Sangka Berjodoh Dengan Mutawif Ketika Tunai Umrah - “Lepas Berdoa, Tiba-Tiba Perasaan Itu…”
Pelakon Neera Azizi mengakui berdebar untuk menamatkan zaman bujangnya bersama pilihan hatinya kelak.
Kongsi Neera atau nama sebenar, Nurazneera Azizi, 27, dia kini dalam persiapan mengadakan majlis pernikahan yang dijadual berlangsung pada Julai depan.
“Berdebar juga untuk menanti Julai depan sebab banyak persiapan yang saya perlu uruskan sebab tunang saya sekarang berada di Arab Saudi selama enam bulan.
“Jadi, apa-apa persiapan saya perlu uruskan sendiri. Bagi saya tidaklah begitu susah sebab kebanyakan orang cakap akan banyak ujian selepas bertunang.
“Tapi, bagi saya bila sudah berjauhan kita tidak akan cari salah masing-masing. Itu yang memudahkan juga. Harapnya tiada apa-apa masalah antara kami, jadi mohon doakan,” katanya kepada Gempak.
Berkongsi pekenalan singkat itu, Neera yang juga penyampai radio itu mengakui antara niatnya ke Tanah Suci pada Februari tahun lalu adalah untuk berdoa dipertemukan jodoh.
Malah Neera tidak menyangka doanya dikabulkan oleh Allah SWT sekaligus bertemu dengan seorang yang bergelar mutawif dan layak digelar ustaz.
“Ketika mengerjakan umrah, pada awal saya tak ada rasa apa-apa, tapi memang ada niat untuk berdoa supaya dipertemukan jodoh. Ketika itu, dia tak ada pun hendak rapat dengan saya dan saya juga begitu.
“Selepas berdoa, tiba-tiba perasaan itu terbuka dan tersuka dekat dia, tapi saya tak cakap apa-apa lagi. Selepas pulang umrah, kami berhubung dan mula rapat.
“Selepas mula rapat, dia ajak saya untuk terus bertunang sebab dia tak mahu bercinta lama-lama. Dia kata tak baik dan memilih bercinta selepas kahwin,” kongsinya.
Neera juga terharu apabila lelaki berkenaan membuat keputusan untuk bertunang selepas beberapa hari pulang mengerjakan umrah.