Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Berita

Suami Tidak Sangka Terima Khabar Isteri Telah Tiada Di Hadapan Kaabah - "Selepas Pusingan Ke-7 Selesai Tawaf, Saya Sedih Sangat"

Gempak 13/06/2024 | 01:55 MYT

Doa seorang suami kepada isteri adalah supaya sentiasa diberikan yang terbaik. Itulah juga doa Mohd Azmil Abdul Hanid, suami kepada Allahyarham Zuraida Haris yang meninggal dunia di Tanah Suci pada 10 Jun lepas, lima hari sebelum umat Islam berwukuf di Arafah.

Tidak sedarkan diri

Mohd Azmil, 38, sempat mendoakan pengakhiran yang terbaik untuk Zuraida, beberapa jam sebelum Allahyarham menutup usianya pada angka 37 tahun, semasa isterinya itu bertarung nyawa tidak sedarkan diri selama enam hari.

"Pada hari terakhir dia ada di dunia ini, saya masih ingat, saya seorang diri, menaiki teksi ke Masjidilharam dan melakukan tawaf sunat. Semasa tawaf, saya benar-benar bermohon supaya Allah memberikan yang terbaik kepada keadaan isteri saya, yang koma sejak 4 Jun lagi.

Selepas pusingan ke tujuh dan selesai tawaf, saya sedih sangat, saya terima panggilan telefon minta saya bersabar kerana isteri saya sudah tiada.

"Rupa-rupanya pengakhiran yang terbaik itu adalah kematian isteri saya, tetapi saya reda sebab di Tanah Suci ini tempat sebaik-baiknya untuk disemadikan," kata Mohd Azmil yang ditemui media di Hotel Land Premium di Mekah.

Dia dan empat lagi waris jemaah haji Malaysia yang meninggal dunia baru-baru ini sebelum itu disantuni Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, yang meluangkan masa setengah jam bertanya khabar dan berkongsi kesedihan mereka.

Zuraida menghembuskan nafas terakhir di Hospital King Abdul Aziz di Mekah dengan punca kematiannya disebabkan pendarahan pada otak di sebelah kanan.

Allahyarham, ibu kepada seorang anak disemadikan pada pagi Selasa (11 Jun) di Tanah Perkuburan Shuhada Al-Haram di Mekah.

Ditanya jika Zuraida ada sebarang penyakit semasa sebelum ke Tanah Suci, Mohd Azmil memaklumkan, dia dan isteri alami demam semasa mengerjakan umrah kali kedua, beberapa hari sebelum Allahyarham tidak sedarkan diri.

"Selepas umrah itu, saya baik daripada demam, tetapi isteri saya masih demam, tidak sembuh-sembuh sehingga dia tidak sedarkan diri dan dibawa dengan ambulans ke Hospital King AbdulAziz.

Doktor ada memberitahu saya, isteri saya mungkin sembuh, tetapi hari ke hari, tekanan darahnya mula turun. Kesihatannya mula merosot, ketika itu saya menemaninya setiap hari, sehingga doktor katakan saya perlu pulang dan mendoakan yang terbaik untuknya," katanya yang berasal dari Pahang.

Mohd Azmil berkata, walaupun sedih kerana kehilangan isteri, dia perlu fokus kepada ibadah semasa hari Arafah dan operasi Masyair.

Berita Trending: #JusticeforZaynRayyan: "Ada Percanggahan Keterangan Saksi, Ibu Bapa Zayn Rayyan" - Polis

Berita Trending: #JusticeForZaynRayyan: “Keluarga Tidak Pernah Lantik Mahmud Sebagai Peguam” - Datuk Zayn Rayyan Perjelas Salah Faham

Berita Trending: #JusticeForZaynRayyan: “Ibu Bapa Zayn Rayyan Menangis, Tertekan” - Peguam

Berita Trending: #JusticeForZaynRayyan: Proses Lanjutan Reman Ibu Bapa Zayn Rayyan Bertukar Kecoh

Berita Trending: #JusticeForZaynRayyan: Reman Ibu Bapa Zayn Rayyan Sambung Enam Hari

"Saya bersyukur, urusan badal haji untuk isteri, saya dah tunaikan tanggungjawab sebagai suami, saya sudah tandatangani borang untuk badal haji dan Alhamdulillah, Tabung Haji akan uruskan kesemuanya," tambahnya.

Ditanya bagaimana dia mahu mengenang Zuraida, yang dikahwininya selama 12 tahun, dia berkata, "Arwah seorang yang baik, ikhlas dan taat."

"Dia mengajar mengaji, untuk tambah pendapatan. Bila malam, saya dan anak sudah sudah, dia masih lagi mengajar orang lain mengaji Al-Quran. Ramai anak muridnya bersedih, bila dengar berita kematiannya," ujar Mohd Azmil.

Zuraida, seorang guru KAFA di Ampang, Selangor, merupakan jemaah haji Malaysia kelima yang meninggal dunia di Mekah.

Sebelum ini empat jemaah yang meninggal dunia ialah masing-masing tiga lelaki dan seorang wanita.

Mereka ialah Abnil Hajar Ismail, 72, dari Kedah yang meninggal dunia pada 24 Mei lepas.

Manakala, pada 29 Mei lepas, kematian kedua menimpa Mohd Zahir Ismail, 58, yang menghembuskan nafas terakhir semasa tawaf umrah pertama akibat diserang sakit jantung.

Pada 7 Jun lalu, dua lagi jemaah Malaysia meninggal dunia ialah Ghazali Ahmad, 71, dari Kedah, dan Noormadiah Mat Ali, 53, dari Terengganu.

Punca kematian mereka masing-masing adalah disebabkan kegagalan buah pinggang dan sumbatan pembuluh darah di perut serta jangkitan kuman pada paru-paru.

Kuota jemaah haji Malaysia pada tahun ini yang diberikan Arab Saudi ialah seramai 31,600 orang dengan kesemuanya kini berada di Mekah dan bersiap-sedia untuk berwukuf.

Sumber: Awani

#Kaabah #Suami #Islam #Tak Sangka #isteri: #:meninggal
;