Jika selama ini, penyanyi bervokal lantang, Anuar Zain dilihat begitu selesa membina nama di arena muzik. Selepas tiga dekad, kredibilitinya sebagai penyanyi selain penghibur dilihat begitu ampuh.

Dunia nyanyian sudah menjadi bisnes utamanya. Tetapi jika tiba-tiba, kalau dikatakan pelantun lagu Andainya Takdir itu beralih ke dunia perniagaan pula pasti ada yang akan terkejut atau tidak sangka. Tapi itulah realitinya apabila Anuar sejak beberapa bulan lalu melancarkan perniagaan dalam taliannya dipanggil ShopbyAz.

Menurut adik kepada Ziana Zain ini, dia turut bercita-cita menjadikan ShopbyAz sebagai portal beli belah seperti Ladaza mahupun Zalora pada masa mendatang.

Koleksi AwanbyAz adalah permulaannya.

Buat permulaan, lelaki yang sering dilihat berimej kemas ini mengeluarkan rangkaian tudung atau skaf di bawah koleksi AwanbyAz. Nama Awan itu sendiri memberi signifikan tersendiri buatnya,

“Material yang digunakan untuk tudung ini juga dilihat seperti selembut awan. Malah saya sendiri juga kalau mengembara atau bercuti memang gemar melihat awan. Rasa sejuk mata memandangnya.

“Jadi saya terjemahkan koleksi pertama ini di bawah ShopbyAz. ShopbyAz ini umpama mall besar dan dibawahnya akan ada premis kedai. Permulaannya dijual koleksi AwanbyAz.

“Insya-Allah pada masa mendatang, akan dijual barangan lain pula. Malah saya juga mengajak teman dan mereka yang berminat untuk menjual produk mereka di bawah ShopbyAz. Jadi kalau nak lihat koleksi skaf ini bolehlah layari laman rasmi, www.shopbyaz.com atau ke Instagram @shopbyaz,” katanya bersemangat.

Melihat ramai rakan berniaga, membuka mata.

Ditanya kenapa selepas sekian lama dilihat begitu stabil menjadikan bisnes muzik sebagai perhatian utama dan kemudian tergerak hati menceburi bidang perniagaan, lelaki yang masih solo dan menjadi kegilaan ramai ini mempunyai alasannya.

“Ikutkan sudah lama saya tergerak ke arah bidang perniagaan. Perasan itu bertambah tambah beberapa tahun kebelakangan ini. Awalnya saya berbelah bagi. Tapi melihat trend ramai artis menceburi perniagaan, kenapa saya tak turut serta sekali.

“Dalam awal tahun ini selepas pembatalan Konsert Anuar Zain & You - By The Lake yang sepatutnya berlangsung di Panggung Anniversari, Kuala Lumpur pada 21 Januari lalu akibat saya kehilangan suara, saya dan team putuskan untuk tidak pandang ke belakang. Lets do this. Melihat kerancakan rakan artis berniaga dan kejayaan mereka, open my eyes,” katanya.

Sesuatu yang besar menanti di tahun 2018.

Oh! jangan ingat apabila Anuar menceburi dunia bisnes bererti kerjaya nyanyian akan dilupakan. Tidak ya.

“Nyanyian sudah sebati dalam jiwa saya. Malah saya masih memenuhi undangan membuat persembahan seperti biasa sepanjang dilihat seperti tone down ini. Tapi dalam masa sama, saya juga boleh beri tumpuan lebih kepada perniagaan dalam tahun ini.

“Insya-Allah tahun depan, muzik dan bisnes akan berjalan sama-sama. Saya dan team juga sedang merancang sesuatu yang besar untuk kerjaya seni pada tahun 2018. Once ready dan confirmed, pasti ia akan dikongsi,” katanya.