“Saya menyanyikan semula lagu Tak Tun Tuang suka-suka saja. Masa itu baru bangun tidur dan nak mandi, itu yang tuala tersangkut atas bahu.

Tak adalah rasa nak glamor atau apa, sebab itu saya tak sangka apabila dimuat naikkan di Facebook dalam masa 10 hari dapat 1 juta like dan hari seterusnya like bertambah jadi 1.2 juta,” ujar Andi Bernadee, 26, mengenai populariti yang diraihnya hari ini.

Raih populariti tanpa dijangka.

Sebelum ini pun penyanyi kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu banyak menyanyi lagu artis lain termasuk lagu Ziana Zain di aplikasi Smule tetapi ‘kehangatan’ diterima daripada peminat tidak pernah sehebat sekarang.

Lagu Tak Tun Tuang adalah nyanyian asal Upiak Isil dari Padang, Indonesia.

Harap dapat membantu single pertama, Tiada Lagi Maaf.

Artis Warner Music Malaysia itu baru saja melancarkan single Tiada Lagi Maaf hasil ciptaannya dan ND, berharap situasi itu membantu melancarkan kempen promosi lagu pertamanya itu.

Andi atau nama sebenarnya Andi Azrul Andi Mapangile berdarah kacukan Melayu-Bugis itu juga bercadang mahu merakamkan semula lagu Tak Tun Tuang dalam versi bahasa Melayu jika diberi keizinan, namun perlu berbincang dengan syarikat rakamannya terlebih dulu.

Anggap tuah memperkenalkan diri.

“Saya tak kisah jika dikenali melalui lagu itu kerana dalam tempoh setahun bergelar artis, saya akui belum dikenali ramai.

“Mungkin inilah yang dikatakan tuah dan jika dengan cara ini boleh bantu perkenalkan nama saya dalam industri, saya ok saja. Terima kasih kepada mereka yang bantu tularkan video ini,” katanya kepada Rojak Daily Kaw!