Insiden kehilangan suara tahun lalu sehingga mengalami tekanan membuatkan penyanyi bersuara lantang serik sekali gus memastikan perkara yang serupa tidak berulang lagi. Sebagai penyanyi, kata Anuar vokal adalah aset utama dan kehilangan suara sehingga menjejaskan periuk nasinya adalah perkara yang tidak diingini berlaku dalam dirinya.

Justeru, Anuar berkata sepanjang mendiamkan diri, dia mendapatkan rawatan untuk memulihkan penyakitnya itu.

Bertemu si pelantun Andainya Takdir ini pada sidang media Bunga Citra Lestari, Anuar Zain dan Yuka Kharisma Live In Concert di ibu negara baru-baru ini, Anuar melahirkan rasa lega kerana penyakitnya itu sudah pulih sepenuhnya.

Doktor sahkan sudah pulih sepenuhnya.

“Saya mengaku sebelum ini saya trauma untuk menyanyi dalam konsert besar. Ini berpunca masalah kehilangan suara sehingga saya menolak menjayakan tiga acara termasuk di Singapura. Saya bimbang apa yang akan berlaku jika suara saya hilang lagi dan saya enggan mengambil risiko itu.

Untuk kembali menyanyi, saya perlukan kekuatan untuk kembalikan semula keyakinan diri. Selepas mendapatkan rawatan dan doktor mengesahkan yang suara saya sudah pulih sepenuhnya barulah saya rasa lega. Doktor pun tidak melarang saya menyanyi dengan nada tinggi," katanya kepada Rojak Daily Kaw!

Kurangkan hisap curut.

Menurut penyanyi yang bakal mencecah usia 48 tahun pada 15 Februari depan ini, sebagai langkah berjaga-jaga, doktor menasihatkannya supaya menjaga kesihatan.

“Doktor kata saya tak perlu risau, cuma kena jaga kesihatan sahaja. Antaranya kena banyak berehat, dapatkan tidur yang cukup dan jangan hisap rokok. Saya sebenarnya sudah enam tahun hisap curut. Maknanya selepas ini kenalah kurangkan,” katanya.

Mengulas pembabitannya dalam konsert pertamanya untuk tahun baharu ini, Anuar berkata kesudiannya menerima tawaran itu adalah kerana dia mahu belajar sesuatu darinya.

Belajar sesuatu yang baru.

Konsert ini juga adalah satu sejarah buat saya kerana ada satu segmen kami akan menyanyi secara trio. Berduet sudah biasa saya lakukan tetapi nyanyi bertiga adalah satu perkara yang baru buat saya. Memandangkan konsert ini juga menampilkan penyanyi dari Indonesia iaitu Bunga Citra Lestari, saya ingin belajar sesuatu darinya.

“Kita tahu mereka mempunyai artikulasi yang bagus ketika berbicara dengan peminat serta mereka ada hubungan yang bagus dari segi jiwa dengan peminat. Itulah yang ingin saya pelajari bagi menambah baik lagi hubungan dengan peminat saya,” ujarnya yang akan menyampaikan lima buah lagu dalam konsert itu.