Tebal dan dilihat betapa sayangnya Alif Satar kepada tradisi dan busana lama, baju Melayu. Pelakon Dia Semanis Honey dan Hikayat Cinta Si Pematah Hati itu menterjemahkan apa yang dimahukan itu melalui kerjasama dengan pereka fesyen kegemaran, Bon Zainal melancarkan koleksi baju Melayu, Tradisi Alif Satar by Bon Zainal.

Malah bapa kacak kepada dua orang anak itu juga menyifatkan baju Melayu adalah persalinan harian, bukannya dipakai setiap kali menjelang tiba Aidilfitri, Aidiladha atau acara tertentu. Lebih daripada itu gaya asli dan klasik baju Melayu disifatkan Alif perlu dikekalkan dan bukannya digayakan seperti ala hipster beberapa tahun kebelakangan ini.

Alif bersama pereka fesyen kegemarannya, Bon Zainal.

“Apa yang saya tekankan melalui kerjasama ini, baju Melayu bukan hanya dipromosikan pada musim perayaan. Sebaliknya, ia perlu dilakukan setiap masa. Baju Melayu kebanggaan kita takkan lekang dek zaman.

“Cara pemakaian baju Melayu juga perlu sempurna dan lengkap. Kita perlu menggayakan mengikut cara klasik dengan lengkap bersamping. Saya harap baju Melayu yang diusahakan ini menjadi popular dalam kalangan generasi muda dan ini sebagai usaha menghargai busana yang dipakai secara klasik, bukan cara ala hipster.

Gaya klasik, elegan dan eksklusif.

“Sebab itulah jenamanya Tradisi Alif Satar by Bon Zainal mencerminkan gaya klasik, elegan dan eksklusif. Baju Melayu juga patut dipakai di majlis formal secara berleluasa dan bukannya bermusim,” katanya.

Mengenai kerjasamanya dengan Bon, Alif menjelaskan faktor keserasian dan persahabatan yang terjalin sejak 11 tahun lalu mendorong dirinya bekerjasama menghasilkan koleksi baju Melayu bersama pereka itu.

“Selama ini, kami sering merancang untuk melakukan projek bersama tetapi akhirnya tidak menjadi nyata dan berlalu begitu saja. Namun, awal tahun ini, kami sepakat bekerjasama menghasilkan baju Melayu dan sekarang, ia bukan lagi cakap cakap kosong.

Koleksi Baju Melayu Alif Satar by Bon Zainal.

“Rekaan Bon sangat rapi dan ada nilai eksklusif yang tinggi. Banyak sut yang saya beli daripadanya. Ada lebih 100 koleksi pelbagai termasuk sut, seluar dan baju Melayu yang saya beli,” katanya sambil memberitahu koleksi siap dipakai itu boleh dibeli di gedung Parkson KLCC, Pavillion dan portal Fashion Valet bermula pada harga RM390.

Turut buka cafe di Kota Kinabalu, Sabah.

Dalam pada itu, Alif kini juga membuka kafe di Kota Kinabalu, Sabah. Premis makanan yang terletak di Padang Kontena Yayasan Sabah itu diberi nama A’s Cafe. A’s Cafe menyediakan juadah dari Semenanjung Malaysia.

“Alhamdulillah, biarpun baru beroperasi, kafe saya mendapat maklum balas positif. Buat sementara waktu, ibu bapa saya tinggal di Kota Kinabalu untuk memantau urusan di kafe,” katanya yang kembali mengacarakan pertandingan Clever Girl musim kedua di TV3 tidak lama lagi.