Penantian panjang untuk kemunculan superhero baru daripada 20th Century Fox, "Alita: Battle Angel" akhirnya berakhir. Si gadis robot bermata besar ini sudah berada di pawagam bermula 5 Februari 2019.

"Alita: Battle Angel" merupakan adaptasi dari siri manga berjudul Gunnm karya Yukito Kishiro. Edisi pertamanya dikeluarkan pada tahun 1990 dan berakhir pada tahun 1995.

Diarahkan oleh Robert Rodriguez dan diterbitkan oleh James Cameron dan rakan penerbit, Jon Landau terbang ke Jepun untuk bertemu dengan Yukito Kishiro untuk mendapatkan keizinan untuk Alita dijadikan filem.

Berkesempatan menjadi yang terawal menonton filem ini bersama 20th Century Fox baru-baru ini, emosi saya bercampur-baur seusai keluar dari panggung. Kenapa?

1. Alita bangkit dengan penuh kekuatan dan harapan

Alita, si gadis cyborg.

Alita (Rosa Salazar) 'dikutip' dari tapak pelupusan sampah tanpa memori dan jati diri. Dia tidak kenal siapa dirinya. Dibantu oleh pakar teknologi cyborg, Dr. Dyson Ido (Christoph Waltz) dan pembantunya, Alita hidup dengan tubuh robot buatannya.

Daripada polos tanpa ingatan, Alita bangkit mengenal keadaan di sekelilingnya. Anda boleh rasa belas ihsan yang diberikan Ido dalam membantu Alita umpama bapa dan anak. Adanya rakan seangkatan, Hugo membuat Alita tambah senang bergaul.

Dari situ, Alita kenal siapa kawan dan siapa lawan. Lama-kelamaan, dia kenal siapa dirinya. Dilema antara mencari jati diri dan menyelamatkan orang tersayang membuat perasaan penonton bercampur-baur. Bagaimana robot kecil ini bercita-cita tinggi memperjuangkan kepercayaannya akan membuatkan anda bangga namun apabila dia kehilangan orang tersayang, anda juga bakal menangis bersama Alita.

2. Jalan cerita yang klise tetapi....

Emosi Alita dan Hugo.

Secara keseluruhannya, filem post-apocalypse kebanyakkan mempunyai jalan cerita yang seakan-akan sama namun bagi "Alita: Battle Angel", ia unik dan sangat mendebarkan. Filem ini seimbang dari segi drama dan aksi.

Selitan beberapa babak seperti paparan bandar mewah bernama Zalem yang tidak terjangkau oleh rakyat marhaen berjaya membuat saya terfikir, ini baru 2019, apakah pada tahun 2563 nanti orang yang miskin tambah miskin, orang kaya tambah kaya?

Watak antagonis seperti Vector (Mahershala Ali) dan Grewishka (Jackie Earle Haley) perlu ditonjolkan dengan lebih jahat lagi untuk menambah konflik.

Babak kegemaran saya adalah pada pengakhiran cerita ini. Saat Hugo berkeras mahu naik ke Zalem walaupun tahu ada halangannya berjaya meruntun hati. Sekelip mata nyawanya disia-siakan. Sama seperti Alita yang dilemparkan ke tempat pembuangan dan akhirnya sedar tempatnya di bawah, jelas sekali Alita lebih berjiwa 'manusia' berbanding manusia betul dalam filem ini.

3. Visual yang sangat halus

Perincian yang teliti.

Mengadaptasi komik menjadi sebuah filem live action bukannya mudah. Sebagai sebuah filem yang bergantung sepenuhnya kepada kesan khas, "Alita: Battle Angel" hadir tampil dalam visual yang cukup sempurna. Ia begitu halus dan semuanya seakan nyata tanpa perlu berlebih-lebihan.

Bermula dari lokasi hinggalah kepada karekternya, ia dibuat dengan penuh terperinci. Keseluruhan badan dan wajah Alita tak kurang hebatnya. Wajah pelakon Rosa Salazar ini dibikin seanimasi yang mungkin tanpa ada kecacatan. Halusnya paparan yang ditonton oleh penonton turut dibantu menggunakan teknologi CGI.

Apa lagi apabila saya menonton di panggung IMAX tempoh hari, saya seperti bebar-benar berada di Iron City, bandar dimana Alita berada.

4. Padat aksi, anda tidak akan tidur!

Sekali dia bergaduh, habis!

Pada awalnya saya agak skeptikal dengan filem ini kerana saya bukanlah seorang penggemar komik. Namun saya masuk ke dalam panggung dengan segunung harapan agar filem ini mampu memberikan faktor 'wow', dan itulah yang berlaku.

Sejak minit pertama hingga minit terakhir, anda akan dibawa menyelusuri hidup Alita, si jaguh tempur. Bertemakan aksi cyberpunk, momen yang membuatkan saya melonjak adalah apabila Alita menyertai pertandingan sukan ekstrem Motorball.

Ada ketikanya saya berasa Alita sedikit berlagak dengan kemampuannya terutama ketika dia mencabar semua pemburu pahlawan untuk menewaskan musuh jahat Grewishka. Namun tanpa ada bantuan pun, Alita mampu apabila dia bersedia.

Masa berlalu tidak terasa kerana handalnya Alita bertarung dengan setiap musuh yang ingin membunuhnya cukup menyegarkan mata.

5. Barisan pelakon yang superb

Alita dan penjaganya.

Tidak hanya Rosa Salazar yang cemerlang berperanan sebagai Alita, pujian juga harus diberikan kepada Christoph Waltz, Keean Johnson, Mahershala Ali dan Jennifer Conelly. Mereka berjaya membawakan watak masing-masing, sepenuh rasa tanpa menenggelamkan watak Alita.

Mereka turut berjaya menonjolkan lagi sisi-sisi kemanusiaan dan jiwa lembut Alita meskipun Alita cukup 'badass' mengerjakan musuhnya.

Untuk tambah pengetahuan anda, Mahershala Ali, Jennifer Conelly, dan Christoph Waltz pernah memenangi anugerah Oscar. Mahershala Ali pernah menerima Oscar sebagai aktor pembantu terbaik menerusi filemnya yang berjudul “Moonlight” di tahun 2017. Selain itu, Jennifer Connelly menggengam piala Oscar di tahun 2002 sebagai pelakon pembantu terbaik untuk filem “A Beautiful Mind” manakala Christoph Waltz menang dua piala Oscar sekaligus sebagai pelakon pembantu terbaik pada tahun 2010 dan 2013.

Jangan lupa pada watak cyborg bernama Zapan lakonan Ed Skrein. Wataknya sebagai pemburu pahlawan sehingga mencetuskan pergaduhan bersama Alita dilihat cukup bermasalah.

Poster Alita: Battle Angel.

Berapa bintang untuk filem ini?

Filem ini secara keseluruhannya menghiburkan dan berjaya diadaptasikan dengan sepenuh rasa. Penceritaannya yang ringan dan tidak membuatkan penonton berkerut dahi berfikir ditambah dengan visual yang cantik mampu membuatkan anda cair dengan filem ini.

Pasti apabila anda keluar panggung, watak Alita bermain di fikiran anda seketika sambil berfikir 'bagaimanakah saya boleh tampil hebat dan cool seperti Alita?'.