Penyanyi legenda Indonesia, Hetty Koes Endang mengakui penyertaan penyanyi bervokal mantap Aishah dalam Gegar Vaganza musim keempat (GV4) menjadi penyebab utama mengapa beliau bersetuju untuk menggalas tangungjawab sebagai juri tetap program realiti popular itu.

Bercakap kepada Rojak Daily Kaw! Hetty memberitahu sebelum memberi kata persetujuan, perkara utama yang difikirkannya adalah senarai penyanyi yang bakal tersenarai dalam rancangan itu.

“Teringat saya situasi ketika menjadi juri dalam sebuah program realiti di Indonesia apabila salah seorang peserta menyanyikan lagu Janji Manismu yang pernah dipopularkan Aishah. Saya menangis dan lantas teringat padanya dan terfikir ke mana dia menghilangkan diri.

“Justeru apabila tawaran untuk menjadi juri GV4 datang dan melihat nama Aishah turut tersenarai, saya terus bersetuju. Dan ternyata keputusan saya itu tepat apabila dia berjaya mempamerkan persembahan yang sangat bagus malam ini,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media selepas konsert minggu pertama GV4 yang diadakan di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil malam Ahad lalu tamat.

Untuk duduk di kerusi juri tetap, penyanyi yang cukup popular menerusi lagu Hadirlah Kasih itu juga perlu membuat pengorbanan.

Terpaksa berkorban untuk menjadi juri.

“Selain berulang alik dari Jakarta ke Kuala Lumpur setiap minggu, terutama dalam usia sebegini, saya juga terpaksa menolak tawaran untuk menjadi juri program D’Academy Asia yang kehadiran saya sangat ditunggu-tunggu. Tapi tak mengapa, saya harap dikurniakan kesihatan yang baik dan saya bangga menjadi juri untuk program ini,” kata penyanyi berusia 60 tahun ini.

Menerusi konsert minggu pertama itu, Aishah mendapat markah sebanyak 96 peratus, diikuti penyanyi yang berasal dari Indonesia, Firman Siagian yang mendapat 91 peratus dan Hazami menduduki tempat ketiga dengan markah sebanyak 90 peratus.

Mengulas kekurangan Aishah yang menghalangnya mendapat markah penuh, Hetty berkata penyanyi itu perlu lebih yakin tatkala membuat persembahan di atas pentas.

Saya melihat Aishah seperti ada sedikit perasaan kurang keyakinan diri ketika membuat persembahan. Mungkin banyak perkara yang berlegar dalam dirinya seperti memikirkan perihal penampilan dan imej, masih adakah lagi peminat atau apakah akan ada penonton yang bertepuk tangan. Saya harap kelemahan itu dapat diperbaikinya untuk persembahan akan datang,” pesan penyanyi yang mempunyai pengalaman 48 tahun dalam bidang seni ini.

Ditanya apakah yang dicarinya dalam peserta GV4, ibu kepada sepasang cahaya mata ini memberitahu dia mengharapkan setiap peserta mampu membawa dirinya kembali ke zaman lampau menerusi persembahan mereka itu.

“Vokal bukanlah soal utama kerana saya percaya mereka adalah penyanyi yang berkualiti. Adalah sedikit kesilapan tapi boleh dimaafkan. Bagaimanapun yang penting, saya mahu mereka mampu membawa penonton dan juga juri bernostalgia dan mengenang kembali kisah silam yang ada kaitan dengan lagu itu.

“Menyanyi umpama bercerita dan biarlah nyanyian itu meresap ke lubuk hati. Walaupun ada peserta Indonesia tapi takkan berlaku pilih kasih. Kalau nyanyiannya sedap, sedaplah. Kalau tak, rendahlah markahnya,” tegas Hetty.