#GimmeTheMicMY: Dari Penebar Roti Canai, 12 Tahun Farhan Mustapha Mencuba Untuk Bergelar Penyanyi – “Saya Masuk Pertandingan Semuanya Tersingkir”
Alami Masalah Kesihatan Saat Akhir
Menurut Farhan, 28, dia mendedahkan mengalami masalah kesihatan di saat akhir namun tetap memberikan yang terbaik pada malam penuh bermakna itu.
“Saya tak jangka langsung, kita tahu semua finalis hebat-hebat. Sejujurnya saya tak sangka, sebelum naik pentas pun saya tak berapa sihat. Saya baru sembuh daripada Influenza A.
“Suara saya juga dah pecah tetapi saya buat juga sebab ini adalah malam akhir. Ia anugerah Tuhan. Alhamdulillah rezeki.
“Sejujuranya persembahan itu sangat berhati-hati sebab saya tak berada dalam keadaan yang baik. Ketika sound check juga memang ‘out’.
“Alhamdulillah dari segi nyanyian saya tekankan pada penghayatan sebenarnya,”katanya ketika sesi sidang media usai konsert akhir Gimme The Mic pada Ahad.
12 Tahun Mencuba
Dedah Farhan lagi, sebelum program Gimme The Mic Malaysia dia telah menyertai pelbagai program realiti televisyen dan pertandingan selama 12 tahun.
“Akademi Fantasia juga saya sertai hingga dapat Top 15 tapi tak lepas juga. Saya juga sertai Mentor Millenia saya tersingkir minggu pertama.
“Untuk Gimme The Mic, ini adalah momen saya tetapi ketika separuh akhir saya juga risau sebab takut badi itu kembali.
Seorang Penebar Roti Canai
Tambah Farhan yang juga bekerja sebagai penebar roti canai itu lagi, dia pada mulanya rasa takut menyertai Gimme The Mic Malaysia namun syukur mendapat semangat daripada keluarga.
“Saya mula tebar roti canai itu selepas kahwin. Saya diuji dengan masalah kewangan ketika itu.
Pada Ahad, Farhan Mustapha diangkat sebagai The Grand Champion Gimme The Mic Malaysia 2024 selepas berjaya meraih markah tertinggi daripada pihak juri.