Hikayat cinta Elfira Loy, 23, dan Sufian Suhaimi, 25, sedang menuju ke penamat yang diharapkan. Selepas selamat melangsungkan pertunangan hari ini kira-kira jam 4 petang tadi di kediaman keluarga artis wanita berkenaan di Alam Damai, Cheras, pasangan sama padan sama cantik ini sedang menghitung hari untuk bergelar raja sehari pada Mac tahun depan.

Semuanya sudah pasti. Insya-Allah. Malah selepas perbincangan pada majlis tunang itu, keluarga masing-masing juga sepakat memilih bulan berkenaan sebagai detik hari bersejarah mereka.

Majlis petang itu yang dihadiri sekitar 100 orang tetamu itu turut menyaksikan Elfira menyerahkan tujuh dulang hantaran berbalas lima daripada pihak Sufian sebagai simbolik termeterai ikatan pertunangan mereka.

Cincin disarung tanda diikat.

Pada majlis itu juga, pasangan ini mengenakan dua persalinan. Elfira sendiri menggayakan rekaan Rizman Ruzaini selain disolek oleh jurusolek terkenal Najeeb Azami. Manakala Sufian turut memakai baju Melayu pereka fesyen sama selain baju batik rekaan Fairuz Ramdan.

“Bulan Mac boleh dikatakan terlalu istimewa buat saya dan Sufian. Malah Mac depan juga kira genap setahun perkenalan kami. Alhamdulillah semoga dipermudahkan perancangan menuju ke gerbang perkahwinan kami.

“8 Mac lalu ketika saya genap 23 tahun, tepat jam 12 tengah malam dia tunggu di depan rumah dengan jambangan 23 kuntum bunga ros. Saat itu juga dia menyatakan kesungguhannya untuk serius dengan saya. Kiranya itu detik rasmi kami menjalinkan hubungan jadi lebih rapat. Lebih penting, dia tidak membelakangkan ibu bapa dalam hal kami.

Gadis-gadis pembawa hantaran.

“Ikutkan kurang enam bulan lagi, kami akan berkahwin. Masa pun berjalan begitu pantas. Mujur keluarga banyak membantu memudahkan urusan persiapan tunang dan selepas ini kahwin pula,” kata Elfira.

Sementara itu, Sufian pula berkata, kehadiran Elfira selama ini bagai melengkapi hidupnya.

“Alhamdulillah akhirnya hubungan kami bagai menuju ke arah penamat yang pasti. Lebih penting keluarga juga merestui apa yang kami rencanakan. Di sebalik pelbagai ujian kecil yang pernah melanda dalam hubungan kami, semuanya bagai memberi hikmah untuk terus menguatkan lagi ikatan jalinan kami.

Wajah ceria.

“Saya bersyukur dipertemukan insan sepertinya. Dia menjadi individu yang sering mencabar saya melakukan apa yang dirasakan diri ini tidak mampu dilakukan. Pendek kata dia sering memberi sokongan dan galakan untuk saya menjadi insan yang lebih baik.

“Kami juga tidak melihat usia kami berkahwin muda ini sebagai satu isu besar atau hal yang rare. Ada yang menggelarkan kahwin muda ini sebagai millenial couple. Apa yang lebih penting ialah untuk kami sama-sama memikul tanggungjawab selepas berkahwin nanti,” kata Sufian.

Bergambar kenangan.

Menyingkap kronologi sensasi perkenalan mereka sejak tahun lalu, ia bermula apabila Sufian mengeluarkan kenyataan untuk sebuah penerbitan bahawa gadis Elfira menjadi celebrity crush dirinya. Seterusnya ia membawa putik perkenalan mereka hingga ke laman Twitter.

Seterusnya ketika Sufian rancak mempromosikan single pertamanya, Terakhir dan menjadi tetamu di konti radio ERA Mei tahun lalu, Elfira terlebih dahulu memberikan kejutan dengan menjadi pemanggil misteri. Daripada situ, Elfira mengajak Sufian bertandang ke kafe miliknya, Love Me Seven Days.

Bersama keluarga Elfira.

Sufian memenuhi undangan Elfira ke kafe berkenaan Bersama penyampai radio ERA iaitu team JoHaRa. Bagaimanapun pertemuan berkenaan yang dilihat berakhir di situ saja, nampaknya berpanjangan ke tahun ini.

Selepas menerima kejutan 23 kuntum bunga ros sebagai simbolik angka 23 tahun usia Elfira, si genit yang juga ahli perniagaan terkenal itu turut mengejutkan ulang tahun ke-25 tahun Sufian, Mei lalu. Elfira mengajak Sufian menaiki helikopter dan seterusnya meraikan hari lahir lelaki berkenaan di Seremban.

Menanti kehadiran Mac 2018.

Tidak menunggu lama, perancangan mengadakan majlis merisik sekali gus berhari raya mengeratkan silaturahim berlangsung pada 30 Jun lalu di kediaman keluarga Elfira menjadi pengukuh hubungan terjalin.

Pada majlis pertunangan mereka, Elfira menyerahkan hantaran antaranya berupa tepak sirih, set haruman Dior, kek dan sepersalinan kain. Manakala Sufian pula menyerahkan cincin, sirih junjung, set kosmetik Dior, manisan dan sepersalinan kain.