Pernah Alami Kejadian Mistik, Setanggi, Dawai, Kemenyan Antara Barang Yang Pernah Keluar Daripada Badan Aeril Zafrel
Pelakon dan usahawan, Aeril Zafrel mengakui pernah mengalami kejadian mistik selepas kematian bapanya.
Aeril sering sakit
Menerusi temu bual bersama Sera Podcast, Aeril atau nama sebenarnya Suhairil Sunari berkata, selepas bapanya meninggal dunia dia kurang aktif dalam dunia seni kerana sering berasa sakit terutamanya ketika waktu senja.
Susulan itu, Aeril telah mendapatkan rawatan untuk mengubati penyakit mistik tersebut.
“Kehidupan aku sebelum apa aku jadi sekarang ini dan kenapa aku kurang berlakon selama ini adalah selepas ayah aku meninggal.
“Aku sakit, selepas maghrib je aku akan sesak dada dan aku pergi berubat. Bila aku berubat, macam-macam benda yang keluar daripada badan aku,” katanya menerusi podcast tersebut.
Aktor berusia 36 tahun itu juga mendapati terdapat pelbagai benda ‘aneh’ yang keluar daripada tubuh badannya sewaktu mendapatkan rawatan tersebut.
“Paling mengejutkan adalah semasa mendapatkan rawatan. Apa je yang tak pernah keluar.. dawai, paku, kemenyan, setanggi, pisau dan pasir. Lebih dari 10 barang.
“Aku pun tak pernah bayangkan benda ini macam mana boleh ada dalam badan aku. Benda-benda ini berjaya dikeluarkan,” tambahnya lagi.
Suami kepada aktres Wawa Zainal itu berkata, perkara tersebut secara tidak langsung memberinya pengalaman terutama ketika menjayakan naskah lakonan bergenre mistik.
“Bila aku melalui proses berubat, ‘benda itu’ dekat dengan aku. Jadi aku faham perubatan ini macam mana.
“Kadang-kadang bila ada watak-watak yang macam ini, aku dah melalui dengan fasa-fasa itu. Aku sudah berhadapan pun dengan makhluk-makhluk yang cuba untuk menyakitkan aku. Jadi ianya tidak begitu asing untuk aku,” ujarnya lagi.