Indah Ruhaila yang masih bersaing dalam pertandingan AF Megastar terkejut kala diajukan soalan kononnya dia syok sendiri dalam membuat pemilihan lagu dan persembahan saban minggu dalam pertandingan itu.

Dia yang tampil anggun dalam persalinan rona emas pada konsert minggu ke lima Ahad lalu, tergamam ketika diajukan soalan berkenaan.

Hal itu bagaikan ada benarnya apabila persembahan Indah pada dua konsert sebelum ini mendapat komen dan teguran daripada juri profesional malah kedudukannya juga berada pada tahap tidak selesa.

Bukan semua orang boleh terima.

"Saya tidak pernah rasa sebegitu dan setiap lagu yang dipersembahkan adalah persetujuan antara saya, pasukan dan pihak produksi. Saya sentiasa mengkaji dan pastikan apa yang saya sampaikan kena dengan keupayaan saya.

"Tapi ya, saya faham bukan semua pihak boleh terima kita, saya positif dan terima baik apa juga pandangan yang membina. Seperti daripada pihak juri, saya memang ambil serius pandangan mereka," katanya kepada Rojak Daily Kaw!

Komen positif konsert kelima.

Bagaikan menepis dakwaan itu, Indah yang popular menerusi lagu Percayalah ternyata mendapat suntikan semangat baharu apabila persembahannya pada minggu bertemakan Mahakarya di konsert ke lima mendapat maklum balas membanggakan.

Datuk Ramli MS selaku juri profesional tidak mempunyai masalah dengan persembahan Indah menerusi lagu Lelaki nyanyian asal Yuna, dan melontarkan komen positif.

Perlu kerja lebih keras.

Mengulas lanjut, Indah berkata, dia sedar persaingannya sengit dan berdepan dengan kelompok penyanyi hebat dalam pertandingan itu yang memerlukan dirinya melipatgandakan usaha.

"Saya kena work hard dan mencabar diri saya. Saya akan lakukan apa saja untuk memastikan saya mampu memberikan saingan," katanya.

Menyentuh persembahan Ahad ini pada konsert minggu keenam dengan tema Ikon, Indah akan berusaha memberikan saingan kepada peserta lain.

Persembahan Indah pada minggu lalu melayakkan dirinya berada di tempat ke lima dengan pungutan 44.5 peratus.