Sebut nama A.R. Badul, peminat filem era 70-an dan 80-an pasti terbayang aksi jenakanya yang mencuit hati ramai penonton. Paling meninggalkan kesan, lakonannya menerusi filem Darah Satria dan Prebet Lapok kerana nama watak sebagai Prebet Badul terus diingati peminat sehingga hari ini. Cukup banyak filem lakonannya yang masih membuatkan penonton terhibur.

Namun, jika pada masa itu Badul sering menjadi pilihan ramai produser untuk melakonkan watak utama, kini kemunculannya di layar perak semakin berkurangan. Pelakon veteran berusia 67 tahun ini menyatakan dia masih aktif berlakon jika ada tawaran yang diterima.

"Orang masih kenal saya lagi dan apabila ke mana-mana ada saja peminat sibuk ajak bergambar. Biasanya pengarah dan pengurus produksi yang kenal saya akan menghubungi saya untuk bagi tawaran berlakon dan pada masa sama, saya juga menjadi pengacara majlis kenduri kahwin," katanya ketika ditemui Rojak Daily Kaw! di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Di sebalik imej sebagai pelakon komedi, tidak ramai yang tahu Badul sebenarnya sudah berkecimpung dalam bidang animasi sejak lebih sedekad lalu. Projek terbaru, dia selesai mengarah program kartun animasi, Mac & Ted musim ketiga sebanyak 13 episod yang menjalani proses pembikinan selama setahun.

"Bermula daripada skrip, saya menyemak cerita, 'storyboard', 'dubbing' dan mengawasi kerja juru animasi untuk musim pertama, kedua dan seterusnya ketiga. Berdasarkan siaran musim pertama dan kedua sebanyak 26 episod di RTM pada tahun 2013, ia menerima respons positif daripada penonton dan kini musim terbaru kembali," katanya.

Jelasnya, program animasi terbitan Makmur Megah Sdn Bhd ini mengisahkan persahabatan antara budak lelaki bernama Mac bersama rakan-rakan termasuk Hantoo Solo (makhluk asing) dan robot Ted yang jatuh ke bumi. Ia lebih pada hiburan untuk kanak-kanak dan membawa mesej kekeluargaan manakala dalam musim ketiga kali ini, ia membawa mereka ke angkasa.

"Dulu animasi lebih kepada 2 dimensi membabitkan 60 juru animasi tetapi kini hanya 10 juru animasi terbabit dalam projek terbaru ini yang menggunakan definisi tinggi (HD). Bagaimanapun, saya kagum dengan produksi Makmur Megah kerana mereka boleh melaksanakan projek ini sehingga siap," katanya yang mula berkecimpung dalam projek animasi berjudul Wise & Mice yang bermula pada tahun 2000.