Seminggu dua ini, ramai artis dan selebriti mendirikan rumah tangga. Penuh media sosial dengan video serta gambar-gambar mereka meraikan perkahwinan. Tahniah kepada semua. Semoga berbahagia ke anak cucu. Okay, klik tengok gambar lain pula. Itu gaya sekarang.

Perkahwinan Ziana paling diingati.

Bayangkan lebih 5,000 peminat menyerbu perkahwinan anda! Biar ribuan perkahwinan berlangsung seterusnya, tidak akan ada orang yang akan lupakan detik sebegitu.

Tidak perlu bercerita tentang perasaan pengantin, tetapi saya sebagai salah seorang daripada lebih 5,000 yang bersesak hadir di majlis perkahwinan Ziana Zain kerana minat yang sangat tinggi kepada beliau, dan dapat menyaksikan majlis yang paling bahagia untuk dirinya membuatkan diri sendiri rasa teruja.

Berlori makanan dibawa untuk menampung hadirin yang ‘tidak diundang’ seperti saya tetapi ketika itu bukan makanan yang difikirkan. Hanya mahu melihat penyanyi pujaan menjadi permaisuri sehari. Walaupun terpaksa bersesak, kepuasannya sukar nak dinyatakan.

Layanan kelas pertama pada peminat.

Begitu juga apabila ribuan peminat berkumpul hanya kerana ingin melibat sendiri kelibat Datuk Seri Siti Nurhaliza berbaju pengantin menamatkan zaman bujangnya. Bukannya tidak boleh melihat gambar di akhbar atau majalah, atau pun menontonnya di kaca TV dalam rancangan hiburan, tetapi perasaan meraikan bersama artis yang diminati itu sangat lain rasanya!

Pelamin Yuna jadi viral. (Gambar Hiasan)

Zaman sebegitu sudah jauh meninggalkan kita. Keterujaan peminat untuk bersama artis meraikan hari perkahwinan mereka mungkin sudah kabur, dan artis juga mungkin mahukan majlis mereka lebih eksklusif dengan jemputan yang tersendiri. Pernah juga berlaku beberapa kali, wartawan dihalau supaya tidak mengganggu eksklusiviti perkahwinan mereka. Jadi kalau mahu liputan, tunggu sidang media dan gambar-gambar akan diedarkan.

Kini, media sosial mengambil alih. Ada yang buat ‘live update’ majlis perkahwinan. Ada yang berkongsi gambar dan bermacam lagi hanya di media sosial. Saya seperti peminat lainnya akan tengok tetapi keterujaan sudah tidak ada. Rasa ‘sayang’ sudah tidak menebal dan paling tidak pun hanya mendoakan kebahagiaan mereka.

Perkahwinan dua negara. (Gambar Hiasan)

Beza sekali penerimaan peminat dahulu dan peminat sekarang. Kerana itulah walau segelintir mempunyai jutaan peminat di media sosial, belum tentu mereka popular dalam erti sebenarnya. Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Sheila Majid dan Ziana Zain antara artis yang mempunyai peminat setia dan mampu memenuhkan stadium dengan peminat mereka.

Hantar berita perkahwinan melalui Whatsapp.

Cuba letak seorang penyanyi lain yang mempunyai sejuta atau lebih di media sosial membuat persembahan di stadium. Anda rasa mereka mampu memenuhi stadium tersebut dengan pengikut-pengikut mereka?

Sama ada tertutup atau terbuka mahupun berahsia, itu pilihan masing-masing. Bukan mahu menidakkan hak mereka yang mahukan perkahwinan eksklusif. Tidak juga mahu menidakkan populariti mereka. Cuma terfikir, setiakah peminat mereka atau hanya bermusim.

Jumpa lagi!

Bila Badrul Bicara