Sukan

Olimpik Paris 2024: Nur Dhabitah Perlu Serlahkan Potensi Jika Mahu Bangkit Di LA28 - Bryan Nickson Lomas

Awani
11/08/2024
08:55 MYT
Sponsor Banner
Olimpik Paris 2024: Nur Dhabitah Perlu Serlahkan Potensi Jika Mahu Bangkit Di LA28 - Bryan Nickson Lomas
Penerjun negara Nur Dhabitah Sabri boleh menebus kekecewaan di Sukan Olimpik Paris 2024 dengan menyerlahkan semula potensi untuk kembali bangkit pada edisi Los Angeles 2028 (LA28).
Pengarah teknikal skuad terjun negara Bryan Nickson Lomas berkata faktor umur bukan penghalang bagi Nur Dhabitah untuk terus membawa cabaran Malaysia dengan menampilkan terjunan mempersonakan sekiranya berhasrat membuat penampilan keempat berturut-turut di pentas Olimpik kelak.

Potensi

"Nur Dhabitah baru sahaja berumur 25 tahun dan kalau dapat pergi (LA28) baru 29 tahun, jadi bagi saya umur itu tidak terlalu lewat, lebih-lebih lagi bagi acara 3 meter (m) papan anjal wanita.
"Dengan potensi serta kekuatan dimilikinya dia boleh buat dan menampilkan persembahan lebih baik, selagi dia membulatkan tekad ke arah Sukan Olimpik akan datang," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata Persekutuan Renang Malaysia masih lagi menagih khidmat atlet kelahiran Kuala Lumpur itu memandangkan statusnya yang kekal sebagai penerjun terbaik dalam negara bagi acara tersebut.
Selepas persaraan Wendy Ng Yan Yee April lepas, Bryan berkata belum ada lagi mana-mana penerjun negara yang mampu menggugat malah mencapai kualiti mahupun reputasi dimiliki Nur Dhabitah.
"Selepas Wendy bersara kita ada Ong Ker Ying namun masih belum capai standard Nur Dhabitah," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Nicol David Beri Kata-Kata Motivasi Buat Dhabitah Sabri - "Bayangkan Kamu Antara 12 Terbaik Dunia, Bangganya Kami Rakyat Malaysia"

ARTIKEL BERKAITAN: "Dia Sudah Sederet Dengan Juara Dunia" - Jiggy Dedah Dhabitah Video Call Lepas Habis Final, Mengadu Sedih Tak Dapat Hadiahkan Pingat Olimpik Untuk Malaysia

ARTIKEL BERKAITAN: "Masa Musuh Terbesar Saya" - Dhabitah Sabri Percaya Tuhan Ada Perancangan Terbaik, Rindu Pelukan Suami & Keluarga

ARTIKEL BERKAITAN: Olimpik Paris 2024: Hadir Sebagai Wild Card, Dhabitah Muncul Penerjun Ke-12 Terbaik Dunia

ARTIKEL BERKAITAN: Dhabitah Sabri Pernah Cedera Di Kejohanan Akuatik Dunia, Jiggy Titip Pesanan Untuk Isteri - “Jaga Diri, Jangan Pressure & Sentiasa…”

Jumaat lepas Nur Dhabitah menamatkan cabaran Sukan Olimpik 2024 di kedudukan tercorot dalam aksi final 3m papan anjal wanita dengan mengumpul 244.80 mata secara keseluruhan di Pusat Akuatik Olimpik, Paris.
Ketika penampilan sulungnya di Rio 2016, beliau menamatkan saingan di tempat kesembilan dalam acara 10m platform individu wanita dan kelima dalam acara 3m papan anjal seirama wanita bersama Cheong Jun Hoong.
Di Tokyo 2020, pemenang lima kali pingat Sukan Asia terlepas kedudukan podium apabila menamatkan saingan di tempat keempat acara 3m papan anjal wanita.
Sementara itu Bryan berkata saingan bagi acara 10m platform individu lelaki pula tampak kompetitif dengan empat penerjun termasuk atlet muda yang membuat penampilan sulung Sukan Olimpik di Paris 2024, Bertrand Rhodict Lises, memiliki kualiti setara antara satu sama lain.
Bekas Olimpian itu berkata penerjun lain yang boleh memberi saingan sengit kepada Bertrand adalah Jellson Jabillin, Enrique Maccartney Harold serta Elvis Priestly Clement.

Terbaik

Terdahulu cabaran Bertrand pada Sukan Olimpik 2024 berakhir awal selepas terkandas pada pusingan kelayakan.
Penerjun berusia 19 tahun itu gagal menempatkan diri dalam kelompok 18 terbaik untuk ke separuh akhir acara 10m platform lelaki selepas menduduki tempat ke-25 daripada 26 peserta pada pusingan kelayakan dengan mengumpul 313.70 mata.
Pencapaian Nur Dhabitah dan Bertrand di Paris 2024 menyaksikan kem terjun negara pulang tangan kosong dari Sukan Olimpik buat kali kedua berturut-turut selepas Tokyo 2020.
Malaysia hanya pernah meraih dua pingat di kolam terjun Olimpik, bermula dengan Datuk Pandelela Rinong yang membawa pulang gangsa acara 10m platform individu wanita di London 2012, disusuli perak bersama Jun Hoong dalam acara 10m platform seirama wanita pada Rio 2016.

Saksikan aksi atlet Malaysia secara siaran langsung di Gempak.com. Ikuti perkembangan dan keputusan terkini Olimpik Paris 2024 di sini

Sumber: Bernama menerusi Astro Awani
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024