Tanpa diduga, niat asalnya iaitu sekadar suka-suka menyanyikan semula single terbaru Sufian Suhaimi, Di Matamu seperti yang dimuat naik di laman YouTube, baru-baru ini mengundang padah buat pelakon dan penyanyi Janna Nick apabila menjadi mangsa kecaman netizen.
Berdasarkan komen yang ditinggalkan di laman berkenaan, rata-rata mereka menyifatkan nyanyian pelakon drama rantaian My Coffee Prince itu sumbang.
Mengulas kritikan pedas yang dilontarkan, Janna dalam nada tenang berkata, dia enggan melayan sebarang komen negatif terutama daripada mereka yang tidak faham situasi sebenar ketika video itu dirakamkan.
“Setiap orang ada pandangan tersendiri dan kalau mereka tidak suka, saya biarkan sahaja. Malas mahu layan kerana tujuan saya menyanyikan lagu itu hanya untuk suka-suka. Lagu itu saya rakamkan ketika bersantai pada waktu petang.
“Boleh sahaja saya menyanyikan lagu itu sepenuh hati, tetapi untuk apa? Lagipun, ia rakaman spontan. Bagaimanapun, terima kasih kerana mengikuti saluran YouTube saya. Sekurang-kurangnya dapat juga saya sedikit bayaran,” kata Janna kepada Rojak Daily Kaw!
Apabila dia mengeluarkan kenyataan sebegitu, itu tidak bermakna pelakon kelahiran Sungai Petani, Kedah ini tidak boleh menerima teguran. Sebaliknya pelakon berusia 22 tahun itu beranggapan, ia bukan isu besar yang boleh menjatuhkan nama atau reputasi mana-mana pihak.
“Saya akan lebih kecewa dan terkilan jika gagal menyanyi dengan baik ketika membuat persembahan berbayar. Ia akan memalukan pihak yang mencadangkan nama saya untuk persembahan itu. Namun, itu bukan bermakna saya langsung tidak ambil peduli.
“Jika dilontarkan kritikan membina, saya akan ambil untuk memperbaiki mutu nyanyian. Insya-Allah, saya akan lebih berhati-hati selepas ini. Sebagai artis yang lahir pada era media sosial menguasai, saya kena biasakan diri dengan kecaman,” kata pemilik nama lengkap Nurul Janna Muner ini.
Sebagai duta kepada telefon pintar keluaran China itu, Janna turut ditanyakan mengenai tindakan seorang selebriti laman sosial atau instafamous yang memperlekeh jenama telefon pintar keluaran Asia yang tular, baru-baru ini.
Sambil menyifatkan tindakan sebegitu hanya dilakukan oleh mereka yang tidak matang, Janna turut menegaskan perbandingan seperti itu tidak sepatutnya berlaku kerana setiap orang mempunyai cita rasa tersendiri dalam memilih peranti.
"Pada saya, ia bersifat kebudak-budakan dan hanya mereka yang belum matang suka memperlekeh serta membandingkan jenama sesebuah produk.
"Setiap orang ada cita rasa dan pilihan tersendiri. Saya lebih gemar memilih ciri tertentu yang ada pada sesebuah telefon pintar seperti skrin besar untuk memudahkan urusan kerja, kelajuan selain berat. Saya tidak mahu memiliki sesuatu sekadar melihat pada jenama semata-mata,” ujar penyanyi Akan Bercinta ini.