Rozi Abdul Razak yang juga pengurus penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza pagi tadi menerusi perkongsian gambar di Instagram ada berkongsi serba sedikit mengenai ‘misteri’ kehilangan artis yang diuruskannya itu.
Malah sejak penyanyi lagu Aku Bukan Malaikat itu memperlahankan rentak seninya buat seketika pelbagai andaian dan spekulasi timbul termasuk dikatakan kononnya sedang hamil.
Menerusi gambar yang dirakamkan Siti yang diungkap semula pengurusnya di laman bergambar popular itu, Rozi berkunjung ke kediamannya di Bukit Antarabangsa untuk memasak dan menjamu selera sesama mereka.
Menurut Rozi lagi, Siti sedar yang dirinya dirindui ketika masing-masing rancak berbual dari tengahari hingga ke malam.
“Berita baik, dia (Siti) dirinya dirindui. Janganlah menghakimi beliau kerana empunya diri berhak untuk memilih 'masa' untuk dirinya,” tulis Rozi.
Rozi menerusi perkongsiannya itu juga menangkis mengenai kata-kata orang bahawa populariti Siti sudah jatuh, tak dapat sambutan, tidak relevan dan sebagainya kerana memilih untuk ‘berehat’ seketika.
“Selepas 21 tahun lebih berbakti dan mengabadikan tanpa meninggalkan lebih dari satu bulan kerjayanya, beberapa bulan ini dia memilih untuk berehat. 21 tahun bernisbah hanya beberapa bulan,” tulisnya.
Siti dalam tempoh berehat juga baru-baru ini sempat merakamkan video muzik bagi single ketiga, Aku Bukan Malaikat, biarpun sebelum ini mengumumkan memperlahankan karier seninya.
Video muzik lagu ciptaan komposer Indonesia, Opick daripada album terbaharunya, SimetriSiti itu sudah dilancarkan di laman YouTube Vevo Siti Nurhaliza.
Video muzik berkenaan dilihat sebagai hadiah buat peminat yang begitu merinduinya.