Tiga minggu pertama konsert mingguan AFMegastar berlangsung, peserta bernama Amir Jahari atau Amir J sering berada di kedudukan tiga tempat kebawah. Disebabkan itu dia hampir saja menyerah kalah untuk terus berjuang dalam program realiti berkenaan.
Bagaimanapun, selepas buat pertama kalinya terselamat daripada tiga peserta yang bakal tersingkir, timbul semangat baharu dalam diri penyanyi ini. Berbekalkan usaha yang bersungguh-sungguh untuk mempamerkan persembahan yang terbaik, akhirnya malam Ahad lalu, Amir J bukan sahaja menjadi calon peserta konsert separuh akhir tetapi turut dinobatkan sebagai pemenang Star Of The Week.

Advertisement
‘Alhamdulillah, segala usaha usaha saya selama ini akhirnya mendapat perhatian juri dan juga peminat. Sejujurnya, pada ketika saya menyanyikan lagu Pokok, waktu itu saya memang nak give up dah. Rasa seperti tak ada harapan. Bagaimanapun apabila saya terselamat, dari situ saya nekad untuk terus buat yang terbaik.
“Ketika minggu keempat untuk tema rock, saya nyanyikan lagu Viva La Vida. Walaupun waktu itu saya menyanyi tanpa gitar sekali gus membuatkan saya rasa amat kekok dan berasa seperti 'telanjang' di hadapan orang ramai, namun saya cabar diri untuk beraksi. Tak sangka untuk minggu itu buat kali pertama saya tidak berada di kelompok tiga tempat terakhir,” katanya kepada Rojak Daily Kaw!

Sebagai satu-satunya peserta yang membuat susunan muzik sendiri tanpa dibantu pengarah muzik program berkenaan seperti peserta lain, Amir J berpendapat keputusan yang dibuatnya itu adalah tepat.
“Setiap minggu lagu nyanyian saya digubah dengan bantuan AG Coco. Sejak dari awal lagi, saya memang sudah maklumkan kepada produksi yang saya mahu terbabit sepenuhnya dari segi creative control bersama team saya yang lain. Secara tidak langsung, saya mahu tunjukkan yang saya juga boleh buat, selain mencabar kreativiti diri.

“Ramai juga yang bertanya kenapa saya mahu sertai AFMegastar. Sebagai penyanyi, saya tak boleh cepat selesa dengan apa yang saya ada. Kenalah juga tonjolkan sisi lain yang tak pernah saya lakukan seperti menyanyikan lagu yang bukan forte saya,” tegas penyanyi yang berasal dari Bumi Kenyalang ini.
Pada malam itu, Amir J menyanyikan lagu Orak Arek dan Kau Di Hatiku yang pernah dipopularkan oleh Datuk Zainal Abidin.
“Lagu genre sebegitu memang sesuai dengan saya kerana saya memang suka lagu berunsur kerakyatan,” kata penyanyi yang cukup popular dengan lagu Aku Juga Manusia ini.
Dalam pada sibuk bertanding, Amir J berkata dia juga sedang dalam proses merakamkan album keduanya yang tertangguh selama tiga tahun.

“Saya kini sedang dalam proses merakamkan album kedua yang sudah tiga tahun tertangguh. Selain faktor masa, kos pembikinan juga membuatkan projek ini terbantut. Dari segi lagu, saya tak ada masalah kerana saya ada 120 buah lagu dalam simpanan. Kalau satu album ada 12 buah lagu, saya dah boleh buat 10 album.
“Mungkin selepas tamat pertandingan nanti, saya aan kembali fokus dengan pembikinan album ini,”kata Amir J yang mengagumi vokal Idayu, Bob dan juga Syamel dalam pertandingan itu.