Skip to main content

Market Trends

Syafiq Farhain, ‘Abam Bomba’ Bersuara Seksi

syafiq-farhain-01.jpg

Ketepikan kontroversi yang mengaitkan dirinya dan keluarga, sensasi baru, Syafiq Farhain mahu bangkit memperjuangkan bakat seninya yang masih hijau. Belum pun setahun di arena seni, pemilik nama penuh Nursyafiq Farhain AM Salim ini dilihat pantas mencuri perhatian berbekal sebuah single berjudul Sayang Maafkan Aku.

Malah “Abam Bomba” bersuara seksi dan jantan ini juga sedaya upaya mahu berdikari tanpa dibayangi sesiapa sekalipun ada yang menyifatkan suara dia seperti papa tersayangnya.

Bahkan sekalipun dilihat sudah mula selesa dengan kerjaya seni, Syafiq belum terlintas untuk meninggalkan kerjaya hakikinya di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia kira-kira empat tahun lalu. Malah ketika ini juga, dia dilihat mampu mengimbangi kerjaya tetap dan seni itu dengan sebaik mungkin.

“Dulu saya bertugas di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Johor Bahru di bawah bahagian operasi. Tapi kini saya sudah bertugas di bahagian pejabat di Putrajaya pula. Ia memudahkan lagi urusan kerja seni saya terutamanya yang membabitkan lokasi di Kuala Lumpur atau Selangor.

Tiada halangan daripada majikan.

“Kini selepas waktu pejabat, saya boleh fokus urusan seni pula dengan memenuhi undangan atau jemputan nyanyian. Kalau ada urusan seni yang babitkan masa pejabat, saya boleh berbincang dengan majikan. Ataupun sebaiknya saya memohon cuti saja.

"Setakat ini majikan tidak menghalang apa yang saya lakukan dan saya amat berterima kasih. Namun, untuk meninggalkan kerja hakiki demi bergelar penyanyi sepenuh masa, tak pernah saya fikirkan. Saya sendiri senang dan sayangkan kerjaya tetap ini," katanya.

Menurut Syafiq, dia dari dulu memang minat menyanyi. Barangkali juga bakat itu sudah mengalir dalam darahnya. Video nyanyian lagu orang lain yang dinyanyikannya menjadi tular dilihat sebagai pembuka rezeki hingga ditawarkan menjadi artis rakaman di bawah syarikat MVM Music.

“Jujur dulu saya melihat dunia nyanyian hanya sekadar berkongsi minat yang ada. Daripada minat ia bertukar menjadi hobi. Tak sangka, ia boleh menjana pendapatan sampingan pula apabila ditawarkan membuat persembahan.

Terima tawaran jadi artis rakaman.

“Cuma selama ini saya hanya menyanyikan lagu orang lain ketika membuat persembahan. Teringin juga ada lagu sendiri. Lalu, tawaran daripada pihak MVM Music seperti orang mengantuk disorongkan bantal dan tidak sangka pula sebaik saja Sayang Maafkan Aku diedarkan, ia mendapat sambutan menggalakkan," katanya.

Ditanya apakah dia hanya bersandarkan vokal dan wajah jantan semata-mata, Syafiq menyerahkan penilaian itu kepada mereka yang meminati bakatnya.

“Kalau setakat ini, saya anggap suaralah ibarat aset terpenting yang saya. Nak kata kacak itu, tak pun. Tapi ada juga yang datang cakap saya ini nyanyi ada suara bunyi jantan. Itu tanggapan oranglah. Saya nak nilai sendiri memang tak pandai.

Populariti meningkat dengan satu single.

“Lagipun, jauh lagi perjalanan saya dan banyak lagi perlu diperbaiki. Saya tak mahu mendabik dada dengan apa yang diraih kini. Semoga saya akan berada di landasan yang betul. Insya-Allah,” katanya.

Dengan apa yang diraih kini berbekalkan hanya sebuah lagu single, dia pantas mendaki populariti. Jejaka ini memanjat kesyukuran di atas kesempatan yang diberikan.

“Saya betul betul terharu dengan sokongan ini. Tambah pula ia lagu pertama dalam hidup saya yang kian mendapat sambutan. Ia sangat luar biasa dan saya anggap ia satu pencapaian peribadi yang sangat membanggakan.

“Saya masih baru. Jauh lagi perjalanan. Cuma saya harap tidak tersasar dan semoga apa yang saya mulakan ini akan berada di landasan yang betul. Saya pun tak rasa diri ini popular mana pun. Tapi kalau jalan di khalayak ramai itu ada jugalah yang senyum dan menegur. Itu sajalah bezanya pun.

“Saya lihat diri ini masih merangkak. Tapi perlahan demi perlahan saya cuba menyerap dan memahami bagaimana permainan seni ini. Setakat ini pun tak ada saya berdepan dengan kerenah atau kegilaan fanatik peminat. Semuanya masih terkawal,” katanya.

Masih muda, baru berusia 23 tahun.

Mengenai penjagaan suara pula, dia tidak mempunyai rahsia atau tips khusus menjaganya.

“Saya makan pun bedal apa saja. Makanan pedas ke manis ke, semua boleh masuk perut. Tak ada pantang larang pun. Cuma kalau sebelum membuat persembahan itu, saya biasakan diri meminum air masak.

“Bahkan kalau bangun tidur, saya juga selalu biasakan diri meminum air masak tanpa menggosok gigi,” katanya.

Melihat dirinya yang bagaikan lelaki matang, ada juga yang beranggapan dirinya sudah berkahwin.

“Saya belum kahwin. Baru 23 tahun pun,” usiknya menutup perbualan.

Syafiq Farhain memberitahu dia gemar berkomunikasi dengan peminat menerusi Instagram dan laman Facebook. Pengikutnya di Instagram sebagai contoh sudah mencecah 20,000.

Must Watch Video